Inpirasi

Baru 18 Tahun Dah Tunai Haji Secara Solo, Eusoff Azman Antara Jemaah Termuda Musim Ini

Share

Terbaru, seorang bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman mula mencuri perhatian apabila berjaya menunaikan ibadah haji seorang diri pada usia 18 tahun, sekaligus menjadikan beliau antara jemaah termuda bagi musim ini.

Lazimnya, pada usia yang masih bergantung kepada keluarga, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membuktikan bahawa pendedahan awal dan disiplin diri mampu membentuk keberanian untuk menggalas tanggungjawab besar seperti menunaikan Rukun Islam kelima.

Menurut Eusoff, peluang ke Tanah Suci pada usia muda tidak datang secara kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil perancangan awal ibu beliau yang mendaftarkannya dengan simpanan Tabung Haji sejak beliau masih kecil.

“Mak saya daftarkan saya seawal tahun 2008, sejak saya masih bayi. Alhamdulillah tahun ini nama saya dipilih dan saya datang seorang diri,” katanya.

Tambah Eusoff, simpanan untuk tujuan tersebut dikumpul secara berperingkat sejak kecil termasuk melalui duit raya dan wang poket, selain mendapat sokongan berterusan daripada ibu bapanya.

Mengulas pengalaman berada di Tanah Suci, Eusoff mengakui tidak berdepan kesukaran besar untuk menyesuaikan diri meskipun pertama kali ke luar negara tanpa keluarga, memandangkan pengalaman tinggal di asrama sebelum ini banyak membantu dirinya untuk berdikari.

BACA: Haji Muda Raih Keputusan 9A Dalam SPM, Jaga ‘Hubungan’ Antara Tip Berjaya

“Saya tidak terlalu gementar, cuma ini pengalaman baru sebab pertama kali berjauhan dengan keluarga di luar negara,” ujarnya sambil menambah hubungan baik dengan rakan sebilik yang jauh lebih berusia turut memberi banyak manfaat sepanjang berada di sana.

Sementara itu, Eusoff sempat merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya atas pengorbanan mereka serta berharap lebih ramai ibu bapa mengambil inisiatif mendaftarkan anak-anak ke Tabung Haji sejak kecil agar peluang menunaikan ibadah haji pada usia muda dapat direalisasikan.

Sumber: Astro Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE