Dua Puteri Diraja Tamat Pengajian Dalam Bidang Tekstil Di UK, Jadi Inspirasi Anak Muda. Tahniah!

Share

Dua puteri Diraja dari negeri Terengganu dan Pahang mencuri perhatian ramai apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang tekstil di United Kingdom baru-baru ini.

Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, anakanda sulung kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah, telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang tekstil di
University for the Creative Arts (UCA), UK.

BACA: Kebanggaan Malaysia, Remaja 19 Tahun Diiktiraf Sebagai Pelajar Terbaik Negara & Ketiga Dunia Dalam ACCA!

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran rasmi di laman Instagram Kesultanan Pahang, Jumaat lalu.

Kejayaan Tengku Nadhirah bukan sahaja membanggakan kedua-dua Paduka Baginda, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam mengangkat seni dan warisan tekstil ke peringkat antarabangsa.

Apa yang lebih membanggakan, dalam majlis konvokesyen sama, adinda kepada Tengku Mahkota Pahang turut diraikan atas pencapaian hebat dalam bidang yang sama.

Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, puteri bongsu kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
, telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang tekstil, juga di UCA.

Istana Pahang dalam kenyataan rasmi turut menitipkan doa agar Tengku Puteri Jihan terus melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.

“Diharapkan juga Tengku Puteri Jihan berupaya menyumbang ke arah pemerkasaan industri kreatif tanah air.

“Khususnya dalam memperkasa warisan tekstil tempatan di persada antarabangsa,” maklum kenyataan itu lagi.

Difahamkan, keluarga diraja dari kedua-dua negeri tersebut turut

berangkat ke UK untuk menghadiri dan meraikan majlis graduasi yang penuh bersejarah itu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: IG Kesultanan Pahang

Published by
Fath