
Seorang lelaki ditahan selepas didakwa membocorkan klip filem animasi yang dinanti-nantikan, Avatar: The Last Airbender, sekali gus mencetuskan perhatian ramai dalam kalangan peminat francais tersebut.
Akses Tanpa Kebenaran Untuk Muat Turun Filem
Seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan selepas dipercayai memperoleh akses tanpa kebenaran ke pelayan kandungan media bagi memuat turun filem animasi The Legend of Aang: The Last Airbender.
Filem ini merupakan sebahagian daripada francais popular Avatar: The Last Airbender yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia animasi dan peminat setia di seluruh dunia.

Klip Filem Tersebar Di Media Sosial
Menurut pihak polis, laporan telah diterima pada 16 April selepas beberapa petikan daripada filem yang masih belum ditayangkan itu didapati tersebar luas di platform media sosial.
Tidak mengambil masa lama, suspek berjaya diberkas hanya dalam tempoh sehari selepas laporan dibuat.
Hasil siasatan lanjut, pihak berkuasa turut merampas beberapa peranti elektronik milik suspek dan menemui salinan filem tersebut di dalamnya.

Muat Naik Secara Dalam Talian
Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan akses jarak jauh tanpa kebenaran untuk memuat turun filem berkenaan sebelum bertindak memuat naik sebahagian klip ke dalam talian.
Perbuatan itu sekali gus membuka ruang kepada penyebaran kandungan yang sepatutnya dirahsiakan sebelum tayangan rasmi.
Boleh Berdepan Hukuman Berat
Ketika ini, lelaki tersebut sedang disiasat atas kesalahan mengakses bahan komputer tanpa kebenaran.
Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Bukan Berpunca Daripada Studio
Menurut laporan Variety, filem itu telah dimuat naik di platform X sejak awal April dan masih boleh diakses sehingga 16 April.
Bagaimanapun, studio di sebalik filem ini menegaskan bahawa kebocoran tersebut bukan berpunca daripada pihak mereka.

Tayangan Dijangka Oktober Ini
Sekadar info, filem animasi ini dijadualkan menemui penonton pada bulan Oktober depan berdasarkan maklumat daripada IMDb.
Walaupun insiden ini berlaku, ramai peminat masih menantikan tayangan rasmi dengan penuh teruja, lebih-lebih lagi kerana ia membawa kembali kisah dunia Avatar yang cukup ikonik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: CNA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











