
Baru-baru ini, jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly berjaya mengharumkan nama negara selepas berjaya menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen Malaysia menerusi acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026. Lebih manis lagi, kejayaan itu juga melengkapkan sasaran lima pingat emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya berprestij tersebut.
Difahamkan, atlet berusia 29 tahun itu tampil cemerlang dengan melakukan lompatan sejauh 7.17 meter (m) pada percubaan ketiga biarpun terpaksa beraksi dalam keadaan hujan lebat dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun, Glasgow. Keputusan itu sudah memadai untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya, mengatasi atlet Kanada, Noah Vucsics yang meraih perak menerusi lompatan 6.66m, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Eljoe Gotuoh melengkapkan podium dengan gangsa selepas mencatat 6.51m.
Sebelum pertandingan bermula, Abdul Latif memasang impian untuk memperbaharui rekod dunia miliknya sejauh 7.67m yang dicipta di New Delhi, India tahun lalu. Namun, keadaan cuaca yang tidak menentu memaksa beliau mengubah strategi dengan memberi fokus sepenuhnya kepada misi membawa pulang pingat emas buat negara.
Mengulas mengenai cabaran tersebut, Abdul Latif mengakui keadaan hujan serta suhu yang rendah menyukarkan pergerakannya sehingga memberi kesan kepada prestasi ketika melakukan larian untuk membuat lompatan.
“Memang betul saya mahu memecahkan rekod dunia, tetapi dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan hujan, agak sukar untuk melakukannya. Kalau cuaca terlalu sejuk memang susah,” katanya.
Walaupun catatan 7.17m masih belum dapat menandingi rekod dunia serta rekod peribadinya, kejayaan itu tetap cukup bermakna apabila menyempurnakan sasaran lima pingat emas kontinjen Malaysia di Glasgow 2026. Lebih istimewa, acara lompat jauh T20 lelaki turut dipertandingkan buat julung kalinya dalam sejarah Sukan Komanwel.
Pada masa yang sama, Abdul Latif mengakui beliau tidak menyangka menjadi atlet yang melengkapkan sasaran emas negara, apatah lagi diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.
“Saya pun tak jangka dapat menyumbang pingat emas kelima untuk Malaysia. Ini rezeki saya,” jelasnya sambil menambah kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila disaksikan sendiri oleh isteri dan ahli keluarganya yang hadir memberikan sokongan di Stadium Scotstoun.
Untuk rekod, Malaysia telah mengumpul empat pingat emas menerusi acara angkat berat hasil kejayaan Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), sekali gus menjadikan kemenangan Abdul Latif sebagai pelengkap kepada pencapaian cemerlang kontinjen negara di Glasgow 2026.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.