
Bintang legenda K-Pop, G-Dragon baru-baru ini kembali mencuri perhatian para peminat apabila tindakannya yang mengutamakan kebajikan staf sendiri menjadi bualan hangat dalam industri hiburan. Penyanyi rap yang terkenal dengan pengaruh besar itu sekali lagi membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar populariti, tetapi juga bagaimana beliau menghargai individu di belakang tabir.
Memetik laporan media tempatan Korea Selatan, G-Dragon atau pemilik nama sebenar Kwon Ji-yong (38) secara peribadi telah menyediakan apartmen serta ruang kediaman berasingan untuk pasukan lamanya yang dikenali sebagai ‘Team GD’ sebagai usaha memastikan kestabilan tempat tinggal dan pada masa sama meningkatkan keselesaan persekitaran kerja mereka.
Difahamkan, langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif luar kebiasaan dalam industri hiburan, khususnya apabila melibatkan kebajikan staf yang sering berada di belakang tabir. Penyediaan tempat tinggal seperti ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada pasukan, malah secara tidak langsung membantu meningkatkan produktiviti kerja mereka.
BACA: G-Dragon Failkan Saman Terhadap Lebih 100 Individu, Tegas Perangi Fitnah & Serangan Siber

Dalam perkembangan sama, G-Dragon turut dilaporkan menubuhkan sebuah yayasan berkepentingan awam dikenali sebagai ‘JUSPEACE’ dengan menggunakan dana peribadinya sebanyak 300 juta Korea Won (kira-kira RM806,000). Penubuhan yayasan ini juga mencerminkan kesungguhan beliau dalam membina sistem sokongan yang lebih tersusun.
Menerusi inisiatif tersebut, pelantun lagu ‘POWER’ itu turut berhasrat untuk melindungi hak para trainee (pelatih) selain meningkatkan kebajikan staf dalam industri hiburan yang sering berdepan tekanan kerja yang tinggi. Usaha ini sekaligus memperlihatkan sisi kemanusiaan seorang figura besar dalam dunia K-Pop.
Menariknya, keutamaan terhadap staf tetap menjadi fokus utama G-Dragon walaupun beliau kini sedang merancang fasa baharu dalam kerjayanya selepas meninggalkan agensi lama. Dalam pada itu, pendekatan ini menerima pujian ramai kerana dianggap mempunyai ‘visi jangka panjang’ yang jarang dimiliki oleh selebriti lain.
BACA: ‘Follow’ T.O.P Di Akaun Instagram Baru, BIGBANG Cetus Spekulasi ‘Reunion’ Sempena Ulang Tahun Ke-20

Untuk rekod, G-Dragon mula mencipta nama sejak debut bersama kumpulan BIGBANG pada tahun 2006 dan kini sedang membuat persiapan untuk ‘comeback’ penuh kumpulan tersebut sempena ulang tahun ke-20 mereka. Tahun lalu, beliau juga berjaya mencuri perhatian menerusi album solo ketiganya berjudul ‘Übermensch’.
Selain itu, beliau turut mengukuhkan pengaruh globalnya apabila mengadakan jelajah dunia di 17 bandar dengan keseluruhan 39 persembahan yang berjaya menarik lebih 820,000 penonton. Sebelum ini, G-Dragon pernah menjadi topik hangat selepas dilaporkan menerima agihan keuntungan sekitar 65 bilion Korea Won, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai antara ikon paling berpengaruh dalam industri hiburan Korea Selatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












