
“Geram dan sakit hati…”
Itulah luahan perasaan yang dilontarkan pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura berhubung kes penderaan kanak-kanak di taska yang semakin menjadi ‘barah’, pada masa ini.
Pesan pelakon filem popular Pisau Cukur itu, pemilik taska perlulah lebih berhati perut dan jangan mementingkan keuntungan semata-mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Akui Mudah Percayakan Orang, Fazura Jadikan Kes Pecah Amanah Sebagai Pengajaran & Lebih Berhati-Hati

“Geram dan sakit hati sebab kebelakangan ini, banyak sangat isu bila ibu bapa hantar anak ke taska tapi, dalam masa singkat, tiga hari atau sebulan, anak-anak cedera kena pukul sampai meninggal dunia apa semua.
“Pesanan untuk semua yang nak bekerja di taska atau nak buka taska dan sebagainya, kalau tak nak jaga anak orang, tak payahlah jaga. Tolonglah. Kita dahlah penat melahirkan dan membesarkan anak. Dan, ada di antara kita yang menunggu zuriat bertahun-tahun. Hantar ke taska dua tiga hari, sampai cedera teruk.
“Baru-baru ini, sampai tempurung kepala cedera, koma dan ada yang meninggal dunia. Terbaharu, kurung anak-anak kecil di dalam bilik sempit tanpa diberikan makanan dan sebagainya,” tuturnya.
Perkara tersebut diluahkan Fazura menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naiknya di platform Tiktok.

Selain itu, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak mementingkan diri sendiri dan mendapatkan rezeki dengan cara yang halal.
“Nak cari rezeki, tolonglah dengan cara yang berkat dan ikhlas. Kalau tak nak kerja jaga bayi, tolonglah cari kerja lain. Tak tahulah. Saya memang sangat-sangat kecewa dan sakit hati. Sebagai seorang ibu, memang saya sangat sakit hati.
“Jadi, siapa yang nak jadi pengasuh ke apa, ataupun nak buka taska, tolonglah upah orang-orang yang betul-betul ikhlas,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.
Dedahnya, anaknya yang berusia satu tahun itu diletakkan di dalam bilik kosong yang tidak beralas walaupun telah dibekalkan dengan selimut. Lebih mengejutkan, dia diberitahu pemilik taska bahawa ruangan itu adalah bilik ‘isolasi’ sementara buat kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun.
Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Tiktok Fazura & Facebook El Ameera
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Cemas Giler, Diri Hampir Kena Langgar…”Lelaki Rakam Video Uncle Di Federal Highway Kongsi KISAH SEBENAR

Semalam, viral kisah seorang lelaki tua yang membawa kereta bagai ular kena palu. Sekejap langgar tembok penghadang jalan, berenti kemudian memecut semula seolah-olah bermain police entry tanpa mengetahui keadaan sebenar lelaki yang awalnya disangka mabuk di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, berhampiran Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di Petaling Jaya, semalam.
Kesnya mula jadi viral selepas kejadian itu dirakam oleh Mohd Faizal yang sedang menunggang motosikal di laluan yang sama dengan kejadian berlaku. Dalam video berkenaan menunjukkan pemandu Honda CRV itu melanggar tembok pembahagi jalan dan dikatakan kemudian melanggar bahagian belakang sebuah kereta pacuan empat roda, Mitsubishi Triton. Hasil pemeriksaan rapi selepas kereta dapat diberhentikan mendapati, lelaki tua ini, Ti Teow Yong berusia 79 tahun sebenarnya mengalami tekanan darah rendah.
Sedikit info, seseorang yang mengalami tekanan darah rendah atau disebut Hipotensi akan mengakibatkan setiap organ daripada badan tidak mendapat aliran darah yang mencukupi dalam masa yang singkat dan akibat daripada ini timbulnya gejala atau simptom hipotensi. Kes ini jarang berlaku berbanding tekanan darah tinggi di masa seseorang itu terasa seperti hendak pitam, berasa pening dan sebagainya.
Dan sekiranya keadaan ini berlaku pada bahagian otak (tidak dapat bekalan darah yang diperlukan) pesakit boleh pitam atau pengsan. Namun, tekanan darah boleh berubah-ubah dalam tempoh masa yang sekejap sahaja di mana ianya boleh naik ataupun turun dan mengukur tekanan darah amat penting bagi menunjukkan tahap kesihatan seseorang.
Baca catatan terkini dari Mohd Faizul bagaimana dia berkongsi detik cemas semasa proses “menyelamatkan” Uncle Ti Teow semalam seperti di tulis dalam catatan facebooknya. Tahniah kepada brader ni kerana berani demi membantu Uncle yang berada dalam kesusahan itu. Nak kenal, inilah brader yang baik hati nie.


Federal highway…dia x mabuk..mungkin dia dlm keadaan sakit, atau kehabisan ubat.
Update
Ok semua..harap bertenang dan jangan ribut-ribut. Aku nak cepat tadi, kejar masa so tak sempat nak update. Sekarang ini aku tengah free skit baru boleh cerita. Kisahnya aku follow kereta ni dari Pusat Sains, Bukit Kiara menuju ke Federal Highway tu lagi sebenarnya. Aku nampak kereta tu berhenti di tengah-tengah jalan lorong 3 lane..
Bimbang dia kena langgar dari belakang, aku berhentikan motor aku belakang keta dia. Kemudian baru je aku tongkat motor nak pergi tengok dia, tup-tup dia tekan minyak, teruih jalan kereta terhuyung hayang sampai ke Plaza Tol Kerinci Link.. Tu pun dia tak berhenti gak terus langgar palang tol lorong smart tag.
Lepas dia langgar palang tol tu..dia berhenti sekejap..dan masa aku baru sampai kat keta dia, baru je nak tanya dia apahal bawak keta mcm ular kena pukul, dia teruih tekan minyak la..keta teruih jalan.(hahahaha jilake rasa mcm kena main)..
Masa ni la aku keluarkan telefon untuk rakam pergerakan kereta dia..sebab aku bimbang berlaku sesuatu yang buruk dan tak dijangka, maka aku ada sesuatu bukti yang mungkin boleh diguna pakai kelak.
Ada yang komen kenapa aku tak call polis terus je?
Oleh kerana aku sgt yakin yang polis Malaysia ini bukanlah seperti Superman atau The Flash yang ada kuasa super power boleh muncul dengan secara, maka aku tak call polis. Lagipun benda tengah bergerak kot. Kena polis tu nanti tanya kat mana tempat kejadian? Tak masak plak aku nak jawab?
So, aku amik keputusan utk terus rakam hingga dia masuk ke jalan federal highway menuju ke Shah alam. Habis aku sekat semua kenderaan supaya jangan hampir dengan kereta pakcik ni, bahaya
Masa ini aku mmg betul-betul cemas sebab kereta banyak.
Pakcik ini pun nyaris-nyaris nak sodok penunggang moto kat depan dia. Masuk Federal Highway baru la ada seorang lagi penunggang motosikal yang sama-sama dengan aku tolong kawal lalu lintas sampai la kereta pakcik ni berhenti.
Alhamdulillah..lepas je kereta pakcik ini berhenti, tak sampai 5 minit pun, aku tengok polis-polis trafik yang naik motor, naik patrol car semua dah sampai kat belakang kereta pakcik ni (time ni video dh cut off). Masa aku dengan polis trafik tu check pakcik tu nyaris-nyaris kami tak dilanggar sebab pakcik tu masih nak tekan minyak keta dia. Mujur aku sempat tarik kunci keta dia..
Lepas tu kes pakcik ni aku serahkan pada polis-polis trafik yang dh makin ramai datang kat tempat kejadian ni. Aku nampak polis trafik tu sendiri yang tolong pandukan kereta pakcik ni ke tepi jalan, tak lama lepas tu dia orang terus bawa pergi ke balai PJ (rasanya) sebab sebelum kereta pakcik tu berhenti, ada sedikit pelanggaran dengan sebuah Hilux..(tiada dalam video)
Ok..setakat ni saja yang ada dalam pengetahuan aku. Latest update..
Posted by Mohd Faizal on Monday, 9 July 2018
Apapun tahniah untuk brader ini kerana sikap tolong menolong harus dipupuk dalam jiwa setiap insan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Air Asia Buat Promosi Tak Masuk Akal, Pas Penerbangan Tanpa Had Selama Setahun Hanya RM499!

Bila syarikat penerbangan AirAsia buat promosi, maka ramailah diantara kita yang sanggup berjaga malam gara-gara ingin mendapatkan tiket murah. Mana tidaknya, harga yang ditawarkan pada waktu promosi ni boleh dikatakan ‘gila’ jugalah.
Baru-baru ini AirAsia buat kejutan kepada rakyat Malaysia apabila menawarkan harga tidak masuk akal, bermula 29 Februari lalu sehingga 7 Mac 2020 nanti, AirAsia menawarkan pas penerbangan tanpa had selama setahun berharga RM499 untuk semua ahli BIG AirAsia di seluruh negara.

Syarikat penerbangan tambang murah itu menawarkan pas penerbangan tersebut untuk ke negara seperti Australia, Jepun, Korea, China dan India.
Dengan pas berkenaan, korang boleh melakukan penerbangan bermula hari ini (2 Mac 2020) hingga 2 Mac 2021 kelak.
Tetapi perlu diingatkan bahawa penerbangan perlu ditempah sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh pelepasan.

Memandangkan tempoh perjalanan bagi pemegang pas tanpa had itu meliputi tempoh setahun, anda mempunyai pilihan untuk membuat tempahan pada bila-bila masa sahaja dan boleh memilih untuk menerokai destinasi sedia ada atau kembali ke destinasi kegemaran berulang kali pada musim yang berbeza.
Bagi membeli pas penerbangan tanpa had itu, korang boleh dapatkannya di laman airasia.com/deals ataupun dalam aplikasi mudah alih AirAsia.
Amacam guys? Berani ke nak travel time-time macam ni? Apa pun, tepuk dada tanya selera. Tidak kiralah korang berada di mana sahaja, semoga kita semua dilindungi daripada segala penyakit yang memudaratkan.
Semua pilihan di tangan korang!
Sumber: Newsroom AirAsia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pertemuan Mufti Wilayah Bersama JPN, Tertera Muhammad Sajjat BIN Kamaruz Zaman Berjantina LELAKI

Ramai masih membicarakan isu Muhammad Sajjat bin Kamaruz Zaman yang dilihat bertelekung ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci. Di saat ramai membicarakan soal aurat kerana dirinya bersolat di ruang wanita, orang ramai pastinya mahu satu pengesahan adakah jantina sebenar dirinya. Khunsa atau lelaki?
Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menjawap semua persoalan mengenai jantina ahli perniagaan tersebut.
Bacalah penerangan penuh dari Mufti Wilayah Persekutuan ini. Semoga apa yang menimpa Sajjat juga menjadi asbab untuk menjadi pengajaran juga buat kita semua.


INGATAN UNTUK SAJAT DAN SEMUA UMAT ISLAM
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Saya doakan saudara Sajat berada dalam taufiq, hidayah dan ‘afiah sentiasa. Isu ini menjadi hangat sehingga tempiasnya kena juga kepada Mufti Wilayah Persekutuan. Jika dijawab, akan ada yang bertanya, “Kenapa begitu, kenapa tidak begini?”. Jika tidak dijawab, akan ada yang bertanya, “Mengapa berdiam diri?”. Itulah kelazimannya.
Berhubung isu berkaitan Transgender, kami telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam beberapa buah artikel di laman web sejak tahun 2015:
1. QALAM MUFTI SIRI KE-29: WASPADA ANCAMAN NORMALISASI LGBT .
2. AL-KAFI SIRI KE-578 : BUDAYA LGBT, HADAPILAH DENGAN ILMU
3. BAYAN LINNAS SIRI KE-5: ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN
4. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA
Disamping memberikan penjelasan melalui penulisan, saya juga mengadakan lawatan berkala untuk bertemu komuniti Transgender bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah Islam. Dalam masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menegaskan kewajipan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
Saya mengambil maklum isu yang sedang berlaku berhubung Sajat pada sebelum, semasa menunaikan umrah di Mekah dan kini di Madinah. Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identiti jantina beliau yang diuruskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2018. Justeru, jika berhubung pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan, ianya berada di bawah urusan pihak JAKIM.
Nasihat
Saya nasihatkan seperti berikut:
1. Fahamilah maksud sebenar ibadah umrah.
• Imam al-Nawawi pada awal mukadimah kitabnya menyeru kepada bakal haji dan umrah supaya bertaubat daripada segala maksiat dan segala perkara yang makruh serta berusaha mengislahkan diri. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 48)
• Apakah niat kita menunaikan umrah? Ambil waktu yang sunyi, hening di tengah malam semasa bermunajat kepada Allah SWT untuk bertanya kepada diri kita soalan tersebut. Saya amat pasti, tidak ada yang menunaikan umrah hanya untuk melancong dan berseronok. Umrah adalah pengembaraan rohani seseorang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Fikir terlebih dahulu sebelum bertindak.
Adakah tindakan itu menguntungkan diri, keluarga dan negara atau sebaliknya? Dalam urusan ibadah, kita wajib mengikut syarak, bukannya mengikut hati dan perasaan. Apatah lagi jika seseorang itu dikenali ramai, sudah tentu apa jua bentuk tindakannya akan diperhatikan. Yahya bin Sa’id al-Ansari berkata:
لا تفعل فإنك إمام منظور إليك
Maksudnya: “Jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, kerana anda di hadapan mereka yang memerhati anda.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/357)
3. Agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya.
Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat. Sepatutnya sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan mereka agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.
4. Allah SWT Maha Kuasa
Allah SWT tidak perlu tunduk kepada kehendak sesiapa untuk memberikan dosa atau pahala. Dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa, tempat dan keadaan yang dikehendaki-Nya. Sedikit firman-Nya untuk renungan kita:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”
(Surah Fatir: 45)
5. Jujurlah kepada diri sendiri.
Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat. Allah SWT berfirman:
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا
Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
(Surah al-Isra’: 7)
6. Jangan mudah memberi komen.
Hal ini saya tujukan kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen supaya memahami latarbelakang isu terlebih dahulu disamping meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan samada positif atau negatif. Gunakan bahasa yang baik atau teguran yang membina. Budayakan dan amalkan prinsip al-din al-nasihah (agama itu adalah nasihat) mengikut kehendak Nabi SAW.
Pendirian (Mauqif) Dalam Isu Jantina
Atas rasa amanah dan tanggungjawab, PMWP mengambil inisiatif untuk bertemu pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 3 Februari 2020 bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial.
Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman. Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.
Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita. Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah. Dokumen yang diperlukan adalah:
• Perintah mahkamah yang mengandungi butir-butir pengisytiharan jantina baru pemohon.
• Surat pengesahan doktor kerajaan (jika ada)
• Surat pengesahan pembedahan penukaran jantina yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan
• Sijil lahir (asal dan salinan)
Sila rujuk keputusan Nanthan Balan Tan vs Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdapat kaedah fiqh yang masyhur menyatakan:
نحن نَحْكُم بالظواهر والله يتولى السرائر
Maksudnya: “Kita menghukum berdasarkan apa yang terzahir, dan Allah menguruskan apa yang tersembunyi.”
Selain itu, saya juga berpegang dengan kaedah berikut:
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya: “Asal kepada sesuatu perkara kekal seperti sebelumnya”
Maka, pendirian PMWP berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki.
Hukum Umrah Transgender
Saya nyatakan seperti berikut:
• Wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya. Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).
• Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1433H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji.
Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semulajadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya. Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.
Hormatilah Negara dan Undang-Undang Kita
Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik. Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia – Arab Saudi. Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia.
Peruntukan undang-undang syariah berhubung kesalahan wanita menyerupai lelaki (pengkid) dan hukum lelaki menyerupai perempuan (pondan dan mak nyah) telah sedia diperuntukkan di dalam akta dan enakmen negeri-negeri. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti untuk melaksanakannya dengan penuh amanah, berhemah dan bijaksana.
Ambillah Peluang
Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh disamping mengisi masa dengan acara-acara ibadat seperti berikut:
• Banyakkan bertaubat dan beristighfar
• Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW
• Banyakkan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaan anda, amin. Bak kata HAMKA, “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.”
Saya akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.
Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

