
Ketabahan dan kegigihan alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa binti Apandi, 36, dalam menempuh perjalanan pendidikan tinggi mencipta sejarah apabila beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).
Dr. Siti Hawa diiktiraf menerusi rekod “First ‘SMA’ Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University”, sekali gus menjadikan beliau individu pertama yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) berjaya menamatkan pengajian secara berterusan daripada peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama.
Majlis penyerahan pengiktirafan disempurnakan wakil Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh, di kediamannya di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menyempurnakan sesi simbolik pemakaian jubah konvokesyen sebagai tanda penghargaan universiti terhadap ketabahan, kegigihan dan kecemerlangan akademiknya.
Dr. Siti Hawa mengikuti pengajian secara berterusan di UMPSA daripada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer.
Beliau memulakan pengajian diploma pada 2007 dan menamatkan Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 sebelum berjaya memperoleh PhD pada tahun lalu.
Pencapaian itu dilakar meskipun beliau menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA), gangguan genetik yang menyebabkan kelemahan serta kemerosotan fungsi otot secara progresif dan menyebabkan beliau bergantung kepada kerusi roda.
Di sebalik kejayaannya tersimpan pengorbanan ibu, Zaidah Tamjis, 63, yang menjadi sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan akademiknya.
Selama lebih sedekad, kolej kediaman kampus UMPSA menjadi ibarat rumah kedua buat Zaidah apabila beliau berpindah masuk bersama anaknya sejak pengajian diploma pada 2007 dan terus setia menemani serta membantunya sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA ke-20 sebelum ini, Dr. Siti Hawa tidak dapat menyarungkan sendiri jubah PhD selepas keadaan kesihatannya memerlukan rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru.
Anugerah beliau ketika itu diterima ibu bapanya. Justeru, sesi simbolik pemakaian jubah konvokesyen di kediamannya kali ini membawa makna tersendiri sebagai penghargaan terhadap perjuangan panjang beliau.
Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah penghormatan besar kepada seluruh warga universiti.
“Beliau bukan sahaja telah mengharumkan nama UMPSA, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bahawa tiada halangan untuk mencapai cita-cita sekiranya diberikan peluang, sokongan dan akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
UMPSA akan terus komited memperkasakan pendidikan inklusif dengan menyediakan ekosistem pembelajaran kondusif serta peluang sama rata kepada semua pelajar untuk mencapai kecemerlangan.
Kejayaan Dr. Siti Hawa mengikuti pendidikan tinggi secara berterusan daripada Diploma sehingga PhD di UMPSA menjadi asas pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pesakit SMA pertama di Malaysia yang berjaya mencapai rekod tersebut.
Lebih daripada sebuah rekod, pencapaian ini membawa mesej bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu dan kekangan fizikal bukan penghalang kepada kejayaan apabila diberikan peluang, sokongan keluarga serta persekitaran pendidikan yang inklusif.
Sumber : Facebook UMPSA Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.