
Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, bas tersebut telah melanggar belakang sebuah treler hingga menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke dalam longkang berhampiran.
Keseluruhan 28 penumpang dalam bas ekspres itu, termasuk 13 pelajar UMPSA, bagaimanapun dilaporkan selamat dan telah dipindahkan ke sebuah bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Terminal Sentral Kuantan.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, turut mengesahkan insiden berkenaan.
“Pihak kami menerima laporan bahawa 13 pelajar UMPSA menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam menuju hentian bas UMPSA Gambang.
“Mereka terbabit dalam kemalangan pada kira-kira jam 1 pagi di Maran,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pihak universiti bersyukur kerana kesemua pelajar selamat dan telah tiba di kampus sekitar jam 4 pagi.
“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) memberikan bantuan segera kepada 13 pelajar terbabit yang tiba di Masjid UMPSA Gambang termasuk makanan, sokongan emosi serta tempat kediaman sementara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai memaklumkan siasatan awal mendapati bas tersebut melanggar belakang treler ketika kedua-dua kenderaan sedang menuju ke arah Kuantan.
“Kejadian berlaku ketika bas bergerak di lorong kiri dan pemandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh treler di depannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan, dan kesemua penumpang telah dipindahkan ke bas gantian.
Tambah Kim Wai, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah kerana pemandu bas gagal mengekalkan jarak selamat, dan kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online