Budaya buli sememangnya sudah berakar umbi dalam banyak organisasi tidak kiralah di sekolah mahupun kem-kem latihan. Isu yang tidak berkesudahan ini seolah-olah menjadi satu budaya, yang kononnya mahu menjadikan individu dibuli lebih lasak dalam mendepani dunia sebenar.

Terbaharu, kecoh di laman media sosial apabila ciapan pemilik twitter @pedoqpop mendedahkan mesej salah seorang ahli keluarga tentera yang mendakwa adiknya telah dibuli dengan teruk. Ciapan tersebut tular dan setakat artikel ini ditulis telah menerima lebih 6500 ulang kicau sehingga mendapat perhatian daripada Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam hantaran di dalam laman Twitter beliau, Hishammuddin berkata, “Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM butiran lebih terperinci terus kepada saya/hubungi pejabat saya segera. Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan. Timbalan Menteri juga telah diarah untuk teliti perkara ini secara peribadi. Jika sahih, tindakan tegas akan diambil.”

IKLAN

Menerusi mesej yang disampaikan dan disiarkan di Twitter itu, ahli keluarga mangsa yang dibuli bimbang dengan keadaan adiknya yang bukan sahaja dipukul malahan duit juga turut diambil. Memetik mesej itu, “Adik aku askar duduk dalam kem bujang, dia hari-hari kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpan dia pun nak habis. Bayangkan kena belikan barang keperluan dorang yang 12-14 orang tu. Dia takut nak buat apa-apa.”

Menerusi mesej itu lagi, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak atasan namun tindakan yang diambil kepada pelaku kesalahan hanyalah sekadar denda berkawad selama 45 minit. Percubaan untuk membuat laporan polis pula dibalas dengan respon agar pengadu membuat laporan kepada kem tersebut. Menurut individu yang menghantar mesej itu lagi mereka risau jika adik mereka menerima nasib yang serupa seperti arwah Zulfarhan.

IKLAN

Difahamkan, mangsa buli tersebut bukanlah seorang pelatih, sebaliknya sudah berada di dalam perkhidmatan. Ketika dalam latihan keadaan amat berbeza, rakan-rakan dan ketua juga bersikap baik, namun suasana berubah apabila sudah berkerja. Keluarga mangsa juga sedang mengumpul bukti menerusi mesej-mesej yang dihantar untuk dilaporkan kepada Menteri.

IKLAN
“Duit  Simpanan Hampir Habis Diambil Senior,” – Menteri Gesa Individu Kes Buli Tampil Ke Hadapan
Budaya buli harus dibanteras dari akar umbi. Gambar sekadar hiasan. Sumber: Keira Burton/ Pexels

Diharapkan jika isu ini sahih, ia harus berjaya diselesaikan bagi membanteras budaya buli yang kian bernanah. Adalah menjadi tanggungjawab generasi kini untuk menghentikan ‘budaya’ tidak sihat  ini yang sudah berlaku sejak dahulu lagi. Wujudkan generasi yang hidup dalam suasana sihat, kerana persekitaran yang positif mampu membentuk sahsiah diri yang baik bahkan membentuk insan bertanggungjawab.

BACA JUGA: Bapa Arwah Zulfarhan Redha, Sudah Maafkan Tertuduh

+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI