
Bintang sensasi, Mark dari kumpulan NCT sekali lagi membuktikan dirinya bukan sekadar idola K-pop berbakat, tetapi juga figura berhati emas apabila baru-baru ini beliau dilaporkan telah mendermakan sebanyak 100 juta Won (kira-kira RM350,000) kepada Hope Bridge Korea Disaster Relief Association bagi membantu kanak-kanak yang tinggal di fasiliti perlindungan.
Memetik laporan media tempatan Korea, sumbangan ini adalah sebahagian daripada projek ‘By Your Side’ yang bertujuan memastikan anak-anak di rumah perlindungan tidak terasa tersisih pada hari-hari penting seperti hari jadi, Hari Kanak-Kanak di Korea, Hari Natal dan sambutan istimewa lain serta inisiatif ini menyasarkan untuk membawa kegembiraan serta menyuntik keyakinan diri kepada mereka.
Menurut Hope Bridge, sumbangan besar pemilik nama sebenar Mark Lee (26) yang dibuat pada bulan April lalu telah menjadi pencetus utama kepada peluasan projek ini ke tahap yang lebih besar. Di mana, kini lebih banyak program emosi dan sosial boleh dijalankan untuk menyokong perkembangan mental dan sosial kanak-kanak tersebut.
Dalam pada itu, kanak-kanak terlibat bakal menikmati pelbagai pengalaman yang direka istimewa seperti aktiviti musim panas, parti graduasi, kem ski, lawatan berkumpulan, percutian tiga hari ke Pulau Jeju dan pelbagai program percutian bermusim lain melalui dana ini. Semuanya bertujuan untuk memberi mereka rasa dimiliki dan dihargai.
Setiausaha Agung Hope Bridge, Shin Hoon menjelaskan bahawa dengan setiap sumbangan penderma dalam kumpulan Honor Society, pihaknya akan terus berusaha membawa lebih banyak kehangatan kepada lebih ramai kanak-kanak.
“Mengetahui bahawa ada orang dewasa yang ingat hari istimewa mereka memberi kekuatan kepada kanak-kanak ini untuk membina nilai diri dan kestabilan emosi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Mark yang juga merupakan salah seorang ahli Honor Society sebelum in terkenal sebagai seorang penderma yang rendah hati. Beliau kerap memberikan sumbangan tanpa publisiti. Malah, pada bulan Mac lalu, pelantun lagu ‘Fraktsiya’ dan ‘Golden Hour’ itu pernah menyumbang jumlah yang sama bagi usaha pemulihan kebakaran hutan di Korea.
Apa yang lebih menarik, sumbangan pada April lalu yang dibuat tidak lama selepas pelancaran album solo pertamanya berjudul ‘The Softest Touch’ sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya. Di mana jelas, kasih sayang yang diterimanya diterjemah kembali dalam bentuk tindakan yang memberi impak besar.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.