Baru-baru ini, wakil pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan berjaya meraih perhatian selepas berjaya mengangkat nama Malaysia di persada dunia apabila inovasi pinggan mesra alam berasaskan daun serai yang dinamakan Ecosera mendapat pingat emas dalam sebuah pertandingan inovasi peringkat antarabangsa di Bali. Kejayaan itu sekaligus membuka mata ramai pihak terhadap kemampuan golongan muda mencipta solusi lestari melalui sumber semula jadi yang mudah didapati.
Memetik laporan Sinar Bestari, idea kreatif tersebut dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat bersama dua guru pembimbing iaitu Cikgu Noor Shariffah Mohd Jaafar (42) dan Nur Syafiqah Nadiah Farid (30). Walaupun hanya menggunakan daun serai sebagai bahan utama, projek berkenaan telah membuktikan bahawa inovasi berkualiti tinggi tidak semestinya bergantung kepada bahan atau peralatan berteknologi tinggi.
Pertandingan yang menghimpunkan lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia itu turut menyaksikan bagaimana inovasi tempatan ini mampu bersaing secara kompetitif di pentas global. Hal ini secara tidak langsung menonjolkan potensi besar produk hijau buatan Malaysia untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Proses Penghasilan Pinggan Serai Ecosera
Bercakap mengenai proses penghasilan, pinggan mesra alam Ecosera mengambil masa hampir dua bulan. Menariknya, para pelajar telah memulakan penyelidikan awal sebelum pelajar melalui pelbagai siri percubaan bagi mendapatkan hasil terbaik sehingga usaha gigih itu akhirnya membuahkan hasil apabila pinggan tersebut berjaya memikat panel juri antarabangsa.
“Mulanya kami rancang untuk menghasilkan sesuatu daripada kulit durian, tetapi disebabkan buah ini bermusim, saya cuba fikir sesuatu yang boleh dihasilkan dari daun serai.”
Ads
“Saya kemudian buat pembacaan di media sosial, meneliti beberapa tesis universiti dan mendapatkan pandangan rakan-rakan, dari situ timbul idea untuk menghasilkan pinggan daripada daun serai,” katanya.
Kerja Manual Dalam Pembentukan Ecosera
Di samping itu, memandangkan tiada mesin digunakan, proses pembuatan Ecosera dilakukan secara manual. Daun serai perlu direndam selama dua minggu bagi mengeluarkan serat sebelum disisir untuk membuang lendiran dan dipotong mengikut saiz yang ditetapkan.
Proses tersebut telah mengambil masa kerana keseluruhan kerja dilakukan secara manual. Serat daun tersebut kemudiannya dicampur bersama kanji yang diperbuat daripada tepung ubi.
Ads
Seterusnya, campuran itu dibentuk menjadi pinggan sebelum dijemur di bawah cahaya matahari selama satu hari. Setelah kering sepenuhnya, permukaannya disapu dengan lilin madu bagi memastikan pinggan tersebut menjadi lebih mampat dan kukuh.
Potensi Masa Depan Inovasi Ecosera
Menurut Cikgu Noor Shariffah, pinggan serai Ecosera ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan, lebih lagi Lenggeng sememangnya terkenal dengan tanaman serai seperti varieti serai peha ayam. Jika dibangunkan dengan bantuan teknologi dan mesin yang bersesuaian, inovasi ini berpotensi mewujudkan peluang pendapatan baharu kepada pengusaha serai tempatan.
Beliau juga mendedahkan bahawa sudah ada pihak universiti yang menyatakan minat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lanjut bagi mengkomersialkan produk tersebut.
Ads
“Ini projek pertama kami dan banyak lagi yang boleh ditambah baik. Jika ada peluang, saya berhasrat nak komersialkan pinggan serai ini.”
“Selalunya bahagian buangan serai selepas dituai hanya dibakar, tapi dengan inovasi ini, mampu memberikan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak penyelidik universiti telah menunjukkan minat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkomersialkan produk berasaskan serai ini, sekaligus membuka peluang yang baik kepada pihak sekolah.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Stadium Olimpik kembali menjadi saksi kehebatan atlet paralimpik Malaysia.
Pingat emas yang pernah diperolehi atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Rio lima tahun lalu menerusi acara lontar peluru F20 telah berjaya dipertahankan di Tokyo 2020 sebentar tadi menerusi lontaran sejauh 17.94 meter.
Ini sekaligus menjadikan Ziyad sebagai wakil Malaysia pertama dalam sejarah yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik selama dua kali berturut-turut.
Tambah manis lagi apabila Ziyad turut mencatatkan rekod dunia baharu sekaligus memecahkan rekod kebangsaan yang pernah dilakukan oleh Adi Alifuddin Hussin di Palembang, Indonesia pada tahun 2011.
Ziyad meninggalkan dua orang pesaing terdekatnya dari Ukraine dengan agak jauh. Pingat perak dimenangi Maksym Koval dengan lontaran 17.34 meter manakala Oleksandr Yarovyi berpuas hati dengan pingat gangsa setelah melakukan lontaran 17.30 meter.
Ini juga merupakan pingat emas kedua dan pingat ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Emas pertama telah disumbangkan oleh atlet powerlifting, Bonnie Bonyun Gustin, manakala sebutir pingat perak juga hadir dari arena powerlifting semalam menerusi Jong Yee Khie.
Tentunya, rakyat Malaysia sedang meraikan kecemerlangan Ziyad ini yang dianggap sebagai hadiah terindah buat negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 pada hari ini. Tahniah Ziyad Zolkefli!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pandemik COVID-19 yang melanda seantero dunia telah menyebabkan terciptanya pelbagai istilah baharu dalam komunikasi sehari-hari kita. Barangkali sesetengah istilah tersebut merupakan istilah biasa dalam bidang perubatan atau kesihatan, tetapi bagi masyarakat umum, istilah-istilah ini sesungguhnya agak baharu kerana tidak pernah digunakan sebelum ini.
Daripada “penjarakan sosial” kepada “penjarakan fizikal”, “penutup muka” kepada “pelitup muka”, “cecair pembasmi kuman” kepada “pensanitasi tangan”, kita juga sering mendengar frasa “memutuskan rantaian jangkitan”, “prosedur operasi standard” (SOP), “Perintah Kawalan Pergerakan” dan sebagainya. Namun begitu, yang menarik perhatian saya dan yang akan saya kongsi dalam artikel pada kali ini ialah kekeliruan pengguna bahasa antara frasa “melandaikan keluk jangkitan” dengan “melandaikan lekuk jangkitan”.
Kedua-dua frasa ini sering digunakan dalam pelbagai media, sama ada media cetak atau media elektronik, oleh penulis, wartawan atau netizen secara tidak konsisten. Sudah tentunya kekeliruan berlaku kerana ejaan dan bunyi kedua-dua patah perkataan ini, iaitu “keluk” dan “lekuk” hampir sama. Namun begitu, pada hakikatnya, kedua-dua patah perkataan ini berlainan maksud dan penggunaannya. Oleh sebab itu, setelah membaca artikel pada kali ini, diharapkan pembaca dapat menggunakan istilah dengan ejaan yang tepat.
Binaan istilah ini dalam bahasa Inggeris ialah “flatten the infection curve”, iaitu satu strategi untuk melambatkan kadar penularan COVID-19 supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan sekali gus pandemik ini dapat diperangi dengan sepenuhnya. “Curve” di sini merujuk graf yang dilukis dalam bentuk lengkung dan padanan istilah yang tepat ialah “keluk”.
Merujuk Kamus Dewan Perdana, “keluk” bermaksud garis yang melengkung bentuknya dan biasanya dilukis pada graf, rajah dan lain-lain. Namun begitu, kealpaan pengguna bahasa tentang ketepatan dalam penggunaan bahasa telah mengakibatkan istilah ini ditulis sebagai “melandaikan lekuk jangkitan”. Padahal, jika kita merujuk Kamus Dewan Perdana, “lekuk” ini sebenarnya bermaksud bahagian sesuatu permukaan yang masuk ke dalam sedikit dan beberapa makna lain yang tidak merujuk graf.
Oleh sebab itu, marilah kita menjadi pengguna bahasa yang lebih peka, lebih berhati-hati dan sentiasa rajin merujuk kamus. Kesalahan yang kita lakukan akan mencerminkan ketidakprihatinan kita tentang penggunaan bahasa Melayu yang baku dan indah. Akhir kata, marilah kita berganding bahu untuk memikul tanggungjawab sosial supaya keluk jangkitan COVID-19 berjaya kita landaikan!
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustakan. Artikel ini ditulis oleh ALEX LEONG JUN WEI
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagaikan srikandi menjulang nama negara ke peringkat tertinggi…
Empat pelajar Sekolah Menenangah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka meraih pingat emas dan juga Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022.
Ahli pasukan SMKA Kuala Selangor terdiri daripada para pelajar berusia 16 tahun iaitu Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi. Mereka dibimbing oleh guru berpengalaman iaitu Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor.
Kejayaan sekolah ini di arena antarabangsa menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri. Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu menitip kata semangat dan rasa bangganya terhadap para pelajar.
“Tahniah pasukan Master- H ECS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor kerana berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Nuremberg, Jerman, semalam.
“Tahniah kepada ahli-ahli pasukan terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.
“Saya difahamkan pasukan ini telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (iENA) 2022 ini. Syabas saya ucapkan!
“Semoga kejayaan pasukan SMK (A) Kuala Selangor ini akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan rekacipta sehingga menggapai kejayaan,” ujarnya panjang menerusi hantaran tersebut
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, IENA ialah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lalu bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.