Berita

Empat Pensyarah UUM Tersenarai Antara 2% Saintis Terbaik Dunia

Share

Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membanggakan negara apabila empat orang tenaga pengajarnya berjaya berada dalam kelompok 2% saintis terbaik dunia. Pencapaian berprestij ini sekali gus mengangkat nama universiti ke tahap lebih tinggi serta menjadi bukti bahawa Malaysia mampu melahirkan penyelidik bertaraf antarabangsa.

EMPAT PENSYARAH UUM ANTARA 2% SAINTIS TERBAIK DUNIA

Mereka yang menerima pengiktirafan adalah:

  • Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki (Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business – OYAGSB)

  • Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi (Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz – TISSA-UUM)

  • Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah (Pusat Pengajian Teknologi Pengurusan dan Logistik – STML)

  • Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah (Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan – SBM)

Senarai ini diterbitkan oleh Universiti Stanford, Amerika Syarikat, yang setiap tahun menilai saintis di seluruh dunia berdasarkan impak penerbitan, sitasi dan kualiti kajian penyelidikan. Hanya 2% sahaja daripada jumlah keseluruhan saintis global yang berjaya berada dalam kelompok elit ini.

Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki (kiri) dan Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi (kanan).

Konsistensi & Usaha Berpasukan

Menurut Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, tahun ini merupakan penampilannya yang ketujuh berturut-turut sejak 2019 dalam senarai tersebut. Katanya, kejayaan ini lahir daripada disiplin diri, usaha konsisten serta sokongan daripada universiti, rakan penyelidik, pelajar dan keluarga.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi menekankan kejayaan ini bukan pencapaian individu semata-mata. Ia merupakan hasil usaha berpasukan, kolaborasi bersama penulis bersama serta rakan penyelidik yang sentiasa berganding bahu menerbitkan penyelidikan berkualiti tinggi.

Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah (kiri) dan Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah (kanan).

Inspirasi Untuk Generasi Muda

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti bahawa warga akademik UUM mampu menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia yang memberi impak positif kepada masyarakat, industri dan negara.

Beliau juga berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada penyelidik muda dan generasi baharu untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Semangat Yang Perlu Dicontohi

Bagi remaja, pencapaian empat saintis UUM ini jelas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci kepada kejayaan besar. Bukan sekadar gred atau peperiksaan semata-mata, tetapi kesungguhan mendalami bidang, minat mendalam terhadap penyelidikan serta sokongan persekitaran yang baik mampu membawa seseorang ke tahap global.

Siapa tahu, mungkin dalam beberapa tahun lagi – anak muda Malaysia akan menjadi sebahagian daripada senarai 2% saintis terbaik dunia, meneruskan legasi kejayaan ini!

✨ Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan minat, disiplin dan kerja keras, remaja Malaysia juga mampu mencipta nama di pentas antarabangsa.

Sumber: UUM Today

FT Image: BERNAMA / UUM Today

BACA LAGI : “Terasa Orang Cakap Gemuk” – Alya Iman Nekad Kurus, Turun 7KG Dalam 3 Minggu!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana