
Baru-baru ini, seorang Jurutera Keselamatan Nuklear Malaysia, Dr Nur Shahidah Abdul Rashid berjaya mencuri perhatian apabila mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam bidang kejuruteraan nuklear yang cukup kompleks dan berprestij.
Memetik laporan Mooda, wanita berusia 34 tahun ini merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Nuklear Lanjutan bagi Pengurusan Sisa Radioaktif dari Universiti Pohang Sains dan Teknologi (POSTECH), Korea Selatan, secara langsung meletakkan dirinya dalam kelompok pakar berkemahiran tinggi di dunia.
Lebih membanggakan, beliau kini berkhidmat di Perancis sebagai satu-satunya Jurutera Keselamatan Nuklear dari Malaysia, sekaligus membuktikan bahawa anak tempatan mampu menembusi industri global yang sangat kompetitif.

Menurut Dr Nur Shahidah, peluang yang diperoleh beliau bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu amanah besar yang menuntut tahap disiplin dan integriti yang tinggi dalam setiap tanggungjawab yang digalas.
“Saya bangga dan terharu kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia di sini. Tapi rasa takut dan gementar pun ada kerana bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan agama di mata dunia,” katanya.
Kini, beliau berkhidmat di Autorité de sûreté nucléaire et de radioprotection (ASNR), iaitu sebuah badan autoriti nuklear terkemuka di Perancis. Di sana, kepakarannya digunakan dalam pelbagai aspek kritikal termasuk semakan lesen reaktor modular kecil dan reaktor modular termaju.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam analisis serta simulasi pencemaran radionuklid dan bahan kimia toksik terhadap alam sekitar dan manusia menggunakan perisian khusus, di samping merangka pelan keselamatan yang menyeluruh.
Di samping itu, pencapaian Dr Nur Shahidah jelas membuka mata orang ramai terutama anak muda bahawa bidang kejuruteraan nuklear memerlukan individu yang bukan sahaja genius dan berilmu, tetapi juga berani berdepan cabaran global, sekaligus mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
















