Gadis Muda Ini Raih Ijazah Kelas Pertama, Terus Disambar Jadi Jurutera Di Scotland!

Share

Baru-baru ini, seorang pelajar tempatan, Puteri Irdina Sofea Jazlan Ariff membanggakan negara apabila berjaya menamatkan pengajian di The University of Edinburgh, Scotland dengan Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan MEng (Hons) Electronics and Electrical Engineering.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook, MARA Sponsorship Division juga sempat memaklumkan bahawa Puteri Irdina turut menerima tawaran kerja sebagai Analog Design Engineer di Analog Devices Inc iaitu sebuah syarikat multinasional semikonduktor berpengaruh yang berpangkalan di Scotland.

“Analog Devices Inc adalah antara syarikat multinasional  (semikonduktor) yang terkemuka dan mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh dunia”

“Tahniah Puteri Irdina Sofea atas kejayaan yang membanggakan. Semoga terus menjadi inspirasi buat semua pelajar tajaan MARA dan anak-anak Malaysia di perantauan. Teruskan melakar kejayaan,” tulis perkongsian itu.

Puteri Irdina berdiri paling kiri bersama rakan-rakan

Dalam pada itu, kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama gadis muda berkenaan dalam kalangan pelajar cemerlang, malah menjadi bukti bahawa anak Malaysia mampu bersaing di peringkat global jika diberi peluang dan usaha tanpa henti.

Sepanjang empat tahun berada di bumi Scotland, Puteri Irdina tidak hanya fokus pada akademik. Beliau juga aktif menyertai pelbagai aktiviti serta projek berimpak tinggi yang melatihnya menjadi seorang profesional serba boleh.

Antara pencapaian luar biasa beliau termasuk menjuarai pertandingan Formula Student UK (kategori Driverless/AI) bersama pasukan Electrical Department, University of Edinburgh serta meraih Best Solution Award daripada Huawei menerusi kursus Embedded Mobile and Wireless System.

Bukan itu sahaja, Puteri Irdina turut terbabit dalam projek tenaga boleh diperbaharui Westrigg Wind Farm yang memfokus kepada pembangunan turbin angin dan sistem janakuasa, satu pengalaman berharga dalam dunia kejuruteraan moden.

Apa yang lebih menarik, perjalanan akademik Puteri Irdina bermula sejak tahun 2015 di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang sebelum meneruskan pengajian di Kolej MARA Seremban pada 2020. Kini, kisahnya menjadi inspirasi buat ramai pelajar Malaysia yang berimpian menjejak kaki ke universiti terkemuka dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE