
Dalam arus hidup yang penuh cabaran, ada kisah yang memberi makna lebih besar daripada sebuah segulung ijazah. Kisah perjuangan Nur Farrah Izzati binti Yusri, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), adalah salah satu daripadanya.
Bagi ramai orang, tamat pengajian dalam tempoh yang ditetapkan mungkin perkara biasa. Namun bagi Farrah, perjalanan itu penuh episod getir yang menguji fizikal, mental dan kekuatan jiwanya.
Segalanya bermula pada tahun 2019. Ketika rakan-rakan sebaya sibuk mengejar impian di kampus, Farrah menerima berita yang mengubah seluruh hidupnya, dia disahkan menghidap Adult Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), sejenis kanser darah yang agresif.
Farrah kemudiannya dimasukkan ke Hospital Melaka dan menjalani rawatan intensif selama enam bulan. Perjuangannya diteruskan dengan pemindahan sel stem di Hospital Ampang, Selangor. Namun pada Jun 2020, Farrah sekali lagi diuji apabila mengalami komplikasi
graft rejection, keadaan yang boleh memberi risiko serius.Dan seakan itu belum cukup berat, Farrah baru-baru ini turut didiagnosis dengan kanser lidah. Walaupun berdepan dugaan bertimpa-timpa, Farrah tidak pernah melepaskan harapan. Dia tetap melangkah, dikuatkan oleh keluarga yang sentiasa ada di sisi.
Dalam setiap kisah perjuangan, pasti ada insan yang menjadi tiang kekuatan. Bagi Farrah, pahlawan itu ialah adiknya, Nur Idris Syah bin Yusri, yang menjadi penyelamat nyawa ketika dia memerlukan pemindahan sel stem.
“Adik lelaki saya, Nur Idris Syah yang menderma stem cell untuk rawatan transplan leukemia saya. Kalau saya tak dapat stem cell dari dia, mungkin saya tak ada hari ini,” katanya.
Selain itu, ibunya Puan Idah binti Abu Bakar tidak pernah berganjak daripada sisi Farrah yang menemani setiap rawatan, setiap tangisan dan setiap harapan. Sokongan keluarga inilah yang membuatkan Farrah terus kuat berdiri.
Farrah juga menerima bantuan khas berjumlah RM16,249.00 daripada Tabung Endowmen UTM untuk meringankan beban rawatan. Bantuan ini bukan sekadar nilai wang, ia adalah tanda sokongan universiti kepada perjuangan anak didiknya.
Disebabkan rawatan panjang dan keadaan kesihatan yang berubah-ubah, Farrah terpaksa menangguhkan pengajian selama lima semester. Namun dia tidak pernah berpaling daripada impiannya.
Setiap kali tubuhnya mengizinkan, Farrah kembali ke kampus, masuk ke kelas, siapkan tugasan dan meneruskan amanah sebagai seorang pelajar. Semangatnya tidak pernah pudar walaupun tubuhnya sering dihimpit ketidakpastian.
Hari ini, semua usaha dan air mata itu akhirnya terbalas. Farrah berdiri megah sebagai salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen ke-69 UTM. Kemenangannya bukan sekadar ijazah, tetapi simbol keberanian seorang pejuang muda.
Lebih membanggakan, Farrah kini telah diterima sebagai Protégé di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka
, membuka lembaran baharu dalam kerjaya profesionalnya.Farrah mengingatkan kita bahawa kekuatan bukan hanya ada pada tubuh yang sempurna, tetapi pada jiwa yang enggan mengalah. Selagi ada langkah, selagi itu ada harapan.
Farrah Izzati bukan sekadar graduan UTM. Beliau adalah ikon ketabahan dan inspirasi bahawa apa pun ujian hidup, selagi kita memilih untuk terus berjalan, kita tetap seorang pemenang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UTM News