‘Dunia Bersujud’ Pada 24 Ramadan Ini Sempena World #QuranHour

Share

 

Sebagai tradisi tahunan setiap kali tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak, acara World #QuranHour sekali lagi bakal menemui semua pada 26 April 2022 bersamaan 24 Ramadan 1443H.

Bakal bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio AlHijrah, pejam celik World #QuranHour pada tahun ini telah memasuki edisi ketujuhnya dengan membawakan tajuk ‘Dunia Bersujud’.

Ia merujuk kepada intipati surah Al-Sajdah yang telah menjadi surah pilihan pada kempen gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) sepanjang tahun ini.

Untuk pengetahuan korang, surah Al-Sajdah menjadi formula daripada Ilahi untuk meningkatkan rasa kehambaan kepada ALLAH, dan panduan penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat ‘Dunia Berbudi & Penyayang’.

Penonton di TV AlHijrah bakal mendengarkan bacaan Surah Al-Sajdah dari jam 12 sehingga 1 tengah hari manakala sesi tadabbur disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Selain Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan Sinergi Media Malaysia, sesi World #QuranHour ini turut dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama daripada rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran  badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Bercakap mengenai #QuranHour, ia tidak setakat terhenti pada bulan Ramadan ini apabola terdapat dua lagi program utama yang akan dibawakan oleh penganjur iaitu Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos hadapan dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Disember 2022.

Untuk pengetahuan korang, pada tahun lalu, World #QuranHour telah diadakan secara hibrid memandangkan negara masih berada pada fasa pandemik. Begitupun, ia telah mencatatkan penyertaan luar biasa dengan 485 bilion capaian di media sosial, 2,700 lokasi berdaftar  di dalam negara dan 42 lokasi luar negara.

So guys, jangan lupa untuk meluangkan masa selama sejam bersama-sama World #QuranHour pada 26 April ini bagi menyemarakkan lagi semangat serta makna bulan Ramadan ini buat diri kita sendiri.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN