
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan meraih perhatian selepas mencatat satu lagi kejayaan peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis konvokesyen tersebut berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, Kedah, pada semalam.
Beliau yang kini berusia 59 tahun merupakan antara 879 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua majlis tersebut. Penyampaian ijazah itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Datuk Seri Dr. Ahmad menzahirkan rasa syukur atas kejayaan menamatkan pengajian selepas empat tahun penuh cabaran. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, termasuk isterinya, para pensyarah, penyelia dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.
“Hari ini hari konvokesyen yang merupakan hari bersejarah kepada saya dan keluarga. Semoga ini sedikit sebanyak boleh dijadikan teladan bahawa mencari ilmu adalah satu usaha sepanjang hayat. Pendidikan adalah usaha sepanjang hayat dan mudah-mudahan ia menjadi inspirasi kepada ramai pihak,” katanya sambil menzahirkan kecintaannya terhadap universiti tempat beliau menimba ilmu itu.
Dalam pada itu, beliau sempat berkongsi mengenai cabaran sepanjang pengajian PhD Komunikasi di UUM. Menurutnya, tempoh pandemik COVID-19 menjadi antara ujian terbesar apabila beliau perlu menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian sambil menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Cabaran saya semasa COVID-19, saya kena kelas dalam talian. Masa saya balik kawasan kadang-kadang kena berhenti di R&R untuk mengikuti kuliah, selepas itu ada peperiksaan dua subjek utama iaitu Research Methodology dan Academic Writing,” jelasnya.
“Alhamdulillah, kedua-dua subjek ini saya dapat A+. Tentulah ada proses-proses lain seperti membentang kertas seminar antarabangsa, menulis, proposal defense, Quantitative Analysis, menulis tesis dan bertemu penyelia,” ujarnya.
BACA: Inspirasi Luar Biasa! Datuk Dr. Victor Isaacs Raih PhD Undang-Undang Pada Usia 85 Tahun
BACA: Muhammad Khairi Adib Azhar Pamer Aksi Cemerlang, Raih Emas Di Islamic Solidarity Games 2025
Penyelidikan beliau bagi pengajian peringkat PhD Komunikasi itu memfokuskan kepada komunikasi kerajaan yang berkait rapat dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) — satu topik yang relevan dengan pengalaman beliau dalam bidang pentadbiran dan kewangan.
Datuk Seri Dr. Ahmad turut menzahirkan harapan agar kejayaannya memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira usia atau latar belakang, serta menjadikan pendidikan sebagai satu usaha berterusan sepanjang hayat.
“Ilmu tak pernah mengenal usia. Saya harap lebih ramai akan menjadikan pembelajaran sebagai satu gaya hidup. Inilah mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui kejayaan menamatkan PhD Komunikasi ini,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.