
Kredit Foto: Sabah Media
Keputusan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang diumumkan baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. Selain kegembiraan bagi yang berjaya, tidak kurang juga yang berdepan rasa kecewa apabila gagal PKSK dan permohonan ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah teknikal tidak membuahkan hasil.
Namun, menurut seorang pendidik berpengalaman, kegagalan dalam PKSK bukan berpunca daripada faktor nasib semata-mata. Sebaliknya, terdapat beberapa punca utama yang sering terlepas pandang oleh ibu bapa dan pelajar ketika membuat permohonan.
Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, Cikgu Haziq Azree tampil menjelaskan lima faktor sebenar yang sering menjadi penyebab permohonan PKSK tidak berjaya, sekali gus memberi gambaran lebih jelas tentang realiti proses pemilihan yang jarang didedahkan.
Faktor paling utama pelajar gagal PKSK ialah markah PKSK yang tidak mencapai aras tolerasi atau standard minimum yang ditetapkan. Walaupun pelajar memohon ke sekolah atau negeri yang berbeza, permohonan tetap berisiko ditolak sekiranya markah asas tidak memenuhi syarat kemasukan.
Menurut Cikgu Haziq, isu sebenar bukan terletak pada sekolah pilihan, sebaliknya pada pencapaian markah PKSK itu sendiri. Ramai ibu bapa tersalah anggap bahawa pemilihan sekolah luar negeri atau kurang popular akan meningkatkan peluang, sedangkan asas penilaian masih bergantung pada markah.
Sekolah khusus seperti MRSM dan SBP sentiasa menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi setiap tahun. Keadaan ini menyebabkan tahap persaingan menjadi terlalu sengit, terutamanya bagi sekolah yang berstatus premier dan berprestij.
Hakikatnya, walaupun pelajar memiliki keputusan yang baik, mereka masih boleh gagal PKSK sekiranya markah berada di bawah kelompok teratas berbanding ribuan pemohon lain yang turut memohon sekolah sama.
Bagi program tertentu seperti sekolah vokasional dan sekolah menengah teknik, sesi temu duga atau ujian khas menjadi penentu penting. Pelajar yang gagal menunjukkan keyakinan, kemahiran komunikasi atau kesesuaian dengan program yang dipohon berisiko ditolak walaupun markah akademik melepasi syarat minimum.
Ini membuktikan bahawa PKSK bukan sekadar menilai akademik semata-mata, sebaliknya turut menilai potensi, minat, sikap dan keperibadian pelajar secara menyeluruh.
Antara kesilapan paling kerap dilakukan ibu bapa ialah memohon sekolah berstatus tinggi tanpa mengambil kira tahap penguasaan sebenar anak. Menurut Cikgu Haziq, ibu bapa perlu menilai prestasi anak secara realistik berdasarkan Tahap Penguasaan (TP) dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), bukan sekadar bergantung pada harapan semata-mata.
Pemilihan sekolah yang lebih seiring dengan kemampuan akademik dan minat pelajar mampu mengurangkan risiko gagal PKSK serta meningkatkan peluang kemasukan secara signifikan.
Setiap sekolah mempunyai aras tolerasi tersendiri, dan sekolah yang lebih popular lazimnya lebih selektif dalam pemilihan pelajar. Justeru, bagi permohonan rayuan, ibu bapa disarankan memilih sekolah yang kurang menjadi tumpuan bagi membuka peluang yang lebih besar.
Cikgu Haziq turut menasihatkan agar ibu bapa tidak membuat keputusan secara emosional, sebaliknya menilai pilihan dengan rasional dan strategi demi masa depan pendidikan anak.
Kesimpulannya, gagal PKSK bukanlah penamat kepada masa depan pelajar. Dengan memahami punca sebenar kegagalan dan membuat perancangan yang lebih bijak, pelajar masih mempunyai banyak laluan pendidikan berkualiti yang mampu membentuk kejayaan pada masa hadapan.
Pendidikan bukan hanya tentang memasuki sekolah elit, tetapi tentang bagaimana potensi anak dibangunkan secara konsisten, berperingkat dan sesuai dengan keupayaan sebenar mereka.
BACA LAGI : Exit Policy MRSM Dikembalikan, Pelajar Perlu Kekal Cemerlang Mulai Kemasukan 2026