
Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia iaitu Dr. Syamsul Hirdi Muhid menerima penghargaan Anugerah Penjawat Cemerlang sempena dengan Hari Inovasi & Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU).
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Diddy Hirdy sejak bergelar peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat kini berkhidmat di kampus Sintok, Kedah dan hasil sumbangan beliau sebagai seorang Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta sebagai pensyarah di sana, beliau diberikan penghargaan tersebut pada minggu ini.
Menariknya, Dr. Diddy diuji dengan sedikit isu kesihatan sehingga beliau terpaksa melalui pembedahan di bahagian kaki beliau. Dalam keadaan terpaksa berkerusi roda dengan kaki berbalut, ia tidak sesekali memadamkan semangat beliau untuk naik ke atas pentas bagi menerima anugerah berkenaan secara fizikal.
BACA: Dugaan Terdahulu Buahkan Hasil, Diddy Hirdy Berjaya Genggam PhD University Of Liverpool – Remaja
Menerusi hantaran di Instagram, Dr. Diddy berkata beliau berkhidmat di UUM atas rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberi sebagai seorang pendidik. Tidak sekalipun terlintas di mindanya untuk mengejar anugerah yang diberi itu, namun Dr. Diddy tetap menitipkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas pemberianNya ini.
“Moga apa yang saya baktikan sebagai penjawat utama di UUM ini diterima sebagai satu amal ibadah. Dan anugerah ini juga memberi semangat untuk saya lakukan yang lagi terbaik di masa akan datang,” ujarnya sambil berterima kasih kepada pihak Universiti Utara Malaysia dan SCIMPA.
Meninjau ke ruangan komen beliau, figura-figura penting industri seperti Datuk Aznil Haji Nawawi, Dr. Soo Wincci dan Zed Zaidi tampil mengucapkan tahniah kepada Dr. Diddy Hirdy di atas anugerah yang diterima olehnya.
Tahniah Dr. Diddy!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.