
Kekurangan dari segi fizikal bukan alasan untuk seseorang berhenti mengejar impian. Begitulah semangat yang ditunjukkan penerima Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Muhammad Akmal Yazali.
Berusia 22 tahun, Muhammad Akmal membuktikan bahawa sindrom Marfan dan skoliosis yang dihadapinya bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Lebih membanggakan, pemuda kelahiran Melaka itu berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.81, selain aktif menyertai pelbagai pertandingan inovasi sepanjang tempoh pengajiannya.
Mengakui keadaannya tidak sama seperti pelajar lain, Muhammad Akmal bagaimanapun memilih untuk terus memberikan yang terbaik dalam pelajaran.
“Walaupun keadaan saya tidak sempurna seperti pelajar lain namun ia tidak mematahkan semangat untuk berusaha. Malah hasil doa dan sokongan ibu bapa serta dorongan abang dan rakan banyak membantu saya berjaya hingga hari ini,” katanya ketika pemberita.
Sindrom Marfan merupakan penyakit genetik yang menjejaskan tisu penghubung dalam badan, manakala skoliosis pula menyebabkan tulang belakang membengkok.
Kedua-dua keadaan tersebut mengehadkan penglibatan Muhammad Akmal dalam aktiviti yang memerlukan kekuatan fizikal. Namun, perkara itu sama sekali tidak menghalangnya untuk terus mencipta kejayaan menerusi bidang yang diminatinya.
Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, pencapaian tersebut pastinya menjadi satu kebanggaan buat keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan pengajiannya.
Tidak berhenti di situ, Muhammad Akmal kini bakal melangkah ke fasa seterusnya apabila merancang untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengarah (Akademik) PMM, Faridatuljana Moha Noor berkata, konvokesyen kali ini lebih istimewa selepas PMM menerima pengiktirafan sebagai Politeknik Premier.
Menurutnya, konvokesyen tersebut turut menjadi yang pertama diadakan di luar kampus dengan menghimpunkan semua politeknik dan kolej komuniti di Zon Selatan.
“Selepas kesemua sidang selesai, PMM dijangka mempunyai jumlah keseluruhan 32,766 lulusan, sekali gus memperlihatkan kesinambungan peranannya dalam menyediakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang relevan serta berdaya saing.
“Menjelang 2027, PMM akan menawarkan dua program Ijazah Sarjana Muda berteraskan Pembelajaran Berasaskan Kerja, iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Kepintaran Lestari dan Ijazah Sarjana Muda Analitik Perniagaan,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama