Berita

Enam Tahun Bina Cinta, Jazmy Juma Titip Penghargaan Buat Isteri Tercinta

Share

Pelakon meningkat naik, Jazmy Juma meluahkan rasa syukur apabila hubungan cinta yang dibina selama enam tahun bersama Farah Athirah Rozman akhirnya disatukan dengan ikatan perkahwinan.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, bekas peserta Hero Remaja itu menyifatkan hari bahagianya sebagai detik yang cukup bermakna apabila kini bergelar seorang suami dan memikul tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga.

Syukur Kini Bergelar Suami

Jazmy mengakui perjalanan yang dilalui bersama isterinya bukanlah mudah, namun segala pengorbanan, kepercayaan dan toleransi yang dibina sepanjang enam tahun menjadi asas kukuh kepada penyatuan mereka.

“Alhamdulillah. Selepas segala liku-liku, pengorbanan, kepercayaan dan toleransi yang kami bina bersama selama enam tahun, hari ini saya memikul satu tanggungjawab baharu sebagai seorang suami,” katanya.

Hargai Perjalanan Cinta Enam Tahun

Dalam masa sama, Jazmy turut berkongsi penghargaan buat isterinya yang sentiasa berada di sisi sepanjang mereka menempuh pelbagai fasa kehidupan bersama.

Menurutnya, setiap kenangan yang tercipta sepanjang enam tahun itu akan sentiasa terpahat dalam ingatan.

“Terima kasih untuk enam tahun dengan perjalanan yang begitu indah, manis dan penuh kenangan yang tak akan pernah saya lupakan. Terima kasih kerana sentiasa ada di sisi saya, dalam setiap jatuh bangun,” coretnya.

Walaupun kini sudah bergelar suami isteri, Jazmy percaya perjalanan mereka masih panjang dan berharap setiap ujian serta kebahagiaan yang bakal ditempuhi akan menjadi kekuatan untuk membina rumah tangga yang sentiasa mendapat reda Allah SWT.

Titip Penghargaan Buat Keluarga

Selain isteri, pelakon itu turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga yang tidak pernah berhenti memberikan doa, nasihat dan sokongan sepanjang hubungan mereka.

“Buat keluarga saya, terima kasih kerana tidak pernah putus-putus memberikan nasihat, doa dan sokongan sepanjang kami saling mengenali.

“Nasihat dan kasih sayang kalian menjadi kekuatan untuk kami terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya lagi.

Di penghujung perkongsiannya, Jazmy turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan serta para peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka. Dia berharap setiap hubungan yang terjalin akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.

Untuk rekod, Jazmy Juma sah bergelar suami kepada Farah Athirah Rozman dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pada pagi Sabtu, 27 Jun 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath