
Sebelum ini, tindakan Dato’ Fazley Yaakob mengurut dan memegang kepala Datuk Seri Vida mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen, malah ada yang tertanya-tanya sama ada pasangan itu sebenarnya sudah bernikah atau belum.
Persoalan mengenai Dato’ Fazley Yaakob dan DSV tersebut timbul selepas satu rakaman video yang memaparkan Fazley bersama DSV dan anak usahawan berkenaan, Cik B, tersebar di media sosial.
Meskipun tindakan tersebut boleh dilihat sebagai tanda keprihatinan Fazley terhadap keadaan DSV ketika itu, aksi berkenaan tetap mencuri perhatian sehingga ada netizen mula mempersoalkan status sebenar hubungan mereka.
Lebih-lebih lagi, kemesraan Fazley dan DSV sejak kebelakangan ini sememangnya sering menjadi perhatian pengikut di media sosial.
Susulan video tersebut menjadi bualan, Dato’ Fazley Yaakob akhirnya tampil bersuara dengan memohon maaf berhubung paparan yang disifatkannya sebagai kurang sesuai untuk tatapan umum.
Menerusi perkongsian di Threads, Fazley terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan DSV selain memaklumkan usahawan berkenaan kini sudah pulih dan berada dalam keadaan baik.
“Terima kasih yang mendoakan DSV, Alhamdulillah dia dah pulih dan baik-baik saja.
“Tentang paparan yang kurang sesuai untuk tatapan umum tu, mohon maaf bagi pihak team content kami. Tidak ada niat untuk menyinggung mana-mana pihak atau timbulkan spekulasi distruktif.
“Keterujaan team untuk berkongsi moment-moment tertentu akan diperhalusi untuk masa-masa akan datang,” tulisnya.
Mengakui perkongsian kandungan tertentu perlu diperhalusi selepas ini, Fazley turut memberi jaminan akan berusaha memastikan apa yang dipaparkan kepada umum lebih mencerminkan contoh yang baik.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah apabila Dato’ Fazley Yaakob sendiri menggunakan gelaran ‘bakal Imam DSV’ ketika memberikan penjelasan tersebut.
“Saya sebagai ‘bakal Imam DSV’ 👉👈, akan usahakan agar ianya lebih mencerminkan contoh yang baik. Terima kasih semua! Doakan kami!”
Ungkapan itu pastinya mengundang perhatian memandangkan sebelum ini ada netizen yang sudah mula tertanya-tanya mengenai status hubungan mereka selepas melihat kemesraan yang dipaparkan.
Walaupun Dato’ Fazley Yaakob tidak mengulas panjang mengenai persoalan netizen sama ada mereka sudah bernikah atau sebaliknya menerusi hantaran tersebut, penggunaan istilah ‘bakal Imam DSV’ memberi gambaran bahawa hubungan mereka mungkin sedang menuju ke fasa yang lebih serius.
Apa yang pasti, Fazley mengambil maklum teguran yang diberikan susulan video tersebut dan tidak menafikan terdapat paparan yang kurang sesuai untuk dikongsikan kepada umum.
Sumber : Threads Dato’ Fazley Yaakob
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.