Di sebalik kejayaan seorang anak melangkah ke menara gading, ada kisah pengorbanan yang mungkin tidak pernah dilihat oleh ramai.
Begitulah kisah Nur Hazizah Indrasafri yang membesar dalam serba kekurangan bersama nenek biologinya, Ng King Fong, sejak kecil. Walaupun mereka berbeza agama, perbezaan itu tidak pernah menjadi penghalang buat sang nenek mencurahkan kasih sayang kepada cucunya.
Kisah penuh inspirasi tersebut dikongsikan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Facebook rasmi mereka, sekali gus memperlihatkan perjalanan hidup Hazizah yang tidak mudah sebelum berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Dibesarkan Nenek Selepas Ibu Bapa Berpisah
Selepas ibu bapanya berpisah ketika Hazizah dan adik-adiknya masih kecil, mereka kemudiannya dibesarkan oleh nenek di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Teratai, Ampang.
Ng King Fong, 72, yang bekerja sebagai tukang masak dan pembersih, melakukan apa sahaja yang termampu bagi memastikan cucu-cucunya mempunyai makanan serta dapat meneruskan persekolahan.
Walaupun berlainan agama, neneknya tetap memahami keperluan Hazizah sebagai seorang Muslim. Makanan yang disediakan dipastikan halal dan apabila guru mencadangkan Hazizah mengikuti sekolah agama, dia turut memberikan keizinan.
Malah, soal akidah cucunya turut dijaga sebaik mungkin.
Kasih sayang itu juga dapat dilihat melalui perkara-perkara kecil. Pernah suatu ketika hujan lebat selepas sesi persekolahan agama, neneknya datang membawa payung bagi memastikan Hazizah dan adiknya selamat menaiki van sebelum dia sendiri berjalan pulang dalam hujan.
Pernah Jual Lukisan Demi Makanan
Zaman kanak-kanak Hazizah juga tidak terlepas daripada kesusahan. Ketika Darjah Satu, dia pernah menjual lukisan selepas waktu sekolah semata-mata untuk mendapatkan wang membeli makanan untuk diri sendiri dan adiknya.
Ads
Pada ketika itu, bapanya bekerja sebagai tukang kasut jalanan dan sering pulang lewat malam. Dalam keadaan serba kekurangan, jiran-jiran turut membantu menyediakan makanan buat mereka.
Namun, segala kesukaran tersebut tidak membuatkan Hazizah menyimpan rasa marah terhadap ibu bapanya.
Dia masih mengingati satu momen ketika bapanya datang melawatnya di sekolah dan meminta maaf kerana tidak pandai membetulkan tudungnya.
“Maafkan Papa Ya, Nak. Papa Tak Reti Pakai Tudung Dengan Elok. Ini Je Papa Mampu,” ujarnya.
Bagi Hazizah, kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan kasih seorang bapa yang cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya.
Ibunya pula pernah bekerja sebagai juruwang dan dalam bidang F&B sambil berdepan masalah kesihatan.
“Bagi Saya, Seorang Ibu Tidak Semestinya Perlu Sempurna Untuk Tetap Menjadi Seorang Ibu,” Katanya.
Ads
Kesusahan Jadi Pembakar Semangat
Daripada kehidupan yang penuh cabaran itu, Hazizah memilih untuk menjadikan segala kesusahan sebagai kekuatan bagi mengubah nasib keluarganya.
Dia berjaya menamatkan pengajian diploma dengan PNGK 3.89 sebelum bekerja di sebuah hotel bagi mengumpulkan wang untuk menyambung pelajaran.
Apabila mendapat tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM, Hazizah pada awalnya hampir menolak peluang tersebut.
Masalah kewangan serta keadaan neneknya yang semakin uzur dan mengalami masalah penglihatan membuatkan dia berasa serba salah untuk meninggalkan keluarga dan menyambung pengajian jauh di utara.
Namun, neneknya tetap mahu Hazizah meneruskan pelajaran.
Ads
“Kalau Dia Suka Belajar, Biarlah Dia Belajar”
Ketika ditanya mengenai keputusan membenarkan cucunya melanjutkan pengajian jauh dari rumah, jawapan Ng King Fong cukup ringkas tetapi cukup mendalam.
“Kalau Dia Suka Belajar, Biarlah Dia Belajar,” katanya.
Kata-kata tersebut akhirnya menjadi antara dorongan buat Hazizah untuk terus mengejar impiannya.
Rezekinya juga dipermudahkan apabila Hazizah terpilih menyertai Program Siswa SULUNG dengan pembiayaan yuran pengajian sehingga tamat.
Bukan itu sahaja, dia turut menerima bantuan komputer riba, dana kewangan serta bekalan makanan menerusi sokongan beberapa pihak di UUM.
Mahu Ubah Kehidupan Keluarga
Buat Hazizah, peluang untuk melanjutkan pengajian bukan sekadar mengejar segulung ijazah.
Sebaliknya, ia menjadi satu harapan untuk mengubah kehidupan keluarganya serta memberikan kehidupan yang lebih selesa buat insan-insan yang banyak berkorban untuknya.
Dia mahu membantu nenek dan ibunya selain membalas setiap pengorbanan arwah bapanya.
“Kesusahan Lalu Adalah Kekuatan Saya Hari Ini. Terima Kasih Kepada Keluarga, Guru, Jiran Dan Semua Yang Pernah Hadir Membantu Perjalanan Hidup Saya. Terutama Nenek,” Ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejak kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk pergi bercuti selepas sekian lama ‘terperangkap’ di rumah ekoran wabak pandemik COVID-19.
Walaupun sudah dibenarkan ke luar negara, namun masih ramai yang mengambil keputusan untuk hanya pergi melancong di dalam negara bagi membantu peniaga dan ekonomi Malaysia yang terjejas teruk sejak beberapa tahun ini.
Di negara kita juga mempunyai banyak lokasi menarik yang boleh dikunjungi, malah ada daripadanya yang tidak kurang hebat seperti berada di luar negara.
Tahukah korang, terdapat tempat penginapan yang persekitarannya boleh membuatkan pengunjung berasa seperti di luar negara? Ya, sekiranya korang pandai memilih lokasi yang tepat, pengalaman bercuti yang diperoleh pastinya seakan seperti berada di luar negara.
Berikut kami senaraikan antara hotel atau resort yang menarik di Malaysia, menjanjikan suasana seperti di luar negara. Hiks!
Rasai pengalaman berada di perkampungan Hobbit hanya di Kundasang Sabah.Tidak perlu ke New Zealand untuk merasai pengalaman menginap di ‘The Shire’ yang diinspirasi dari filem The Lord of The Rings.
Mungkin ramai yang belum tahu, Melaka juga punya tempat penginapan menarik dengan rekaan seni binanya yang unik sesuai buat anak muda ber’OOTD’ ketika bercuti.
Kalau nak persekitaran yang sejuk dan pemandangan indah terutama sekali pada waktu matahari naik dan terbenam, korang boleh pergi ke Mountain Valley Resort ini.
Bagi individu yang gemar dengan seni bina yang unik inspirasi daripada bangunan bersejarah Inggeris, boleh kunjungi hotel yang berada di Pulau Pinang ini dengan harga serendah RM521.
Tidak perlu diperkenalkan lagi, tempat tumpuan di Bukit Tinggi ini sering menjadi pilihan pelancong yang inginkan ketenangan dan suasana seperti di luar negara.
Sabah memang terkenal dengan pulau-pulaunya yang jernih dan cantik setanding luar negara. Maka, tidak hairanlah sekiranya pulau di Sabah ini digelar sebagai ‘Maldives Malaysia’.
Ia adalah salah satu tempat menarik yang paling popular di Kudat kerana keindahan landskap dan kawasan sekitarnya. Tempat berkelah mesra keluarga yang terletak di sepanjang sungai dan pemandangan Gunung Kinabalu yang mengagumkan.
Jangan tak tahu, Johor juga mempunyai tarikan pulau yang menarik di Pulau Rawa. Kejernihan air serta tempat penginapan yang unik sering menjadi pilihan pengunjung.
10. Mongolian Yurt Wind Padadise Lodge Kundasang, Sabah
Menawarkan penginapan yang luas di dalam khemah Mongolia, pada sebelah malamnya korang boleh menyaksikan keindahan langit malam yang sangat menakjubkan. Bawa tikar dan selimut, nikmatilah keindahan ini sepuasnya.
Ha, macam mana ada yang menarik tak? Boleh set dengan family atau kawan-kawan untuk percutian hujung tahun ini ya. Hiks! Selamat bercuti!
Semua individu dilahirkan ke dunia dengan keunikan yang tersendiri.
Jika di Filipina sebelum ini tular tentang keunikan modelnya yang bernama Julia Ostan kerana miliki warna mata yang berbeza. Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan pula menjadi perhatian dunia apabila dilahirkan dengan tanda lahir genetik jarang berlaku yang menyebabkan rambutnya tumbuh dengan dua warna berbeza.
Tanda lahir merupakan salah satu keunikan tersebut. Menurut sumber, kira-kira 80% daripada bayi yang lahir mempunyai tanda lahir. Tanda lahir pada bayi boleh kelihatan seawal kelahiran bayi atau setelah beberapa bulan.
Meskipun tanda lahir merupakan sesuatu yang biasa dijumpai, namun bagi kes kanak-kanak ini ia bukan sesuatu yang normal. Jenny Hill yang merupakan ibu kepada kanak-kanak itu turut terkejut apabila melihat Bella dilahirkan dengan rambut separuh perang dan separuh lagi berwarna coklat.
Sejak itu, Jenny mengakui bahawa keunikan Bella yang berusia 11 tahun itu mendapat banyak perhatian orang.
Pelajar sekolah itu turut mempunyai bulu mata yang berbeza warna dengan bulu mata kanan berwarna cerah manakala yang kiri adalah gelap.
Wanita berusia 35 tahun dari bandar Lincoln, Amerika Syarikat (AS) itu percaya bahawa perkara tersebut terjadi disebabkan oleh poliosis atau kekurangan melanin yang mengurangkan pigmen dalam tompok rambut.
“Ia benar-benar berbeza dan unik. Ibu saya menunjukkan Bella semasa saya melahirkannya, tetapi pada waktu itu saya terlalu sakit untuk menyedarinya.
Sebagai seorang ibu, ia lebih ketara kerana saya sering bersamanya. Semakin lama ianya semakin lebih menonjol setelah Bella sudah membesar,” jelas Jenny.
Pada musim panas, bahagian rambut berwarna lebih gelap akan menjadi lebih cerah. Rambut perang itu seakan diluntur tetapi dengan corak yang luar biasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dalam memilih calon menantu, setiap ayah pastinya ada ukuran tersendiri. Ada yang melihat kestabilan kerja, ada yang menilai latar belakang keluarga, ada juga yang mahu memastikan lelaki itu benar-benar mampu menjaga anak perempuannya dengan penuh tanggungjawab.
Namun menerusi satu perkongsian, penyanyi dan selebriti Aliff Satar menarik perhatian ramai apabila menceritakan kisah seorang ustaz yang meletakkan syarat cukup berbeza kepada lelaki yang mahu menikahi anak perempuannya.
Menurut Aliff, ustaz tersebut merupakan guru agamanya. Dalam satu perbualan, anak-anak muridnya pernah bertanya bagaimana ustaz itu menilai keikhlasan seorang lelaki yang mahu melamar anak perempuan kesayangannya.
Katanya, dia hanya meletakkan satu syarat kepada lelaki tersebut. Bukan wang hantaran yang tinggi, bukan kereta mewah, bukan rumah besar, tetapi satu bentuk ujian disiplin yang menyentuh soal hubungan lelaki itu dengan Allah.
Syarat Solat Berjemaah 40 Hari
Syaratnya, lelaki tersebut perlu menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid selama 40 hari berturut-turut, di belakang imam dan pada waktunya. Sebagai bukti, lelaki itu diminta merakam gambar yang menunjukkan tarikh serta waktu setiap kali hadir ke masjid, dari Subuh hinggalah Isyak.
Menariknya, lelaki tersebut benar-benar melaksanakan syarat itu dengan penuh kesungguhan. Selama tempoh tersebut, dia menjaga solat berjemaahnya dan akhirnya berjaya menikahi anak ustaz tersebut.
Kisah ini turut dikaitkan dengan hadis mengenai kelebihan menjaga solat berjemaah selama 40 hari bersama imam. Hadis tersebut diriwayatkan dalam Jami’ al-Tirmizi.
Namun, status hadis ini diperselisihkan dan dinilai dhaif oleh ramai ulama seperti al-Tirmizi, al-Zahabi dan Ibn Hajar. Walaupun begitu, maknanya tetap boleh dijadikan dorongan untuk membina istiqamah dalam solat berjemaah.
Apa yang menjadikan kisah ini kuat bukan sekadar pada syarat tersebut, tetapi mesej di sebaliknya. Seorang ayah bukan hanya mahu tahu kemampuan kewangan, tetapi juga disiplin dan pegangan agama lelaki itu.
Dalam dunia hari ini, ramai melihat perkahwinan dari sudut material semata-mata. Namun hakikatnya, karakter dan tanggungjawab terhadap agama adalah asas yang lebih penting.
Lelaki yang mampu konsisten bangun awal, menjaga waktu solat dan istiqamah sepanjang tempoh silat sebenarnya sedang melatih dirinya menjadi lebih bertanggungjawab.
Ini bukan sekadar untuk membuktikan diri kepada bakal bapa mentua, tetapi sebagai persediaan memikul amanah dalam rumah tangga.
Didikan Anak Perempuan
Aliff turut menekankan bahawa anak perempuan perlu dididik menjadi wanita yang tahu nilai diri dan berdikari. Mereka bukan “barang” yang boleh dipinang hanya dengan wang ringgit.
Perkahwinan bukan soal siapa paling kaya, tetapi siapa paling layak menjaga amanah.
Mesej paling penting adalah refleksi kepada diri sendiri. Sebelum menetapkan syarat kepada orang lain, seorang ayah perlu terlebih dahulu menjadi contoh.
Jika kita mahu menantu yang menjaga solat kita sendiri perlu menjaga solat. Standard itu perlu bermula dari diri sendiri.
Akhirnya, lelaki yang baik dinilai bukan pada apa yang dimiliki, tetapi pada kesungguhannya menjaga hubungan dengan Tuhan dan amanah yang dipikul dalam kehidupan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!