“Saya janji, 10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr Euodia demi mommy.”
Luahan penuh emosi itu menjadi janji Euodia Then Suling, 15, kepada mendiang ibunya, Debra Moset, jururawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu.
Di sebalik kehilangan insan paling disayanginya, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1 itu bertekad untuk meneruskan impiannya menjadi seorang doktor, seperti yang pernah dirancang bersama ibunya.
Kini, perjalanan Euodia untuk merealisasikan impian tersebut bakal mendapat sokongan penuh apabila Kerajaan Sarawak mengumumkan akan menanggung kos pendidikannya sehingga dia berjaya bergelar doktor.
Pesanan Ibu Jadi Pembakar Semangat Euodia Then Suling
Euodia dilaporkan kali terakhir bertemu mendiang ibunya pada 3 September lalu di Kampung Semadang, hanya beberapa hari sebelum tragedi berlaku.
Menurut Euodia, kerjaya Debra sebagai seorang jururawat menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik dengan bidang perubatan.
Malah, apabila Euodia Then Suling pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi doktor, ibunya sentiasa memberikan galakan dan berpesan supaya dia belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita tersebut.
Debra juga dikatakan pernah berjanji mahu menemani perjalanan anaknya sehingga Euodia berjaya bergelar doktor. Ibu dan anak itu bahkan pernah membayangkan untuk bekerja bersama-sama dalam bidang perubatan pada suatu hari nanti.
Ads
Namun, impian untuk melihat detik tersebut bersama tidak kesampaian selepas Debra terkorban dalam nahas berkenaan.
Kerajaan Sarawak Tanggung Pendidikan Euodia Hingga Jadi Doktor
Keazaman Euodia Then Suling turut mendapat perhatian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas beliau membaca mengenai hasrat remaja berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh dan meneruskan legasi ibunya.
Ketika berucap pada Majlis Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara, Abang Johari mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan Euodia sehingga dia berjaya mencapai cita-citanya.
Menurut beliau, kehilangan ibu atau bapa sememangnya tidak mampu digantikan dengan wang ringgit, namun kerajaan negeri akan memainkan peranan dalam membantu keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.
Malah, bantuan pendidikan sama turut akan diberikan kepada anak-anak mangsa lain yang terkorban dalam nahas berkenaan.
Ads
Lima Nyawa Terkorban Dalam Nahas Helikopter
Nahas helikopter BO-105 di Long Lellang, Ulu Baram itu mengorbankan kesemua lima individu yang berada di dalam pesawat.
Selain Debra, 40, mangsa lain ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta seorang lagi jururawat, Jessie Paya Jok, 44.
Tragedi tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah turut memperlihatkan pengorbanan petugas kesihatan yang menjalankan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Buat Euodia, perjalanan untuk merealisasikan cita-citanya masih panjang. Namun kini, dia mempunyai satu lagi sokongan besar untuk terus melangkah.
Semoga satu hari nanti, janji yang ditulisnya buat mendiang ibu benar-benar menjadi kenyataan dan nama Dr Euodia menjadi bukti bahawa pesanan serta semangat seorang ibu terus hidup dalam diri anaknya.
Sumber : Sirap Limau, Utusan Borneo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cemerlang apabila meraih tempat kedua dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Menurut Fakulti Perakaunan UiTM, Nur Ilhan Nurina Mohd Oslan dan Muhammad Fawwaz Mohammad Masrin, masing-masing dari kampus Shah Alam dan Tapah, Perak.
Kredit: Facebook Fakulti Perakaunan UiTM
Dalam peperiksaan berkenaan, Nur Ilhan mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA).
Manakala, Muhammad Fawwaz pula memperoleh tempat pertama dan kedua dunia untuk Top ACCA FIA Prize Winner bagi kertas Management Information (MA1).
Kredit: Kementerian Pendidikan Tinggi
“Kejayaan konsisten pelajar ini memberikan impak positif, motivasi dan inspirasi kepada rakan seperjuangan, keluarga, fakulti, UiTM dan rakyat Malaysia secara amnya”
“Sebagai fakulti yang terbesar di Malaysia dalam bidang perakaunan, Fakulti Perakaunan mendukung tanggungjawab yang signifikan, setiap tahun fakulti melahirkan lebih kurang 50 peratus graduan perakaunan dalam kalangan semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) negara,” katanya.
Kini, fakulti itu akan mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang 2030. Semoga pencapaian seperti ini menjadi contoh pada anda di luar sana.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesembuhan pelajar tahun pertama jurusan undang-undang, Reeya Kaur Thandal yang cedera parah susulan insiden letupan gas pendingin hawa di HELP Universiti pada 12 Januari lalu.
Menerusi ciapan di media sosial X hari ini, Anwar berharap agar siasatan dilakukan agar aspek keselamatan semua pihak terjamin pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Siasatan segera dan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dalam memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin.”
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan, pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang meninggal dunia akibat kejadian berkenaan.
Soo Yu Juan, 24 sedang menjalani latihan bersama sebuah syarikat penyelenggaraan penyaman udara dan berada di HELP University untuk tugasan rutin.
“Takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas pemergian anak tersayan dalam insiden tersebut, moga diberi ketabahan dan kekuatan, juga semua yang terkesan dengan tragedi ini,” catat Anwar.
Letupan Mengejutkan Seluruh Keluarganya
Reeya, 19 mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan dalam otak susulan letupan di HELP University.
Difahamkan, pelajar berkenaan sedang menjalani prosedur bagi menentukan sama ada pembedahan diperlukan selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan tidak sedarkan diri (koma).
Memetik kenyataan bapanya, Ravin Singh kepada media, beliau menyifatkan pengalaman ini umpama berada dalam mimpi ngeri dan berharap dapat terjaga lalu mendapati semua ini tidak benar. Ravin turut berkata dia menerima berita ini oleh salah seorang rakan Reeya.
Berada Di Lokasi Salah, Waktu Salah
Reeya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik disifatkan Ravin sebagai seorang remaja yang kuat, bijak dan sentiasa bersemangat. Tambah menyedihkan lagi, buat julung kalinya Reeya telah memuat naik gambar bersamanya dan isteri beberapa hari sebelum kejadian itu.
FOTO: Facebook Reeya Thandal.
“Dia berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja. Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah mendoakan anak saya supaya pulih dan memastikan kejadian seperti itu tidak lagi berulang,” ujarnya.
Keadaan Mangsa Lain
Akibat letupan yang berlaku ke atas sebuah pemampat pendingin hawa sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan, mangsa lain terdiri daripada tiga pelajar, dua pembantu kafeteria dan seorang anggota pengurusan universiti dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Manakala Reeya dan seorang lagi kontraktor penyelenggaran penyaman udara masih menerima rawatan di wad.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Insiden seorang menteri Jepun yang tiba lewat hanya beberapa minit tetapi terus berlari masuk ke mesyuarat Kabinet baru-baru ini menjadi perhatian ramai di media sosial.
Peristiwa menteri Jepun berlari masuk mesyuarat kabinet itu bukan sahaja tular di internet, malah membuka perbincangan tentang betapa seriusnya masyarakat Jepun terhadap disiplin dan ketepatan masa.
Di Jepun, lewat walaupun hanya beberapa minit sering dianggap sesuatu yang memalukan, terutamanya bagi individu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan atau organisasi.
Ketepatan masa bukan sekadar peraturan tidak rasmi, malah menjadi sebahagian daripada budaya kerja yang sangat dihormati.
Baru-baru ini, seorang menteri Jepun mencuri perhatian dunia apabila rakaman beliau berlari masuk ke bangunan kerajaan tular di media sosial selepas tiba lewat lima minit untuk menghadiri mesyuarat Kabinet pada pagi Jumaat.
Menteri Keselamatan Ekonomi Jepun, Kimi Onoda, dilihat melompat keluar dari kenderaan sebelum bergegas menaiki tangga sambil melintasi sekumpulan media yang sedang menunggu di hadapan bangunan tersebut.
Rakaman tersebut menunjukkan detik menteri Jepun berlari masuk mesyuarat kabinet dengan pantas menuju ke bilik mesyuarat sambil ditemani oleh seorang pembantu.
Aksi spontan itu menarik perhatian ramai kerana ia jarang berlaku dalam kalangan pemimpin Jepun yang terkenal dengan disiplin masa yang sangat ketat.
Ketika beliau tiba, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Sanae Takaichi sebenarnya sudah pun bermula dan kerusi Onoda masih kosong. Beberapa minit kemudian barulah beliau sempat mengambil tempat untuk menyertai perbincangan yang sedang berlangsung.
Punca Menteri Jepun Berlari Masuk Mesyuarat Kabinet
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas kejadian itu, situasi menteri Jepun berlari masuk mesyuarat kabinet tersebut berlaku kerana kesesakan lalu lintas yang tidak dijangka.
Onoda menjelaskan bahawa perjalanan beliau terganggu akibat kemalangan jalan raya yang berlaku secara tiba-tiba di laluan yang digunakan untuk menuju ke bangunan kerajaan.
Keadaan tersebut menyebabkan trafik menjadi perlahan dan mengakibatkan beliau tiba lewat daripada jadual.
Walaupun kelewatan itu hanya sekitar lima minit, beliau tetap bergegas masuk bagi memastikan dapat menghadiri mesyuarat penting tersebut secepat mungkin.
Permohonan Maaf Terbuka Kepada Rakyat
Menyedari betapa seriusnya masyarakat Jepun memandang soal ketepatan masa, Onoda kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa lazimnya beliau akan tiba lebih awal untuk setiap urusan rasmi. Malah, Onoda menyatakan bahawa kebiasaannya beliau akan sampai sekitar 15 hingga 20 minit lebih awal sebelum sesuatu mesyuarat atau acara bermula.
Namun pada hari kejadian, keadaan trafik yang tidak dijangka menyebabkan situasi menteri Jepun berlari masuk mesyuarat kabinet itu berlaku di luar jangkaan.
Di Jepun, ketepatan masa dianggap sebagai tanda profesionalisme dan penghormatan kepada orang lain. Banyak organisasi di negara tersebut menekankan kepentingan datang lebih awal sebagai persediaan sebelum sesuatu mesyuarat atau tugasan bermula.
Oleh sebab itu, walaupun kelewatan hanya beberapa minit, ia masih dianggap perkara yang serius terutama bagi seorang pemimpin kerajaan.
Sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan selepas insiden menteri Jepun berlari masuk mesyuarat kabinet ini turut menerima reaksi positif daripada masyarakat. Ramai melihat tindakan beliau yang segera memohon maaf sebagai contoh etika kerja yang baik dalam kalangan pemimpin.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!