Berita

Di Sebalik Senyuman Badut, Tersimpan Pengorbanan Seorang Ayah Demi Anak

Share

Di sebalik wajah ceria seorang badut yang sering menghiburkan orang ramai, tersimpan kisah pengorbanan seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi masa depan anaknya.

Kisah itu dikongsikan oleh Azizat Zainal, seorang bapa kepada tokoh murid yang kini berusaha mengumpul dana sebanyak RM2,000 bagi menampung kos kemasukan anaknya ke asrama Tingkatan Satu.

Menerusi perkongsian di laman Threads, Azizat memaklumkan anaknya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah Sekolah Agama di bawah Kerajaan Negeri Perak, satu pencapaian membanggakan hasil kecemerlangan akademik yang ditunjukkan sejak sekian lama.

“Saya tengah nak kumpul duit nak hantar anak dapat masuk asrama Tingkatan Satu, belanja dalam RM2,000 juga,” ujarnya.

Bekerja sepenuh masa sebagai badut, Azizat mengakui sumber pendapatannya tidak menentu selain turut berdepan pelbagai masalah kesihatan yang menguji ketahanan fizikal dan emosinya kebelakangan ini.

Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa untuk terus berusaha mencari nafkah selagi berdaya.

“Saya bekerja sebagai clown sepenuh masa dan sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan, bulan ni pula saya banyak diuji dengan masalah kesihatan.

“Tapi macam mana sakit pun, hidup kena diteruskan, tanggungjawab kena dilunaskan,” luahnya.

Menurut Azizat, kos RM2,000 tersebut melibatkan perbelanjaan asas seperti pakaian sekolah, kelengkapan asrama dan keperluan harian anaknya.

Walaupun jumlah itu mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak, ia merupakan satu beban besar buat dirinya yang bergantung sepenuhnya kepada jemputan acara dan majlis hari jadi.

Dalam hantaran berasingan, Azizat turut meluahkan bahawa dirinya tidak memilih pekerjaan dan sanggup melakukan apa sahaja kerja halal demi memastikan anaknya dapat melangkah ke alam persekolahan berasrama.

“Nak pintal belon setiap hari sampai tangan bengkak pun takpa, asalkan saya dapat hantar anak saya,” katanya.

“Kadang aku selalu terfikirkan adakah aku bapa yang gagal, anak aku cemerlang tiap tahun, siap dapat tokoh murid tapi aku tak mampu nak hadiahkan dia apa-apa,” kongsinya lagi.

Walaupun ramai yang tampil menawarkan bantuan kewangan, Azizat dengan rendah hati menolak sumbangan berbentuk derma.

Katanya, selagi masih berdaya, dia memilih untuk bekerja dan berdikari tanpa menagih simpati.

“Maaf saya akan tolak jika ada nak derma atau sedekah, saya bukan sombong, tapi saya rasa saya masih ada kudrat untuk bekerja jauh sekali nak menagih simpati,” jelasnya.

Selain menjadi badut, Azizat turut terbuka menerima pelbagai peluang pekerjaan lain seperti pengacara majlis, persembahan magik, copywriting dan kerja seni lukis, asalkan ia halal dan mampu menambah pendapatan keluarganya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Thread 

Published by
Fath