
Gelombang solidariti #JusticeforZara Qairina kini bukan sahaja bergema di Malaysia, malah sudah menembusi perhatian dunia. Tragedi menimpa pelajar Tingkatan Satu dari Sipitang, Sabah ini telah menggerakkan hati jutaan orang, dari Asia Tenggara hingga ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Kisah Zara Qairina Mahathir menjadi bualan ramai di media sosial, dengan tanda pagar #JusticeforZara dikongsi ribuan kali sebagai simbol kebersamaan menuntut keadilan. Negara seperti Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, China, Jepun, Kemboja, Myanmar, Laos, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan sokongan mereka. Bukan sekadar di alam maya, malah solat hajat dan bacaan Yasin diadakan di beberapa lokasi, termasuk atas seruan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kisah tragis ini turut mencetuskan kebimbangan ibu bapa di seluruh dunia, terutama yang menghantar anak ke sekolah berasrama penuh. Ramai meluahkan rasa takut kemungkinan berlakunya kejadian buli selepas mendengar kisah Zara Qairina. Solidariti ini membuktikan bahawa isu keselamatan pelajar di sekolah berasrama penuh adalah perkara global, bukan hanya isu tempatan.
Mengimbas kembali, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah agama berasrama penuh. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). Laporan awal turut mengaitkan kemungkinan berlakunya insiden buli oleh pelajar senior.
Berita pemergian Zara Qairina mendapat liputan meluas media antarabangsa, dengan desakan agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dan telus. Kes ini menjadi simbol perjuangan melawan budaya buli, sekaligus membangkitkan kesedaran bahawa keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama — daripada pihak sekolah, kerajaan, ibu bapa, dan masyarakat.
Gelombang #JusticeforZara Qairina adalah bukti bahawa suara solidariti, terutama daripada generasi muda, mampu melangkaui sempadan negara. Ia mengingatkan kita bahawa setiap nyawa adalah berharga, dan setiap ketidakadilan wajar diperjuangkan hingga ke hujungnya.
BACA LAGI : ‘Memang Ada Patah & Kecederaan Pada Jasad Zara Qairina’ – Peguam