Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek kini bergelar Datuk Seri selepas dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Fadhlina Sidek merupakan antara 10 individu yang menerima DGSM yang membawa gelaran Datuk Seri pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2026 yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Malah, beliau turut mengetuai senarai keseluruhan 1,328 penerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri bagi tahun ini.
Penganugerahan tersebut sekali gus menjadi antara perhatian utama dalam istiadat tahun ini apabila Fadhlina Sidek berada di kedudukan teratas senarai penerima darjah kebesaran Negeri Melaka.
Selain Fadhlina, antara individu yang menerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.
Turut menerima darjah sama ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Darjah Gemilang Seri Melaka merupakan antara darjah kebesaran yang dianugerahkan dalam istiadat berkenaan. Bagi tahun 2026, seramai 10 individu menerima DGSM yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ads
Pengurniaan tersebut menyaksikan penerimanya terdiri daripada tokoh dalam pelbagai bidang dan institusi penting negara, termasuk pendidikan, kehakiman, keselamatan, ketenteraan, korporat serta pertubuhan kebangsaan.
Dengan penganugerahan berkenaan, gelaran Datuk Seri kini digunakan oleh Fadhlina Sidek selaras dengan darjah kebesaran yang diterimanya pada istiadat tersebut.
Ziana Zain Antara Penerima Gelaran Datuk
Dalam pada itu, istiadat berkenaan turut menyaksikan 56 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Ads
Antara penerimanya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd. Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamin dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Seramai 14 individu pula menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar.
Nama penyanyi tersohor negara, Ziana Zain turut mencuri perhatian apabila beliau menjadi antara 189 individu yang menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM), sekali gus membawa gelaran Datuk.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail serta Pengarang Kumpulan Berita dan Pengarah Rangkaian Televisyen (Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa), Datuk Azhari Muhidin turut menerima DPSM.
Ads
1,328 Individu Terima Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2026
Secara keseluruhan, seramai 1,328 individu menerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka bagi tahun 2026 menerusi istiadat yang berlangsung dalam tiga sesi pada 24 dan 26 Ogos.
Jumlah penerima yang besar itu merangkumi pelbagai darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri yang diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu daripada pelbagai bidang serta lapisan masyarakat.
Secara keseluruhannya, penganugerahan pada tahun 2026 menyaksikan Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima, di samping tokoh-tokoh lain yang menerima darjah dan pingat kebesaran Negeri Melaka dalam kategori masing-masing.
Sumber : Utusan Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima hukuman dibuang daripada universiti setelah berdepan pertuduhan mencemarkan kitab Al-Quran apabila bertindak memijaknya lalu memuat naik perbuatannya di media sosial dengan niat ingin mengaibkan agama Islam pada 22 Februari lalu.
Pelajar yang dikenali sebagai S.Vikneswaran menerima hukuman itu setelah Jawatankuasa Tatatertib Pelajar universiti berkenaan bersidang pada 9 Mac.
Tertuduh dan bekas penuntut UMPSA, S.Vikneswaran.
Naib Canselor UMPSA, Prof Yatimah Alias dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, penuntut itu didapati bersalah lalu dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.
Menurutnya lagi, pihak universiti berharap agar hukuman tegas ini boleh dijadikan pengajaran dalam kalangan warga universiti lain sama ada mahasiswa mahupun tenaga kerja agar semua lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan agar nama baik institusi tidak tercemar.
Isu Sensitiviti Agama
Pihak UMPSA tambahnya tidak akan berkompromi dalam isu penyebaran kandungan yang menghasut kebencian melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam di Malaysia.
Terdahulu, S. Vikneswaran menerusi akaun peribadi ‘ryandaselva’ di laman portal Threads secara sedar melakukan hantaran jelik melibatkan kitab suci Al-Quran dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain.
Bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya, mahkamah membenarkan mahasiswa itu diikat jamin RM10,000 setiap satu dan mengarahkannya melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 8 April 2026 untuk sebutan semula kes berkenaan.
Pengajaran Kepada Masyarakat
Dalam era digital masa kini, setiap individu perlu lebih peka terhadap batasan dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia. Tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang boleh mengundang kesan yang serius.
Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah pelajar agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi serta media sosial.
Kes ini secara tidak langsung menjadi pengajaran kepada semua pihak agar sentiasa menghormati agama, budaya dan nilai masyarakat demi mengekalkan keharmonian negara.
SUMBER: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini telah selamat menjalani prosedur Pembedahan Penggantian Sendi Lutut Kanan (Right Total Knee Replacement) di Jerudong Park Medical Centre.
Prosedur perubatan tersebut dilaporkan berjalan dengan lancar dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan pakar yang dilantik khusus bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan Baginda Sultan sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Penglibatan Pakar Institut Jantung Negara Curi Perhatian
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikongsikan melalui laman Facebook Institut Jantung Negara (IJN), institusi perubatan nasional itu menzahirkan ucapan setulusnya kepada Baginda Sultan serta mendoakan agar proses pembedahan dan pemulihan berjalan dengan cepat serta sempurna.
Apa yang mencuri perhatian ramai, IJN turut memaklumkan bahawa Dato’ Sri Dr Azmee Ghazi, Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung IJN, telah diperkenankan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan perubatan Baginda Sultan bagi prosedur penting tersebut.
Pengiktirafan Profesional Bertaraf Antarabangsa
Menurut kenyataan rasmi IJN, pemilihan Pakar Institut Jantung Negara untuk terlibat secara langsung dalam rawatan Diraja Brunei merupakan satu penghormatan besar yang mencerminkan tahap keyakinan tinggi terhadap kepimpinan klinikal serta kepakaran perubatan pakar-pakar IJN.
“Being invited to contribute alongside His Majesty’s specialised medical team is a significant professional recognition. It underscores IJN’s standing as a regional centre of excellence,” menurut kenyataan tersebut.
IJN menjelaskan bahawa penglibatan pakarnya dalam pasukan perubatan Diraja Brunei bukan sahaja satu pengiktirafan profesional kepada individu terlibat, malah menjadi bukti kukuh bahawa kepakaran perubatan dan kardiovaskular Malaysia kini diiktiraf serta dicari di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pelantikan Dato’ Sri Dr Azmee Ghazi sebagai Pakar Institut Jantung Negara dalam pasukan perubatan berprofil tinggi ini turut mengangkat reputasi Malaysia sebagai hab rawatan perubatan kompleks yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Komitmen IJN Melahirkan Pakar Bertaraf Dunia
IJN turut menegaskan bahawa pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut dalam melahirkan pakar bertaraf dunia, khususnya dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung.
Dengan latihan berstruktur, penyelidikan berterusan dan amalan klinikal beretika tinggi, Pakar Institut Jantung Negara terus memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan negara berada pada tahap terbaik.
Sebagai institusi perubatan nasional, IJN menegaskan kesediaannya untuk terus menyumbang kepakaran perubatannya di mana sahaja ia diperlukan, berpaksikan profesionalisme, ketepatan klinikal dan tanggungjawab untuk berkhidmat.
Penglibatan Pakar Institut Jantung Negara dalam rawatan Diraja Brunei ini dilihat sebagai simbol kepercayaan, hubungan serantau yang kukuh serta bukti bahawa kecemerlangan perubatan Malaysia kini berdiri setanding dengan pusat rawatan terkemuka dunia.
Sumber : Facebook IJN, Instagram JPMBrunei
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dunia olahraga dikejutkan dengan kemunculan seorang bintang baharu dari Jepun apabila remaja berusia 16 tahun, Sorato Shimizu, mencatat sejarah sebagai pelari bawah 18 tahun terpantas dunia dalam acara 100 meter.
Catatan masa luar biasanya, 10.00 saat, telah mencipta rekod dunia baharu yang sukar dipercayai bagi usianya. Rekod itu dicipta semasa Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah Jepun yang berlangsung di Hiroshima baru-baru ini.
Atasi catatan terbaik Usain Bolt
Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih mengagumkan adalah, Shimizu bukan sahaja memadamkan rekod terdahulu milik Christian Miller (Amerika Syarikat) dan Puripol Boonson (Thailand) yang masing-masing mencatat 10.06 saat, malah dia turut mengatasi catatan terbaik Usain Bolt ketika berusia 20 tahun, iaitu 10.03 saat.
Menurut laporan, pencapaian ini sekaligus menempatkan Sorato Shimizu dalam senarai lima pelari terpantas sepanjang zaman di Jepun, menjadikan dirinya satu nama yang perlu diberi perhatian, bukan hanya di Asia tetapi juga di pentas dunia.
Selain mencipta rekod dunia kategori bawah 18 tahun, Shimizu juga kini memegang rekod kebangsaan sekolah menengah Jepun, mengatasi catatan lama 10.01 saat yang dicatat Yoshihide Kiryu pada tahun 2012.
Dalam satu kenyataan ringkas selepas perlumbaan, Shimizu meluahkan kegembiraannya:
“Saya bertekad untuk berlari di bawah 10 saat menjelang perlumbaan akhir. Saya gembira dapat mencipta rekod sekolah menengah. Saya ingin mencuba rasanya jika saya boleh melayakkan diri.”
Impian Shimizu bukan sekadar berakhir dengan pencapaian ini. Beliau kini layak untuk menyertai Kejohanan Dunia Olahraga yang bakal berlangsung di Tokyo pada bulan September nanti. Ia akan menjadi pentas sebenar untuk remaja ini menguji kekuatannya berhadapan jaguh-jaguh pecut dari seluruh dunia.
Kejayaan ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada remaja di Malaysia dan seluruh dunia. Tahniah Sorato Shimizu, moga terus terbang di dalam arena olahraga.