Tidak keterlaluan jika REMAJA merasakan pengiktirafan terhadap bakat yang dimiliki oleh penyanyi, Amir Masdi semakin melonjak sejak persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 menerusi lagu Kau Sakiti.
Biarpun tidak pulang sebagai salah satu pemenang kategori pada malam itu, kemampuan vokal Amir yang tidak dibayangi kehadiran penari ataupun props di atas pentas telahpun dipuji oleh penonton.
Terbaru, pemilik nama lengkap, Amir Syazwan Masdi ini bakal kembali ke pentas AJL bagi edisi ke-37 bulan ini bersama juara terdahulu, Dayang Nurfaizah dengan mempertaruhkan lagu berjudul Debu.
Satu demi satu kejayaan yang bergolek ini ternyata memerlukan masa, kesabaran dan minat yang jitu agar diri tidak mudah longlai dengan cabaran yang hadir sepanjang 6 tahun dalam industri hiburan.
Jika korang masih ingat, Amir bermula sebagai peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke-13 (2016) dan diangkat sebagai juaranya. Amir yang ketika itu berusia 21 tahun kemudian kembali mencabar dirinya pada tahun seterusnya bagi musim Akademi Fantasia Megastar (2017) yang juga merupakan musim terakhir program di saluran Astro Ria itu.
Ads
Masih segar di ingatan bagaimana Amir diusik dengan gelaran ‘Amir Chicken’ oleh pengacara pada waktu itu, Datuk Aznil Haji Nawawi disebabkan rupa boyish yang dimiliki Amir serta faktor usianya sebagai peserta termuda.
Selain Amir Masdi, penyanyi popular lain yang berasal dari Akademi Fantasia 2016 termasuklah Ara Johari (paling kiri), Isyariana, Jasper Supayah, Isa Khan dan Fiza Thomas (paling kanan).
Semua itu terasa seperti sudah lama berlalu. Amir semakin popular menjayakan persembahan pentas termasuklah pada malam sambutan ambang tahun baru, hujung minggu lalu.
Menariknya, dia telah menerima dua jemputan pada malam yang sama! Satu di sebuah hotel di Putrajaya dan satu lagi di konsert ambang 2023 anjuran stesen radio, Suria FM. Fuh, jadi rebutan ya!
“Rocker In The Making..” – Warganet
Akibatnya, Amir menerusi hantaran di TikTok berkongsi pengalaman terpaksa bergegas lari ke lokasi seterusnya memandakan jalan raya yang terlalu sesak pada malam tersebut.
Ads
“Yep, itulah saya. Inilah cara saya menghabiskan tahun 2022 dengan dua acara persembahan pada malam yang sama,” catatnya. Nasib baik dia sempat tiba biarpun dalam keadaan tercungap-cungap akibat letih berlari.
Video yang kini telah meraih lebih 100,000 jumlah tontonan itu juga menuai pujian pengikut yang menyifatkan Amir sebagai penyanyi yang profesional dan berbakat.
“Macam mana dia lari-lari tapi suara tetap maintain? Cuba explain sikit.”
“Stamina awak dasyat.”
Ads
“Rockers dulu-dulu turun naik bas mini sebab kejar konsert. Rocker sorang ni memang terbaik. Sanggup lari-lari kejar show. Legend in the making.”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi(15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu EncikRusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juarapada hari ini.
Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
Tempat keduapula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil(Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
2) Ikhwan tidak selincah abangnya semasa beraksi di padang bola.
3) Fikri sehebat bapanya ketikat berdebat di pentas.
4) Baju Nurliyana tidak semahal baju Khairiah.
Empat ayat di atas merupakan contoh penggunaan imbuhan “se-” dalam konteks yang berbeza. Sebelum saya jelaskan apa yang membezakan penggunaan awalan “se-” di atas, eloklah kita berkenalan dahulu dengan awalan “se-”. Awalan “se-” merupakan awalan kata adjektif apabila digabungkan dengan kata dasar membawa pengertian sama. Contoh secerah yang membawa maksud sama cerah, sehebat membawa maksud sama hebat, segagah yang membawa maksud sama gagah. Contoh penggunaan awalan “se-” yang membawa maksud sama ialah pada ayat (1) dan (3) di atas.
Walau bagaimanapun, jika kita ingin membuat perbandingan yang membawa maksud tidak sama, kata nafi tidak perlu berada di hadapan kata berimbuhan “se-” tersebut sebagaimana contoh pada ayat (2) dan (4).
Ayat (2) menunjukkan bahawa kelincahan Ikhwan di padang bola tidak sama dengan kelincahan abangnya. Hal ini menunjukkan abang Ikhwan lebih lincah daripada Ikhwan apabila berada di padang bola. Begitulah halnya dengan ayat (4) yang jelas menunjukkan bahawa, baju Khairiah lebih mahal daripada baju Nurliyana.
Daripada keempat-empat contoh ayat di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa, walaupun penggunaan awalan “se-” membawa maksud sama, namun maksudnya tidak serupa bergantung bagaimana ayat itu dipersembahkan mengikut konteks. Kata berawalan se- juga tidak boleh diikuti dengan perkataan seperti atau denganuntuk membawa maksud sama. Lihat dua contoh dua ayat ini.
Ayat Contoh:
5) Beliau tidak segagah seperti Hang Tuah
6) Warna baju kakak sehijau dengan warna daun
Kedua-dua ayat di atas tidak gramatis, kerana hadirnya perkataan seperti pada ayat (5) dan dengan pada ayat (6). Justeru, berhati-hatilah ketika menggunakan awalan “se-” kerana penulisannya sama, namun maksudnya tidak serupa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Hjh Noor Zila binti Md. Yusuf
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, enam (6) orang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal mencipta sejarah dengan mewakili negara ke Kejuaraan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) Dunia yang akan berlangsung di Itali pada Jun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan pelayaran UMT agar mereka merangkul kejuaraan pada kejohanan peringkat antarabangsa berkenaan.
Pasukan yang diwakili oleh tiga pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan itu juga merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang layak ke pertandingan tersebut dan mereka ialah Muhammad Faris Aiman Basri (22) sebagai ketua pasukan, Nur Muhammad Aqil Nadzri (21), Mohamad Hanif Mohd Shafiee (20), Nur Zulaikha Mohd Zafarin (21), Nur Sofea Balqis Kamal Azalan (21), dan Nur Ainul Izzati Zil Husham (23).
Kredit: Canselori UMT
“KPT amat menggalakkan pelajar terlibat dengan aktiviti sukan. Di peringkat universiti kita ada Karnival Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan KPT sendiri menyumbang kira-kira 20 peratus atlet negara.
“Penyertaan pelajar UMT ke kejohanan peringkat antarabangsa ini akan mengangkat nama negara. Pelajar juga berperanan sebagai duta kecil bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan rasmi ke UMT hari ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan sahaja menaikkan nama negara di mata dunia, malah mempamerkan kualiti tinggi yang dimiliki pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia.
Kredit: BERNAMA
Sementara itu, Muhammad Faris Aiman berkata, pasukannya sedang giat menjalani latihan dalam negara sebagai persiapan ke Itali pada 4 Jun nanti. Selain itu, mereka juga akan berlatih sehingga empat jam untuk meningkatkan kemahiran serta kecekapan bagi menghadapi pesaing hebat dari negara Eropah, Amerika dan Asia.
“”Kami akan berdepan cabaran dari 16 pasukan termasuk Amerika, Belanda, Ireland, Jerman, Jepun, China dan Perancis yang semenangnya memiliki kekuatan tersendiri”
“Walaupun sukar kami tetap meletakkan sasaran untuk mendapatkan podium di kejohanan tersebut,” katanya.
Selamat maju jaya kami ucapkan kepada pasukan pelayaran UMT. Semoga meraih kemenangan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah kejayaan Dr Amalina PhD yang menamatkan pengajian Doktor Falsafah di UK sambil berkongsi pengorbanan sebagai ibu dan pakar bedah yang menjadi inspirasi ramai.