
Anak kepada pelakon dan usahawan terkenal, Ziela Jalil, iaitu Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid sekali lagi mengharumkan nama keluarga apabila berjaya meraih Membership of the College of Anaesthesiologists of Ireland (MCAI).
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Dr Julia menerusi satu hantaran di Instagram yang turut disertakan dengan luahan rasa syukur atas pencapaian tersebut.
Menerusi perkongsian berkenaan, Dr Julia mendedikasikan kejayaan itu kepada insan tersayang yang sentiasa menjadi sumber kekuatannya, selain berharap pencapaiannya dapat memberi inspirasi kepada dua anak perempuannya.
“MashaAllah Tabarakallah.. Allahumma Barik.. MCAI. Untuk ibu bapa saya, suami saya dan yang paling penting untuk menjadi inspirasi kepada anak-anak perempuan saya. Satu pencapaian hari ini, dan banyak lagi yang ingin dikecapi, insya-Allah,” tulisnya.
Kejayaan memperoleh keahlian MCAI itu membuktikan dedikasi serta komitmen tinggi Dr Julia dalam bidang perubatan, khususnya anestesiologi, sekali gus mengharumkan nama keluarga di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, Dr Julia kini menetap dan bertugas di Ireland bersama suami serta dua cahaya mata mereka.
Perkongsian tersebut turut dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan-rakan dan para pengikut media sosial yang sama-sama berbangga dengan pencapaiannya.
Kejayaan Dr Julia bukan sahaja menjadi kebanggaan buat keluarganya, malah diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Untuk rekod, Dr Julia mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi pada 11 Julai 2018.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata perempuan, iaitu Tun Alayna Zeeya dan Tun Ameena Zeeya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.