Berita

David Beckham Kini Bergelar Bilionair, Jadi Ahli Sukan Britain Pertama Capai Status Itu

Share

Nama Sir David Beckham sekali lagi mencipta sejarah, tetapi kali ini bukan di atas padang bola sepak. Bekas kapten England itu dilaporkan menjadi ahli sukan Britain pertama bergelar bilionair selepas nilai kekayaan beliau bersama isterinya, Victoria Beckham, melonjak kepada anggaran £1.185 bilion.

Menurut laporan Sunday Times Rich List, pasangan terkenal itu kini berada di kedudukan kedua dalam senarai individu terkaya dalam dunia sukan di United Kingdom. Kekayaan mereka meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya apabila nilai mereka dianggarkan sekitar £500 juta pada 2025.

Peningkatan besar ini dikaitkan dengan pelbagai pelaburan bijak pasangan tersebut dalam bidang bola sepak, makanan dan minuman, hartanah, fesyen serta beauty business.

David Beckham Bina Empayar Perniagaan Global

David Beckham bukan lagi sekadar legenda bola sepak dunia. Selepas bersara daripada sukan profesional, beliau berjaya membina empayar perniagaan kukuh melalui endorsement, pelaburan strategik dan penglibatan aktif dalam industri sukan moden.

Antara penyumbang terbesar kepada peningkatan kekayaan David Beckham ialah pemilikannya dalam kelab bola sepak Amerika Syarikat, Inter Miami CF. Kelab itu semakin mendapat perhatian dunia selepas berjaya menarik beberapa nama besar ke Major League Soccer.

Selain itu, jenama peribadi David Beckham masih mempunyai pengaruh besar dalam industri fesyen, gaya hidup dan komersial. Walaupun sudah lama meninggalkan bola sepak profesional, popularitinya masih kekal kukuh di peringkat global.

Victoria Beckham pula terus mengembangkan jenama fesyen dan kecantikannya sendiri. Walaupun perniagaannya pernah berdepan cabaran sebelum ini, jenama tersebut masih menjadi sebahagian penting dalam nilai keseluruhan empayar Beckham.

Antara Individu Sukan Terkaya Britain

Dalam senarai tersebut, David dan Victoria Beckham berada di kedudukan kedua selepas tokoh Formula 1, Bernie Ecclestone dan keluarganya, yang dianggarkan memiliki kekayaan sekitar £2 bilion.

Pasangan Beckham turut mengatasi beberapa nama besar lain dalam dunia sukan termasuk Barry Hearn dan Eddie Hearn, pengasas Gymshark Ben Francis serta juara Formula 1, Sir Lewis Hamilton.

Pencapaian David Beckham ini membuktikan bahawa legasi seorang atlet tidak semestinya berakhir selepas bersara. Daripada pemain bola sepak berbakat kepada ikon global bernilai lebih £1 bilion, Beckham kini menjadi simbol kejayaan dalam dunia sukan dan perniagaan moden.

Sumber : FBC News

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy