
Setelah beberapa hari berteka-teki, akhirnya predisen ke-46 Amerika Syarikat telah pun diumumkan. Joe Biden yang mewakili parti Demokrat telah berjaya mengalahkan Donald Trump medahului sebanyak lebih 73 juta undian setakat ini.
Menurut laporan BBC news, seiring dengan kejayaan ini Biden merupakan presiden paling tua yang akan mengangkat sumpah dalam sejarah presiden negara kuasa besar dunia itu. Dia juga berjaya menyekat Trump yang hanya mampu bertahan selama sepenggal pemerintahan sahaja.
Dalam kenyataan ringkas seperti yang ditulis The New York Times, Biden meminta untuk mengembalikan perpaduan dan juga memperbetulkan keadaan. “Dengan kempen berakhir, sudah waktunya untuk meletakkan kemarahan dan retorik keras di belakang kita dan bersatu sebagai sebuah negara,” katanya.
Jelasnya lagi, “Sudah tiba masanya Amerika bersatu dan bersedia untuk sembuh. Kami adalah Amerika Syarikat. Dan tidak ada apa yang tidak dapat kita lakukan, jika kita melakukannya bersama-sama.”
Biden sebelum ini pernah bergelar naib presiden Amerika Syarikat kepada presiden Barrack Obama selama dua penggal dari tahun 2009 ke 2017.
Sumber: BBCnews & The New York Times
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Panggilan “Wanita Misteri” Sebelum Mengilai Kuat, Doktor Kongsi Pengalaman Seram Di Hospital

Tidak dinafikan, kewujudan makhluk halus iaitu bangsa Jin sudah dinyatakan di dalam al-Quran. Malah cerita-cerita seram seperti kewujudan pocong, pontianak, langsuir, toyol dan pelbagai lagi sudah banyak diceritakan.
Seorang doktor, Dr Kamarul Ariffin berkongsi pengalaman seram dilaluinya semasa bertugas di sebuah hospital. Memang seramlahkan kalau hadap perkara ini. Baca perkongsiannya di fb miliknya, Kamarul Ariffin Mohd Sadan.

TERPERANGKAP
“Hello, boleh bercakap dengan Doktor Kamarul” soal pemanggil di hujung talian.
Aduh! Baru nak lelapkan mata, dah ada orang cari. Aku telan air liur untuk basahkan tekak dan berkata “Ya, saya bercakap.”
“Saya dari bilik keselamatan. Doktor oncall kan malam ni?” soalnya.
Berkerut dahi aku. Memandangkan aku sedang oncall, aku sangka panggilan itu daripada wad untuk beritahu keadaan pesakit. Ada apa pula pengawal keselamatan telefon malam-malam ni? Ada pesakit lari daripada wad ke?
“Ya saya yang oncall. Ada apa ya, bilik keselamatan telefon?”
“Tadi doktor orang terakhir dalam pejabat di Jabatan Rehab ke?” soalnya lagi.
“A’ah. Saya orang terakhir. Kenapa? Saya lupa kunci pejabat ke?” kataku.
“Tak. Tadi lepas doktor serah kunci pejabat di bilik keselamatan pukul 10 malam tadi, kami ada terima satu panggilan daripada seorang perempuan. Dia kata dia terkunci dalam Jabatan Rehab.”
“Hah? Ye ke? Saya orang terakhir tadi. Saya ada check juga pejabat sebelum saya kunci pintu jabatan tadi. Tak ada orang lain pun rasanya.”
“Oh, memang ada check lah?”
“A’ah. Memang SOP kami untuk check. Siapa yang terkunci di dalam?” soal aku curiga. Ada juga timbul rasa bersalah kerana terkunci rakan sekerja di pejabat malam-malam begini.

“Itulah masalahnya. Saya pergi sana, buka pintu utama, tapi tak jumpa siapa-siapa di dalam. Pintu-pintu bilik dalam pejabat tu saya tak boleh buka sebab tak ada kuncinya.”
Alamak! Kunci tu ada di pejabat tapi di simpan dalam peti kunci yang berada dalam bilik Puan Nora, Ketua Unit Jurupulih Carakerja. Susah juga nak beritahu pengawal keselamatan ini di mana letaknya kunci-kunci itu.
“Tak apa, macam ni. Saya datang sana. Kita sama pergi check.” cadangku pada pengawal itu.
“Hah! OK!”
Aku terus bangkit dari katil dan berkejar ke bilik keselamatan yang terletak di lobi utama hospital. Dalam perjalanan itu aku periksa group WhatsApp tempat kerja. Mana tahu orang yang terperangkap itu ada mesej apa-apa di group.
Mesej terakhir di hantar oleh Ketua Jabatan kami, jam 10.30 malam. Mesej itu berbunyi “Breakfast will be provided tomorrow”. Selepas itu, tiada apa-apa mesej lagi. Hmm…
“Saya Dr Kamarul. Jom kita pergi periksa Jabatan Rehab” ujar aku di tetingkap di bilik keselamatan sebaik sahaja tiba di sana. Dalam bilik itu ada 2 orang pengawal keselamatan. Seorang lelaki, seorang perempuan.
“OK, jom!” sahut si pengawal keselamatan lelaki.
Kami pun pergilah pejabat Jabatan Rehabilitasi dan buka pintu utama Jabatan, kemudian pintu Unit Rehabilitasi, kemudian pintu bilik Puan Nora, dan barulah boleh ambil gugusan kunci dalam peti kunci dalam bilik itu.
Ketika kami nak keluar daripada bilik Puan Nora, walkie talkie di pinggang pengawal keselamatan itu berkeriut dan kemudian terdengar suara pengawal wanita yang berada bilik keselamatan itu bersuara:
“Perempuan tadi tu telefon lagi. Dia kata dia dengar suara kau orang.”
“Tanya dia, dia kat mana?” balas pengawal lelaki.
10 saat berlalu sebelum walkie talkie itu kembali berbunyi dan disusuli jawapan.
“Dia kata dengar suara kau orang macam kat bilik sebelah bilik dia.”
Bilik pejabat sebelah bilik Puan Nora itu adalah bilik Encik Mus, Ketua Unit Jurupulih Fisioterapi. Dia jarang guna bilik berkenaan, kerana dia lebih selesa gunakan bilik berhampiran dengan jimnasium di Unit Fisioterapi.
Sejujurnya 3 tahun aku bertugas di Jabatan Rehabilitasi, aku hanya pernah lihat En Mus masuk dalam bilik itu, sekali sahaja.

Aku buka kunci bilik itu dan kuaknya daun pintu luas-luas, dan bersedia untuk minta maaf kepada insan yang terperangkap dalam bilik itu kerana kecuaian aku.
Eh? Tak ada sesiapa.
Aku petik suis lampu. Cahaya menerangi bilik itu. Mata aku melilau ke segenap penjuru bilik. Memang tak ada sesiapa. Aku toleh pada pengawal disebelah aku, dia pun toleh kepada aku. Aku dah mula rasa lain macam, tapi kami masuk juga untuk periksa lebih lanjut.
Bila kami dekati meja aku baru perasan bahawa gagang telefon tidak terletak pada perumahnya dan hanya terjuntai ke bawah meja. Hati aku dah tak sedap. Takkan orang tu duduk bawah meja, kan?
Tapi aku dan pengawal tu nekad untuk periksa juga. Masa aku jengah tu tiba-tiba walkie talkie bersuara:
“Shshshshsh… OK dah! Perempuan tu kata dia dah nampak kau orang. ”
Bulu roma aku terus meremang, dari lengan sampai ke pundak, kemudian ke tengkuk. Weh, bawah meja tu tak ada sesiapa. Gagang tu tergantung je. Siapa yang sedang bercakap dengan pengawal di bilik keselamatan tu?
Macam lipas kudung aku dan pengawal keselamatan yang bersama aku itu lari keluar dari pejabat jabatan. Lintang pukang lari macam tak cukup tanah.
Aku sampai dulu di bilik keselamatan, pengawal lelaki tadi tercungap-cungap menyusul aku dari belakang. Habis terkeluar keluar baju dia. Ada beberapa orang oramg awam di lobi pandang kami berdua semacam.
“Weh kenapa kau orang lari-lari macam kena kejar hantu ni?” tanya pengawal perempuan dalam bilik keselamatan.
Kami pun beritahulah apa yang berlaku. Pucat muka dia bila dengar cerita kami. Dia pula lebih takut daripada kami. Dia siap tepuk-tepuk mulut dia. Mungkin memarahi dirinya kerana bermulut celupar.
“Kita kena patah balik.” kata pengawal lelaki tadi.
“Patah balik? Biar betul?” ujar aku.
“Yelah. Kita tak kunci balik pejabat tu. Mampus saya kalau esok ada apa-apa hilang.”
“Betul juga. Aku pun mati kalau macam tu, sebab aku yang oncall. Lampu tak tutup. Pintu tak kunci. Aku yang patut bertanggungjawab kunci pejabat hari ni.”

Bila dah tenang sikit, pengawal lelaki tu panggil 2 orang lagi pengawal untuk ke bilik keselamatan. Jadi kami berempat pergi semula ke Jabatan Rehabilitasi.
Sampai sana kami periksa semula semua. Tak ada benda hilang, tak ada benda pelik, kecuali gagang telefon tadi dah diletakkan semula ke perumahnya. Aduh merinding sekali lagi.
Kemudian kami cepat-cepat tutup lampu, kunci semua pintu, dan lekas-lekas beredar. Kau tak akan pernah nampak seorang doktor dan 3 pengawal keselamatan berjalan rapat-rapat macam mana kami berjalan malam tu.
Selepas itu aku dan pengawal-pengawal berborak berkenaan peristiwa itu di dalam bilik keselamatan. Tiba-tiba telefon berdering. Kami memandang sesama sendiri. Masing-masing tak nak angkat, namun akhirnya salah seorang pengawal jawab panggilan itu.
“Hello! Bilik keselamatan, boleh saya bantu!”
“Terima kasih…” dan disusuli derai tawa dan hilai sebelum talian diputuskan.
Terus kami berhenti bercerita. Entah apa yang kami dah lepaskan dari bilik itu. Maknanya kini ia dah bebas.
Kamarul Ariffin Nor Sadan
#GHOSTPITAL
Suka baca cerita seram, maka follow. Simple.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Soalan Exam Sekolah Susah? Ini Jawapan Daripada Kementerian Pendidikan Malaysia

Minggu ini, semua murid sekolah baik di sekolah menengah dan rendah sedang bertungkus-lumus menjawap exam akhir tahun.

Pelajar tingkatan lima pula tak kurang debar kerana SPM bermula 6 November ini, kurang 10 hari dari sekarang. SPTM juga tarikh yang sama.
Dalam debar, rungutan soalan susah dan mengelirukan kembali semula.
Tempoh hari, viral bagaimana orang dewasa cuba menjawab soalan-soalan diberi dan menimbulkan perdebatan bagaimana pelajar sekolah rendah mampu menjawab soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ini.
Kenapa soalan terlalu susah? Siapa yang menggubalnya?
Pengarah Pendidikan Dr. ‘Aliah Ahmad Shah, dari Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya menjawab isu ini.

Katanya, tugas Lembaga Peperiksaan (LP) menyediakan instrumen pentaksiran berdasarkan dokumen kurikulum bagi sesuatu mata pelajaran yang diterima daripada Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Penyediaan instrumen pentaksiran untuk semua jenis peperiksaan mestilah melibatkan beberapa proses, peringkat dan pengaplikasian prinsip.
“Pada akhir proses ini, spesifikasi ujian dan format pentaksiran bagi sesuatu mata pelajaran akan dihasilkan dan dibentangkan untuk kelulusan di peringkat pengurusan dan Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan, KPM,” katanya.

Disoal isu bentuk pengajaran diajar di sekolah berbeza yang keluar semasa peperiksaan, Dr Aliah menjelaskan guru mengajar berdasarkan kurikulum iaitu Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR, 2011) dan DSKP Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM, 2017). Manakala item atau soalan yang digubal adalah berdasarkan dokumen kurikulum yang sama yang diajar oleh guru kepada murid.
“Ini adalah prinsip utama yang diamalkan dalam penulisan item bagi semua jenis peperiksaan kendalian LP. Jika guru mengajar berasaskan kurikulum tersebut seperti termaktub dalam dokumen DSKP, sudah tentu murid berupaya menjawab sebarang soalan ujian yang dikemukakan dalam peperiksaan,” katanya.
Kenapa Soalan Peperiksaan Lebih Kepada ‘Teknik Berfikir’?
Pelajar abad ini sudah didedahkan kepada DSKP yang holistik dan relevan dengan keperluan abad ke21 bagi melahirkan modal insan yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif serta mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara dan berdaya saing di peringkat antarabangsa dan global.
Oleh itu, pelajar di sekolah dididik dan dibangunkan potensi mereka melalui pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah, pembelajaran kontekstual, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek, pendekatan konstruktivisme serta pendekatan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).
“Menerusi pendedahan dan pengalaman pelbagai pendekatan pembelajaran ini, pelajar lebih bersedia, lebih bijak dan kreatif terarah kepada design thinking. Pelajar perlu diberikan peluang dan ruang untuk mengenal pasti teknik atau kaedah berfikir yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran kendiri mereka,” terang beliau lagi.

Siapa Terlibat Dalam Menggubal Soalan?
Mengenai siapa yang dilantik dalam menyediakan soalan peperiksaan, terang Dr. ‘Aliah memberitahu, beberapa orang personel dan terdiri dari warga pendidikan KPM.
“Mereka ini adalah guru yang dikenal pasti secara khusus oleh LP sebagai mahir dalam bidang masing-masing, berpengetahuan tentang kurikulum dan pentaksiran, berdisiplin dan mempunyai sahsiah terpuji serta kreatif dan inovatif.
“Malahan personel yang telah dikenal pasti ini wajib mengikuti kursus perealisasian item anjuran LP sebelum dilantik sebagai penggubal atau panel penulis item,” ulasnya lagi.
Ibu bapa Jangan Cepat Melatah
Bila soalan susah dan anak-anak mengadu, ada ibu bapa yang mudah melatah.
Dr. ‘Aliah menjelaskan setiap pentaksiran dan peperiksaan yang dilaksanakan mempunyai tujuan dan objektif yang tertentu.
“Hasrat peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai contoh adalah untuk melihat pencapaian murid dalam bidang akademik dari segi penguasaan kemahiran literasi dan numerasi atau 4M (menulis, membaca, mengira dan menaakul) di akhir persekolahan rendah.
“LP memastikan prinsip piawaian dalam pembinaan soalan bagi semua peperiksaan awam sentiasa dipatuhi. LP memastikan soalan tersebut akur kurikulum, akur spesifikasi soalan dan akur peluang supaya calon dapat memberi respon yang tepat.
“Dokumen kurikulum menjadi rujukan asas untuk memastikan perkara yang dikemukakan telah dipelajari oleh murid dan telah iajar oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” jelasnya lebih lanjut
Ibu bapa hendaklah berfikiran dan bersikap terbuka serta berlapang dada terhadap pelbagai bentuk soalan yang dapat menyediakan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan pada masa kini dan masa hadapan.

Selain itu, ibu bapa perlu mengkaji dan memahami kurikulum terlebih dahulu sebelum membuat penilaian terhadap soalan dalam kertas peperiksaan, memahami konstruk atau perkara yang di hasrat untuk dibangunkan dalam diri murid melalui sesuatu mata pelajaran. Selepas itu, barulah membuat penilaian selepas itu sama ada soalan yang dikemukakan mempunyai kandungan/fakta yang dipelajari, betul dan terkini.
Di samping itu, ibu bapa harus berperanan membantu anak dengan memberi dorongan, sokongan dan menyediakan persekitaran yang merangsang mental, emosi dan fizikal mereka. Elakkan daripada memberi tekanan yang keterlaluan sehingga mengganggu emosi anak semasa menduduki peperiksaan.
Jadi mak ayah, dah fahamkan kenapa soalan peperiksaan dikatakan agak susah. Bukan nak susahkan pelajar tetapi semuanya sudah digubal dan mengikut standartnya.
Buat adik-adik, semasa menjawab soalan, bacalah arahan dengan baik, fahami kehendak soalan, rangka jawapan dan jawab dengan tenang. Semua maklumat yang diperlukan untuk menjawab soalan tersebut mestilah difahami dengan jelas.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baliklah Zahir! Hari-Hari Ibu Menangis dan Hanya Mampu Berdoa

Kisah seorang pelajar darjah dua, Zahirudin yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu memberikan kesan yang yang bukan sedikit di hati ibu ini.
Saban masa, dia hanya mampu menangis dan terus menangis. Doa tidak pernah lekang dari mulutnya meminta agar Allah memelihara keselamatan anak bongsunya dari lima beradik agar selamat dan sentiasa dalam lindungan Allah taala.
“Saya hanya mampu menangis dan terus menangis. Setiap kali namanya disebut, air mata ini terus mengalir. Saya begitu risaukan keselamatannya. Makankah Zahir? Tidurnya di mana? Selamatkah dirinya? Macam-macam yang saya fikirkan tentang anak saya,”kata Sainih binti Sunding, 46 tahun ketika REMAJA menghubunginya bagi mengetahui berita terkini.

Berita kehilangan pelajar Muhammad Zahiruddin Putra bin Mohd Fauzi yang dilaporkan hilang pada 15 April lalu di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi cukup menyesakkan nafasnya.
Setiap kali terpandang gula-gula dan bunyi loceng aiskrim, hatinya luluh. Itulah makanan kesukaan anaknya.

Berkongsi keadaan terkininya, kata Sainih, selain terus tertanya-tanya bagaimana nasib anaknya, jelas ibu berusia 46 tahun ini juga dia hanya mengharapkan usaha pihak polis dan orang ramai untuk terus membantu mencari anak kecilnya itu.
“Jujurnya saya tak tidur malam. Tak tahu nak cari di mana. Hari tu ada orang kata nampak anak di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Tapi saya hairan kenapa orang tak ambil dia dan bawa kepada kami.
“Membaca komen-komen netizen membuatkan hati saya semakin takut. Takut andai jadi apa-apa padanya,” katanya ketika dihubungi. Kata Sainih, dia dan suami terus menunggu perkembangan dari pihak polis dan buat masa ini dia tidak tahu perkembangan terkini.


Saya mimpi dia tertinggal
Mungkin ramai yang bercakap mimpi hanya mainan tidur. Namun jelas Sainih enam bulan sebelum kehilangan Zahir, dia ada bermimpi.
“Dalam mimpi itu, saya pergi ke pekan bersama Zahir menaiki bas. Kami siap membeli belah. Selepas itu kami naik bas semula tapi dalam mimpi itu Zahir tidak naik. Hinggalah bas bergerak dan saya kemudian meminta pemandu bas berpatah balik untuk mengambil Zahir. Bila tiba di situ, Zahir tiada dan saya terus mencari-carinya,” katanya lagi.
Malah pada hari kejadian anaknya itu hilang, kata Sainih, dia yang sedang bekerja sebagai cleaner sempat menelefon anak perempuannya agar ditengok-tengokkan adik.
“Ketika itu hujan dan seolah mahu ribut. Hati saya rasa tak tenang. Saya hubungi anak dan suruh tengok Zahir. Dia kata iya. Setengah jam kemudian saya mesej lagi tanya adik dah balik belum tapi anak tak respon whatsapp tersebut.
“Sampailah ke petang bila balik dari kerja, tahu-tahu anak tak balik-balik. Hal yang merisaukan hati saya ialah bagaimana keadaannya,” katanya yang amat merindui anaknya itu. Amat rapat dan manja dengannnya kata Sainih, dia kini buntu dan mengharapkan doa dan bantuan orang ramai agar anaknya ditemui segera.
Zahiruddin kali terakhir memakai baju kemeja-T berwarna hitam dan seluar Panjang berwarna biru dan inilah kali pertama kejadian sebegini berlaku. Kehilangan kanak-kanak ini turut dihebahkan melalui Nur Alert
Bagi korang yang ada info tentang adik Zahir, ada terjumpanya di mana-mana, bawalah dia ke balai polis berhampiran. Bantulah keluarga ini demi menghilangkan kegusaran di hati mereka yang terus menantikan sebuah jawapan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

