Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20.
Suasana penuh hiba menyelubungi kunjungan tersebut, khususnya apabila negarawan berusia 101 tahun itu dilihat berada di sisi pusara insan yang telah menjadi teman hidupnya selama lebih tujuh dekad.

Tiba Dari Institut Jantung Negara
Menerusi video siaran langsung Sinar Harian, kenderaan yang membawa Dr Mahathir dilihat tiba di lokasi sekitar jam 11 pagi dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Beliau kemudiannya menuju ke pusara Allahyarham dengan ditemani ahli keluarga.
Dalam pada itu, orang ramai turut hadir untuk menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir buat tokoh wanita berkenaan.
Kelibat Dr Mahathir yang berdiri di sisi pusara Allahyarham nyata mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia.
Wajahnya kelihatan tenang, namun jelas sarat dengan kesedihan ketika negara masih meratapi pemergian Dr Siti Hasmah pada Isnin lalu pada usia 100 tahun.

Disemadikan Dengan Penghormatan Negara
Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di IJN dan kemudiannya diberikan penghormatan pengebumian bertaraf Pembesar Negara.
Penghormatan tersebut diberikan sebagai mengenang jasa serta sumbangan besar beliau kepada negara sepanjang lebih separuh abad.
Pemergian Allahyarham turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia yang selama ini mengenali beliau sebagai seorang tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Lebih 70 Tahun Melayari Bahtera Bersama
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, hubungan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bukan sekadar kisah pasangan suami isteri.
Sebaliknya, perjalanan mereka selama lebih 70 tahun sering dilihat sebagai lambang kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan yang merentasi zaman.
Sepanjang tempoh tersebut, Dr Siti Hasmah bukan sahaja menjadi pendamping setia kepada Dr Mahathir, malah turut menjadi sumber kekuatan ketika beliau mengharungi pelbagai cabaran dalam kehidupan serta kerjaya politiknya.
Anda mungkin berminat dengan
Kini, selepas kehilangan insan yang menemaninya selama lebih tujuh dekad, kunjungan Dr Mahathir ke pusara Allahyarham sekali lagi menyentuh hati ramai.
Menerusi pelbagai hantaran dan reaksi di media sosial, ramai rakyat Malaysia turut menitipkan doa agar Dr Mahathir terus diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Awani
∞
Atlet muda dari negeri Che Siti Wan Kembang, Ahmad Shahmim Mohd Kadri berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali sebelum mengesahkan dua pingat emas kategori 54kg lelaki di Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024.
Menerusi laporan media tempatan, atlet para yang baru berusia 22 tahun itu melakukan angkatan 122 kilogram (kg) pada percubaan pertama, diikuti 125kg pada angkatan kedua yang menyamai rekod kebangsaan sebelum mengatasi rekod yang dilakukannya di Sirkit Kebangsaan pada Februari lepas dengan 128kg.
Shahmim kemudian mengangkat 132kg pada percubaan tambahan untuk memperbaiki rekod kebangsaannya sekali lagi sekali gus melebur rekod temasya Para SUKMA milik Endi Bak (108kg) dari Sarawak pada edisi 2018 di Perak, untuk pingat emas angkatan terbaik.

Kejayaan peserta dari Pasir Puteh itu diteruskan apabila meraih emas kedua bagi jumlah angkatan dengan melakukan keseluruhan 375kg.
“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya dapat buat angkatan 130kg ke atas di kejohanan. Saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada ibu bapa, keluarga dan semud yang membantu.
“Saya memang lahir dengan kondisi kaki bengkok. Saya sudah setahun masuk dalam program skuad kebangsaan, harap dapat terus meningkatkan prestasi untuk capai kejayaan di Sukan Pard ASEAN di Thailand nanti,” katanya.

Ahmad Shahmim sekali gus, meraih emas bagi angkatan terbaik dengan memecahkan rekod temasya menerusi bebanan 191kg, yang hanya sekilogram mengatasi rekod atlet Pahang Mohd Shahmil Mond Saad (190kg) pada edisi 2014, selain emas bagi jumlah angkatan dengan catatan 558kg.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: IG Fattah Amin
∞
Pemergian seorang figura penting dalam dunia kewartawanan negara pastinya meninggalkan kesan mendalam buat ramai.
Wartawan alam sekitar terkenal, Datuk Karam Singh Walia dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini, menurut Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima.

Beliau sebelum ini dilaporkan berdepan keadaan kesihatan yang membimbangkan selepas menghidap penyakit hati serta masalah buah pinggang.
Untuk rekod, Karam Singh Walia merupakan antara wartawan penyiaran yang cukup dikenali di Malaysia. Namanya mula meniti di bibir penonton menerusi perkhidmatannya di stesen televisyen swasta, TV3 dari tahun 1990 hingga 2014.

Sepanjang kariernya, laporan beliau sering disiarkan menerusi rancangan berita utama, Buletin Utama. Selain itu, beliau juga pernah membuat penampilan khas sebagai watak tuan rumah dalam rancangan Kecoh Betul.
Dikenali dengan gaya penyampaian tersendiri, Karam sering menyelitkan pantun dan kiasan dalam setiap laporan berita yang disampaikan, sekali gus menjadikan beliau antara wartawan yang cukup diingati ramai.

Sepanjang lebih dua dekad bersama Media Prima, beliau telah menabur bakti selama kira-kira 20 tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2014 atas faktor kesihatan.
Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat industri penyiaran tanah air. Jasamu dikenang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kisah menyayat hati melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina terus mendapat perhatian ramai. Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wujudnya elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Menurut beliau, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ketiga-tiga elemen berkenaan telah dikenal pasti dan kini disiasat secara menyeluruh. Tegasnya lagi, isu sebegini tidak boleh sesekali ditutup atau dipandang ringan kerana sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak menimba ilmu.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Kes ini kini diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan hala tuju seterusnya, termasuk kemungkinan pendakwaan ke atas pihak-pihak terlibat.
Punca Kematian Menyayat Hati
Sekadar makluman, punca kematian Allahyarhamah Zara Qairina adalah akibat kecederaan otak yang berlaku kerana kekurangan oksigen serta aliran darah ke otak. Arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Renungan Buat Ibu Bapa
Tragedi ini wajar menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibu bapa. Anak-anak yang bersekolah, khususnya di asrama, berhadapan pelbagai cabaran emosi dan sosial. Isu buli, pengabaian dan gangguan seksual bukanlah perkara kecil – ia boleh memberi kesan trauma seumur hidup, malah mengundang tragedi seperti yang menimpa arwah Zara Qairina.
Kita perlu:
-
Peka dengan perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jika anak kelihatan murung, takut ke sekolah atau menyendiri, ia mungkin tanda ada masalah yang disembunyikan.
-
Ajarkan anak berani bersuara. Anak-anak perlu tahu mereka boleh berkongsi rasa dengan ibu bapa atau guru tanpa takut dimarahi.
-
Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah. Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan guru penting untuk memantau keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.
Semoga kisah sedih ini membuka mata kita semua untuk lebih cakna dan proaktif dalam melindungi anak-anak. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zara Qairina. 🌸
Sumber Sinar Harian
∞