
Terbaru, seniman tersohor tanah air, Datuk Eman Manan mencuri perhatian selepas menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk, sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Memetik laporan Astro Awani, Datuk Eman Manan atau nama sebenarnya Abdul Manan Bin Embong (68) merupakan antara penerima darjah kebesaran negeri yang diraikan menerusi Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, Chendering, Terengganu.
Pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta sumbangan aktor kelahiran Kuala Terengganu itu dalam industri seni, khususnya bidang lakonan.
Memulakan langkah sebagai anak seni menerusi filem ‘Matinya Seorang Patriot’ arahan Datuk Rahim Razali pada usia 26 tahun, Datuk Eman kemudiannya membina nama sebagai antara pelakon paling disegani menerusi pelbagai karya filem, drama televisyen, teater dan iklan.
Lebih empat dekad berada dalam industri, bakat serta penghayatan Datuk Eman terhadap watak yang dibawakan turut membuahkan pengiktirafan apabila beliau tiga kali dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM), masing-masing menerusi Matinya Seorang Patriot pada 1984, Bintang Malam (1991) dan Buai Laju-Laju (2004).
Keupayaannya menghidupkan karakter menerusi pelbagai genre, termasuk karya berunsurkan kepahlawanan dan persilatan Melayu, menjadikan diri beliau antara figura penting yang mewarnai perkembangan industri perfileman tempatan dan terus dihormati dalam kalangan penggiat seni.
Dalam pada itu, pengiktirafan DPMT yang diterimanya dilihat sebagai satu lagi pencapaian bermakna buat Eman selepas sekian lama mencurahkan bakti dalam dunia lakonan, selain menjadi penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam memperkayakan landskap seni tanah air.
Tidak berhenti di situ, Datuk Eman masih aktif meneruskan perjalanan seninya apabila bakal muncul menerusi filem aksi ‘Takluk 2: Op Daulat’ yang dijadualkan menemui penonton pada November depan, selain terlibat dalam karya arahan Erma Fatima yang berjudul ‘Langit 2 Warna’.
BACA: Fan Bingbing Terima Gelaran Datuk, Mahu Melaka Terus Bersinar Di Mata Dunia
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.