Esma Daniel antara Hero Remaja pertama yang diperkenalkan oleh Majalah Remaja sekitar tahun 1990/1991 yang lalu. Hampir 30 tahun berlalu, Esma kini sudah bergelar sebagai seorang pelakon dan pengarah di Malaysia.
Mengimbau sedikit kenangan ketika menyertai Hero Remaja, Esma yang dihubungi pihak Remaja berkongsi kisah dan pengalaman yang dirasakan tidak sama seperti apa yang dilalui oleh finalis-finalis sekarang.
“Kalau zaman saya dulu tidaklah macam sekarang. Mula-mula saya sendiri pun tak tahu apa itu Hero Remaja. Cuma dipanggil oleh pihak Karangkraf untuk menjadi wajah penghias kulit majalah pada waktu itu. Setelah beberapa bulan, saya dihubungi untuk diberitahu telah menang dalam pertandingan Hero Remaja tersebut,”
“Pada waktu itu kami dinilai melalui sesi fotografi dan juga undian daripada pembaca. Hero Remaja tidaklah sepopular Dewi Remaja dulu. Jadi saya antara batch awal bersama Badrul Muhayat dan Azhar Sulaiman yang memenangi tempat kedua dan ketiga. Pada waktu itu mereka sudah pun bergelar seorang pelakon. Tapi, saya baru sahaja menceburkan diri dalam bidang TV komersil,” jelas Esma Daniel.
Selepas Hero Remaja tamat, Esma ditawarkan membintangi filem pertamanya, Interlud arahan Othman Zainuddin yang ditayangkan pada 1992, turut dibintangi oleh Louisa Chong dan Wan Maimunah. Beliau muncul pula menerusi filem XX Ray arahan Aziz M. Osman.
“Alhamdulillah selepas tamat Hero Remaja saya telah pun mendapat tawaran berlakon filem. Memang tidak disangka-sangka segalanya bermula selepas memenangi Hero Remaja. Pada waktu itu drama TV tak banyak macam sekarang. Jadi, kami lebih banyak menerima tawaran untuk membintangi filem,” katanya.
Teringat kembali sewaktu mula-mula bergelar seorang juara, Esma Daniel bercerita tentang pengalamannya bertemu dengan peminat.
“Kalau dulu menjadi seorang selebriti adalah sesuatu yang eksklusif kerana peminat tidak mudah untuk berjumpa dengan kami. Saya teringat sesi berjumpa dengan peminat di Pulau Pinang, waktu tu ramai yang mintak autograph. Rasa macam superstar sangatlah. Hehe.. Dulu bukan zaman selfie jadi peminat akan minta autograph daripada artis pujaan mereka,”
“Hingga kini saya masih lagi jumpa peminat yang dari 20 tahun lepas sudah mengikuti perkembangan saya dalam industri hiburan Malaysia. Lebih terharu lagi bila mereka mengatakan bahawa masih menyimpan gambar-gambar saya di keratan majalah,” tambahnya lagi.
Ads
Jadi hero sebenar
Ditanya apakah nasihatnya kepada bakal Hero Remaja 2020, ini jawapan yang diberikan Esma Daniel.
“Untuk menjadi seorang Hero Remaja, kita kena sedar Hero itu tugasnya sebagai apa. Kalau di Hollywood dan Bollywood, hero adalah yang memperkenalkan heroinnya di dalam filem atau drama, kerana hero orang ramai akan kenal siapa heroinnya,”
“Be a gentlemen, jadi lelaki sebenar yang boleh dijadikan sebagai penyelamat dan ikon kepada orang yang menyokong anda. Hero bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya contribution kita terhadap masyarat,” jelas Esma yang turut mengucapkan tahniah kepada semua barisan finalis yang terpilih nanti.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
InsyaAllah esok umat Islam bakal menyambut Ramadan, bulan yang senantiasa dinanti oleh seluruh kaum muslimin dan muslimat di seantero dunia. Namun, kali ini sambutannya tidak seperti tahun-tahun yang lalu kerana situasi pandemik COVID-19 nampaknya masih sukar dibendung.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk umat Islam tidak gembira menantikan Ramadan tahun ini, malah turut memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang menikmati bulan yang mulia.
Sempena bulan puasa kali ini, apa kata kita ambil nilai-nilai positif tentang apa yang sudah berlaku di dunia masa kini. Inilah masanya korang memberi sepenuh fokus pada amal ibadah yang bakal dijalankan dan ambil peluang untuk bersama-sama keluarga tersayang dalam menjalani ibadah puasa.
Dengan situasi yang berlaku sekarang, kami pasti mesti korang merindui saat menyambut Ramadan seperti tahun-tahun lalu. Biasanya, apa yang korang paling rindu nak buat bila tiba bulan Ramadan?
Remaja sempat bertanyakan kepada beberapa finalis Hero Remaja 2017 tentang perkara yang paling mereka rindu untuk lakukan pada bulan puasa ini.
1. Alif Muhaimin
Bagi Alif, Ramadan kali ini memang berbeza dan tidak sama seperti tahun lalu. Alif akan merindui saat solat tarawih di masjid bersama-sama kawan sekolah. Biasanya, waktu inilah kami seakan membuat gathering bila berjumpa di masjid.
Alif juga selalunya akan workout dulu sebelum berbuka puasa. Jadi tahun ni, nampaknya kenalah workout di rumah sahaja. Alif juga nak ambil waktu ini untuk belajar benda baru, seperti bermain piano.
2. Harris Annuar
Setiap kali Ramadan, Harris bersama-sama dengan keluarga serta anak saudara akan berkumpul di rumah Mommy untuk bermain bunga api. Rasanya itulah yang akan dirindui untuk bulan Ramadan kali ini, selain dapat sama-sama melakukan solat Tarawih di masjid.
Pada 10 malam terakhir Ramadan pula, biasanya Harris akan ke Dataran Merdeka dan mana-mana lokasi yang menganjurkan bazar shopping raya. Hm, ya tahun ini kita semua tak merasa nak melalui pengalaman berasak-asak untuk membeli baju raya. Tapi mungkin ada hikmahnya yang kita tak tahu. Wallahualam..
3. Nabil Aqil
Rasanya semua orang akan rindu nak pergi bazar Ramadan. Macam Nabil sendiri, tidak dinafikan pada bulan puasa memang kami sekeluarga suka berkunjung di bazar Ramadan. Cuma nampak gayanya tahun ni tidak berpeluanglah melakukan aktiviti ‘wajib’ ini.
Tapi tidak mengapalah, Nabil masih bersyukur kerana kita juga masih boleh berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan melalui Face Time, Whatsapp dan media sosial. Jadi, setidak-tidaknya hilanglah rindu dan tak rasa sunyi sangat menyambut Ramadan kali ini.
#SyukurBersama
4. Safwan Nazri
Saya paling rindu nak berbuka puasa bersama keluarga besar saya, dengan saudara mara di Kedah dan juga rakan-rakan. Alhamdulillah, kebetulan memang saya ada di Kedah, jadi bolehlah berpuasa bersama ibu ayah dan adik-beradik.
Cuma saya nak berpesan kepada korang yang mungkin tidak dapat bersama keluarga di Ramadan ini, bersabarlah dengan dugaan yang diberikan. Mungkin ada hikmah dengan setiap apa yang berlaku sekarang. Harapnya Aidilfitri nanti kita sama-sama dapat berjumpa dan bermaafan.
5. Farhan Asri
Farhan teringin nak berbuka dekat masjid macam tahun sebelumnya. Nak berbuka dengan kawan-kawan dan paling rindu nak tarawih di masjid. Rindu juga nak pergi bazar Ramadan dengan keluarga. Selalunya Farhan pun akan berbuka puasa bersama atok dan nenek tapi tahun ni mereka ada di rumah mak cik di KL, so tak dapatlah kami bersama-sama puasa nanti. Itu yang paling sedih buat Farhan.
Apa-apa pun diharap Ramadan kali ini memberi pengertian penuh buat umat Islam di dunia dan sama-samalah kita berdoa agar wabak ini tidak terus menular supaya kita boleh bermaaf-maafan di Aidilfitri nanti.
Remaja juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua pengikut kami di media sosial.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Persaingan di antara 16 finalis Hero Dewi Remaja 2023 di minggu pertama ternyata cukup sengit terutama dari segi persiapan mental dan fizikal masing-masing.
Berjaya menjadi orang pertama tiba di garisan penamat ketika Viper Challenge, Jaysong akui bahawa dirinya terpaksa mendorong dirinya untuk tidak berputus asa di pertengahan cababaran.
“Sebaik sahaja saya tiba di garisan penamat, saya perasan riak wajah krew produksi ketika itu seakan sudah menjangka kemenangan saya kerana saya kelihatan seolah-oleh tidak letih dan masih bertenaga.
“Tapi sebenarnya ketika itu, mental dan fizikal saya sudah mencapai limit. Namun saya tidak menunjukkan perasaan itu di riak wajah,” jelasnya.
Jaysong atau nama sebenarnya Tan Jia Song juga akui bahawa dirinya cukup teruja sebaik sahaja mengetahui info lanjut berkaitan cabaran minggu tersebut.
“Selepas sahaja saya dapat tahu kami harus lalui Viper Challenge, saya sangat teruja sebab saya seorang yang gemar akan aktiviti lasak dan outdoor. Saya juga nak lihat sejauh mana kemampuan saya menerusi cabaran ini.
“Dulu ketika zaman sekolah, saya antara atlet merentas desa yang aktif. Jadi sebaik sahaja saya tiba di bahagian larian 5km, saya tahu saya boleh all-out di situ,” jelasnya lagi.
Sebagai satu-satunya finalis Hero Dewi Remaja 2023 berbangsa Cina, dirinya akui bahawa jurang bahasa merupakan cabaran terbesar yang harus ditempoh.
“Ada beberapa persediaan yang saya persiapkan untuk tampil ke hadapan di setiap episod. Namun yang paling sukar adalah bercakap dalam Bahasa Melayu kerana my first language is Mandarin.
“Jadi bila berborak bersama finalis lain, kadang saya rasa ketinggalan kerana mereka terlalu fasih dan membuatkan saya kurang jelas tentang intipati perbualan tersebut.
“Namun saya akan terus berusaha untuk mempelajari bahasa kebangsaan ini sebaik yang mungkin,” komennya.
***
Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 akan ditayangkan menerusi lapan (8) episod bermula 10 November, pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Selain bertanding menerusi cabaran dalam episod yang ditayangkan, 16 finalis juga bertanding dari aspek populariti serta duo terbaik menerusi undian peminat yang dibuka bermula 10 November 2023 sehingga ke malam finale kelak untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar Hero Favourite 2023 dan Dewi Favourite 2023 serta Best Chemistry Duo.
Siapakah yang bakal meneruskan legasi HERO REMAJA dan DEWI REMAJA yang disandang oleh juara-juara terdahulu? Sama-sama kita nantikan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
KEMBALINYA PEMILIK NAMA MUHAMMAD FAZZIQ MUQRIS BIN MOHD SHARIFF KE PENCARIAN HERO REMAJA BUAT KALI KEDUA SETELAH PERCUBAAN PERTAMA TAHUN LALU TIDAK MEMBUAHKAN HASIL SECARA TIDAK LANGSUNG MEMPAMERKAN KEINGINAN UNTUK MENDAKI KE PUNCAK DUNIA PENYIARAN TANAH AIR SEBAGAI SEORANG PENGACARA
KONSEP & ARAHAN SENI FZ AIMMAN, MUSTAIZZAH MOKHTAR & AZNIZA AZIZ TEKS RUZIANA ZAINAL EDITORFZ AIMMAN FOTOREMY OTHMAN PEM. FOTO JAZLAN NANGAR SUNTINGAN FOTO HEZRY LOKMAN SOLEKANARY MUZAMER DANDANAN FAIZAL AZHAR KLIP VIDEO SHERFIQA SHARIDAN BUSANAUNIQLO U FW 2021 AKSESORIPANDORA
Fazziq Muqris menghiasai salah satu muka hadapan Majalah Remaja Digital edisi November 2021. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
Selama pencarian Hero Remaja dianjurkan sejak edisi pertama pada tahun 1990/1991, perlahan-lahan beberapa perubahan telah disuntik oleh Majalah Remaja selaku penganjur; seiring dengan keperluan industri sezaman.
Daripada cara penyertaan menerusi penghantaran borang yang disertakan dalam naskah Majalah Remaja dan beberapa calon bulanan akan dipaparkan pada muka hadapan majalahnya. Dunia media sosial kemudian mula mempengaruhi cara penerimaan dan sokongan pengikut pencarian ini. Populariti yang lebih mudah dicipta oleh remaja lelaki masa kini dipandang sebagai tiket untuk menyertai industri seni.
Biarpun begitu, misi pencarian Hero Remaja tetap tidak berubah sejak dahulu. Ya populariti memainkan peranan sebagai punca mencipta nama sebagai seorang selebriti. Namun dengan hanya berbekalkan jumlah pengikut tanpa mempunyai mental yang kuat, keinginan yang mendalam serta ilmu di dada, jangka hayat seorang selebriti mungkin sekali tidak berkekalan.
Pemenang Tempat Ketiga pencarian Hero Remaja 2021, Fazziq Muqris jelas memahami perkara tersebut. Percubaan Fazziq untuk tahun kedua setelah ‘terkandas’ di sesi pemilihan pada edisi 2020 telah menunjukkan bahawa dirinya serius untuk melengkapkan diri sebelum beralih ke alam kerjaya sebagai seorang pengacara (and maybe more) selepas ini.
Jika pada tahun lalu, pelajar jurusan Diploma Komunikasi dan Media daripada UOW Malaysia KDU ini sebenarnya telahpun berjinak-jinak sebagai seorang model sambilan dan pempengaruh media sosial demi menimba pengalaman.
Sementelah minat semakin disemat, Fazziq masih merasakan kerdil dan mentah dalam soal pengacaraan, lakonan dan selok-belok menjadi seorang figura awam di Malaysia. Lebih banyak ilmu yang perlu dicedok, bisik hatinya sebagai persiapan untuk terjun ke dalam dunia yang luarannya saja glamor; namun hakikatnya memerlukan pengorbanan dan usaha keras yang tidak mampu dipikul semua orang.
Solekan oleh Ary Muzamer manakala dandanan rambut oleh Faizal Azhar. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
“Saya hanya mencuba kerana usaha, impian dan percubaan itu kan percuma. Tiada langsung rasa malu setelah menemui kegagalan pada tahun lalu. Bagi saya, mungkin waktunya tidak tepat pada edisi 2020 dan banyak perkara yang telah saya perbaiki bagi bersiap-sedia untuk bersaing dengan finalis yang cukup hebat pada tahun ini.
“Alhamdulillah, sikap tidak putus asa ini akhirnya membuahkan hasil hingga saya layak sampai ke pentas finale. Persaingan bersama 11 lagi finalis Hero Remaja 2021 saya akui bukanlah sesuatu yang mudah. Semua yang terpilih mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.
“Saya mengaku saya bukanlah peserta terbaik selama mengikuti pencarian Hero Remaja 2021 selama 11 bulan. Tapi yang pasti, saya akan sentiasa berikan yang terbaik biarpun cabaran tidak pernah saya lakukan sebelum ini.”
“Antara cabaran paling menguji diri saya secara peribadinya adalah cabaran photoshoot semasa episod ketiga di Kampar, Perak. Ya, ada lebih banyak cabaran lain yang jauh lebih kritikal seperti berlakon di pentas semasa finale, cabaran lakonan di mana peserta perlu menghasilkan skrip sendiri secara berkumpulan dan cabaran ‘impromtu’ setiap kali kami memasuki gelanggang penyingkiran.
“Namun sewaktu cabaran episod ketiga itu, itulah antara waktu di mana saya sedar saya kaku di hadapan kamera. Mungkin disebabkan tekanan, mungkin disebabkan kami baru saja kehilangan dua rakan pada episod sebelumnya. Pada waktu itu, saya cuba ingatkan balik diri mengenai misi dan prinsip saya sewaktu memasuki Hero Remaja; iaitu untuk mencuba sehabis mungkin. Dari momen itu, mental saya lebih kental biarpun digasak pada episod-episod seterusnya,” kongsi Fazziq yang petah berkata-kata dengan skil pertuturan yang teratur dan personalitinya yang ceria.
Fazziq Muqris menyarungkan sweater, kot labuh & seluar daripada koleksi Uniqlo U Fall/Winter 2021. Aksesori rantai pula daripada Pandora. FOTO Remy Othman / Ideaktiv
Berkat usaha dan keyakinan tersebut, anak kelahiran Shah Alam ini berjaya menonjolkan diri di pentas akhir. Tiga cabaran terakhir iaitu segmen pengacaraan solo, segmen lakonan di atas pentas bersama pelakon lagenda, Ruminah Sidek dan segmen soal jawab telah cuba dilakukannya sebaik mungkin. Remaja berusia 21 tahun ini tahu dia mampu melakukannya dengan lebih baik terutamanya sewaktu segmen soal jawab. Itu semua diambilnya sebagai pengalaman bagi memperbaiki lagi diri pada waktu akan datang.
Fazziq Muqris memilih Ruminah Sidek sebagai pelakon pengiring di pentas finale. FOTO Azfarina Sulaiman / Ideaktiv
“Semua ini tidak mungkin terhasil tanpa bantuan mereka di sekeliling. Orang memandang saya sebagai seorang peserta Hero Remaja 2021 yang berjuang secara solo di kaca televisyen demi menyambar gelaran juara itu. Tapi hakikatnya, saya berjuang bersama mereka yang sentiasa memberikan sokongan dan galakan dari kiri, kanan; jauh mahupun dekat.”
“Saya berjuang bersama mereka dan saya berjuang untuk mereka.”
“Saya sentiasaa akan berterima kasih kepada keluarga, keluarga Hero Remaja 2021, semua kru produksi di set, team editorial Majalah Remaja dan kepada dua orang juri tetap serta dua orang mentor kami yang secara peribadinya telah banyak membantu saya sampai ke tahap ini.
“Saya masih ingat kata-kata juri tetap kami iaitu Datuk Rosyam Nor yang memuji keyakinan yang saya tonjolkan di set. Tetapi dia memberi amaran akan sindrom overconfident yang pernah ‘membunuh’ karier rakan seperjuangannya dahulu serta bintang-bintang baharu yang ingin meningkat naik sekarang. Katanya, sindrom itu akan menyusahkan saya di kemudian hari jika saya ingin kekal dalam industri.
“Nasihat tersebut akan saya simpan kerana sebagai orang lama dalam industri yang telah mencuba hampir kesemua peranan yang ada, beliau tentunya terlebih dahulu telah ‘makan garam’ dan sebolehnya, beliau enggan saya membazirkan peluang serta potensi hanya disebabkan sikap negatif,” kata Fazziq lagi.
Fazziq mudah didekati ramai pihak disebabkan skil pertuturan dan personalitinya yang ceria.
Ditanya siapa saingan terdekatnya pada malam finale yang melabuhkan tirainya pada 6 November lalu, Fazziq menyatakan Mierul Aiman bukan saja saingan sengitnya seorang tetapi juga saingan sengit untuk dua lagi orang finalis yang bertarung iaitu Aqil Taqee dan Afiq Hamidon.
“Semua finalis Hero Remaja 2021 mahu lakukan yang terbaik demi membuktikan kepada semua bahawa kami berbakat dan kami adalah penerus momentum dalam industri seni. Pesaing terdekat saya sejak awal ialah Amirul Aiman kerana Mierul mempunyai ilmu sedangkan saya hanya berbekalkan pengalaman.
“Jujurnya, memang saya impikan untuk berdiri di pentas finale bersamanya dan bersaing secara sihat hinggalah ke garisan penamat.”
Perancangannya selepas ini, Fazziq menyatakan bahawa dia akan meneruskan cita-cita dalam bidang seni dan mengembangkan potensinya sebagai seorang pengacara dek kerana peluang meluas dalam cabang tersebut di Malaysia berbanding cabang lakonan yang sengit cabarannya. Bagaimanapun, dia tidak sesekali akan menolak peluang lain dan akan terus ‘menggali’ pengalaman sebanyak yang mungkin agar dirinya menjadi seorang penghibur yang punya inti.