Hiburan

“Dia Dah Baligh, Saya Mohon Doa…” Dahlia Buka Tudung, Nora Anggap Ujian Seorang Ibu

Share

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Nora Ariffin baru-baru ini tampil memberikan kenyataan berhubung isu anak perempuannya, Dahlia yang menerima kecaman selepas dilihat tidak lagi mengenakan hijab. Nora menjelaskan, beliau sudah menasihati anaknya itu dan menganggap perkara ini sebagai satu ujian buat dirinya sebagai seorang ibu.

Menurut Nora atau pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin (52) berkata, sebagai seorang ibu beliau lebih memilih untuk berlapang dada dan memohon doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Kami memang kurang baca komen, kalau baca pun sikit-sikit saja. Apa-apa pun sebagai seorang ibu, semua orang ada anak dan akan diuji. Saya mohon doa dan minta yang baik-baik. Sebagai ibu saya selalu berkomunikasi dan nasihat dengan cara baik,” katanya.

“Bagi saya benda ini sekejap saja, orang muda kan,” jelasnya lagi.

Menurut pelantun lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ dan ‘Sandiwara’ itu, Dahlia atau nama penuhnya Putri Nor Dahlia yang kini berusia 21 tahun sudah matang dan mampu membuat keputusan sendiri. Namun, beliau yakin suatu hari nanti anaknya akan kembali sedar dan memilih jalan yang benar.

“Dia dah baligh, tahu apa yang baik atau tak. Kita cuma nasihat dan keputusan semua pada dia. Tapi saya yakin sebagai anak yang ada ilmu agama, satu masa nanti dia akan nampak sendiri jalan,” ujarnya.

Tambah Nora, hubungannya dengan puterinya itu masih kekal baik dan tiada sebarang masalah timbul di antara mereka meskipun anaknya kini tampil dengan penampilan berbeza.

“Kami baik-baik sahaja, alhamdulillah selalu berhubung dan semuanya okey. Kita faham situasi dan dia pun tiada masalah sangat,” jelasnya.

Terdahulu, Dahlia mencuri perhatian apabila hadir ke Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan imej tanpa hijab, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Penampilan baharunya itu menandakan perubahan besar selepas lebih 15 tahun berhijab.

Pada masa yang sama, Dahlia turut menjelaskan tindakannya membuka tudung adalah sebahagian daripada perjalanan barunya untuk lebih memahami agama serta keputusan tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarganya, termasuk ibu serta abangnya.

Sekadar info, Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada tahun 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Allahyarham Johan Nawawi, dilaporkan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE