
Aktivis kemanusiaan dan personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, sekali lagi mencuri perhatian ramai. Di usia 36 tahun, dia bukan sahaja menyerlah sebagai wanita berpendidikan tinggi, malah kini melangkah jauh sebagai pejuang kemanusiaan di bumi Gaza.
Anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini menjadi antara wakil Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini — sebuah misi besar yang menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara bagi membawa bantuan dan mesej solidariti untuk rakyat Palestin.
Misi tersebut turut disertai beberapa figura tanah air antaranya PU Rahmat, Ardell Aryana, Haroqs, Ustaz Mad Kecik (UMK) dan Zizi Kirana. Kehadiran mereka membuktikan bahawa semangat kemanusiaan tidak mengenal batas usia mahupun kerjaya.
Ramai mengenali Farah melalui media sosial, tapi di sebalik personaliti lembutnya, dia sebenarnya memiliki latar akademik yang sangat mengagumkan.
Farah ialah pemegang dua ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Inha University, Korea Selatan, dan Pendidikan Kanak-kanak dari University of Leeds, United Kingdom.
Gabungan dua bidang yang berbeza ini melambangkan sisi genius dan empati dalam dirinya — berilmu, tetapi tetap berhati besar.
Kejayaan akademik Farah tidak datang mudah. Di saat dia menuntut ilmu di luar negara, anak perempuannya, Maream Esabel, menjadi sumber kekuatan yang paling besar.
Dalam satu luahan di media sosial, Farah menulis:
“Alhamdulillah Maream, kita berjaya lakukannya! Terima kasih atas kesabaran dan sokongan kamu sejak hari pertama kita berada di sini. Ketika itu kamu masih kecil tetapi sangat memahami, suka membantu dan tabah. Kejayaan ini adalah untuk kamu, Maream.”
Ayat itu jelas menunjukkan betapa mendalam kasih seorang ibu yang berjuang bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masa depan anaknya.
Kini bergelar isteri kepada Fuad Hashim, seorang atlet sukan kuda lasak, Farah terus melangkah ke depan dengan semangat luar biasa.
Dia bukan sekadar simbol wanita berpendidikan, tetapi juga ikon kemanusiaan yang menjadikan ilmu sebagai alat untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Penglibatannya dalam misi GSF ini membuktikan bahawa wanita Malaysia mampu berdiri di barisan hadapan perjuangan dunia.
Farah Lee ialah contoh nyata bahawa kejayaan tidak hanya diukur dengan pangkat atau kemewahan, tapi sejauh mana kita boleh memberi makna kepada kehidupan orang lain.
Daripada kampus di Korea dan UK hingga ke kapal menuju Gaza, Farah mengajar kita satu perkara penting — anak muda Malaysia mampu jadi agen perubahan, di mana saja mereka berada.
Salute, Farah Lee. Semoga terus kuat membawa misi kemanusiaan dan terus jadi inspirasi untuk seluruh anak muda Malaysia! 🇲🇾💪