Hiburan

“Memang Itu Forte Dia” Hael Husaini Yakin Aina Abdul Pilihan Tepat Ke Eurovision Asia

Share

Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap pemilihan penyanyi Aina Abdul sebagai wakil Malaysia ke pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada November depan.

Menerusi sebuah perkongsian di Threads milik beliau, Hael atau pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi (39) berkata, Aina mempunyai kelebihan tersendiri yang menjadikannya antara calon paling sesuai untuk membawa cabaran negara dalam pertandingan muzik berprestij di peringkat Asia itu.

“Pendapat peribadi saya, pemilihan Aina Abdul sangat tepat untuk Eurovision Asia. She will do well. Memang dia punya forte,” katanya.

Pandangan Hael itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Aina sememangnya dikenali sebagai antara penyanyi tempatan yang memiliki kekuatan vokal tersendiri, selain berani menampilkan identiti muzik dan persembahan yang tersendiri di atas pentas.

Malah, Eurovision sering dikaitkan dengan persembahan berskala besar, vokal yang mantap serta keunikan artis dalam menyampaikan sesebuah lagu. Justeru, karakter Aina yang cukup sinonim dengan persembahan dramatik dan penuh emosi dilihat berpotensi memberikan warna tersendiri sekiranya tampil di pentas pertandingan tersebut.

BACA: Gunung Berapi Jadi Metafora Luka, Aina Abdul Dedah Kisah Di Sebalik ‘Kamu’ Di AJL40

Untuk info, Eurovision Song Contest asalnya dianjurkan oleh European Broadcasting Union (EBU) sejak tahun 1956 dan kini menjadi antara pertandingan muzik paling dikenali di dunia. Edisi Asia pula bakal menghimpunkan barisan penyanyi dari pelbagai negara di rantau ini dalam sebuah acara muzik secara langsung.

Difahamkan, Eurovision Song Contest Asia 2026 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini dan peminat pastinya teruja untuk melihat barisan artis yang bakal membawa nama negara masing-masing ke pentas antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Aina Abdul turut membuktikan kredibilitinya di Anugerah Juara Lagu ke-40 apabila merangkul Anugerah Persembahan Terbaik menerusi konsep gunung berapi dramatik untuk lagu ‘Kamu’, selain dinobatkan sebagai Ikon Artis Pilihan Shopee yang menyaksikannya membawa pulang trofi, kontrak duta kempen serta wang tunai RM50,000.

Sumber: Threads Hael Husaini

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE