
Ikon K-Pop, G-Dragon baru-baru ini kembali mencuri perhatian apabila dilantik sebagai duta kehormat bagi sesi ke-48 UNESCO World Heritage Committee yang bakal berlangsung di Busan, Korea Selatan.
Difahamkan, pelantikan itu sekali lagi membuktikan pengaruh anggota BIGBANG berkenaan bukan sahaja dalam industri muzik, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi sumbangannya terhadap bidang seni, budaya dan kemasyarakatan.
Menurut agensi kerajaan Korea Selatan, G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-yong (38) dipilih bagi memegang peranan tersebut kerana pengaruh globalnya yang melangkaui dunia K-Pop, selain komitmennya dalam memperjuangkan pelbagai isu sosial melalui seni kreatif. Nilai yang diterapkan menerusi yayasan miliknya, Juspeace Foundation, juga dilihat selari dengan visi UNESCO dalam memupuk keamanan melalui kerjasama antarabangsa.
Selain itu, sebagai duta kehormat, beliau akan terlibat dalam pelbagai aktiviti promosi termasuk kempen kesedaran, video rasmi dan acara khas bagi menggalakkan orang ramai menghargai serta melindungi Tapak Warisan Dunia. Mesej yang dibawa memberi penekanan kepada usaha mewujudkan keamanan melalui budaya dan penyertaan masyarakat.
BACA: Bayaran Cecah RM10 Juta, G-Dragon Kini Antara Model Iklan Paling Mahal Di Korea
Dalam masa sama, Juspeace Foundation yang diasaskan G-Dragon pada 2024 akan melancarkan kempen Heritage in Peace bermula 10 Julai dengan kerjasama UNESCO. Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara Tapak Warisan Dunia, di samping menggalakkan penyertaan individu, syarikat dan bandar dalam usaha tersebut.
Dana yang berjaya dikumpulkan menerusi kempen berkenaan juga akan disalurkan kepada World Heritage Fund bagi membantu memelihara Tapak Warisan Dunia yang berdepan ancaman akibat peperangan, perubahan iklim serta bencana alam. Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pemuliharaan warisan untuk generasi akan datang.
“Kami menjangkakan penyertaan G-Dragon dan Juspeace Foundation akan meningkatkan lagi minat orang ramai terhadap UNESCO World Heritage Committee, sekali gus menggalakkan penglibatan masyarakat di Korea dan juga di peringkat antarabangsa,” kata pegawai Agensi Warisan Korea.
Untuk info, sesi ke-48 UNESCO World Heritage Committee dijadualkan berlangsung di Busan dari 19 hingga 29 Julai ini, sekaligus menjadikan Korea Selatan menjadi tuan rumah acara berprestij tersebut buat kali pertama sejak menyertai World Heritage Convention pada 1988.
Persidangan itu dijangka menghimpunkan delegasi daripada kira-kira 196 negara bagi membincangkan pelbagai agenda penting termasuk pencalonan Tapak Warisan Dunia baharu serta status pemuliharaan tapak yang telah diiktiraf UNESCO.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.