
Dato’ Aliff Syukri dedah kos cat rumah yang mencecah RM250,000 selepas hampir 10 tahun tidak melakukan pengecatan penuh kediamannya. Perkongsian ini mengejutkan ramai dan membuka mata tentang realiti sebenar kos maintenance rumah besar yang jarang dibincangkan secara terbuka.
Siapa sangka, rumah besar pun ada “drama” maintenance dia sendiri. Baru-baru ini, Dato’ Aliff Syukri berkongsi kisah tentang rumahnya yang hampir sedekad didiami, namun inilah kali pertama ia akan dicat semula secara keseluruhan sejak diduduki.
Menurut beliau, sebelum ini kerja-kerja mengecat hanya dibuat sendiri dan sekadar di bahagian bawah serta depan rumah sahaja. Ia dilakukan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
Bukan tidak mahu cat sepenuhnya, tetapi apabila mengetahui kos sebenar untuk melakukan kerja cat secara spray bagi keseluruhan bangunan boleh mencecah hampir RM250,000, ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat. Jumlah itu sendiri sudah cukup untuk membuat sesiapa sahaja berfikir panjang.


Akui usahawan kosmetik terkenal itu, pada awalnya beliau sendiri hampir tidak percaya dengan angka yang diberikan oleh kontraktor.
Disebabkan itu, selama bertahun-tahun beliau memilih untuk menangguhkan kerja tersebut dan hanya melakukan mana yang perlu sahaja.
Namun tahun ini, dengan rezeki yang lebih baik dan perancangan kewangan yang lebih tersusun, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk mengupah kontraktor bagi mengecat keseluruhan rumah buat pertama kali selepas 10 tahun.
Mahal Rupanya Maintenance Mahligai Impian
Perkongsian apabila Dato’ Aliff Syukri dedah hal ini sebenarnya memberi satu gambaran jelas tentang kos penyelenggaraan kediaman bersaiz besar. Ramai mungkin hanya melihat keindahan dan kemewahan dari luar, tetapi tidak mengetahui komitmen kewangan yang perlu ditanggung setiap tahun.
Menurut beliau, antara perkara yang ramai terlepas pandang sebelum membeli rumah besar ialah kos maintenance tahunan.
Dahulu, impian beliau hanyalah untuk memiliki rumah besar seperti mahligai. Namun selepas memilikinya, barulah beliau benar-benar memahami tanggungjawab yang datang bersama aset tersebut.
“Besar periuk, besarlah kawahnya,” itulah refleksi yang dikongsikan. Ia bukan rungutan, tetapi satu pengajaran yang sangat bermakna khususnya kepada golongan muda dan usahawan yang sedang membina kejayaan.

Kos Penyelenggaraan Bukan Sekadar Cat
Hakikatnya, kos penjagaan rumah besar bukan hanya melibatkan kerja mengecat semula. Ia termasuk baik pulih struktur, penyelenggaraan sistem elektrik dan paip, penjagaan landskap, pembersihan berkala, serta kos keselamatan.
Kisah ini juga menjadi peringatan penting bahawa memiliki hartanah mewah bukan hanya soal kemampuan membeli, tetapi kemampuan mengekalkannya. Kos penyelenggaraan tahunan perlu dimasukkan dalam bajet jangka panjang.
Walau berdepan kos yang tinggi, beliau tetap bersyukur kerana diberikan rezeki untuk menampung segala perbelanjaan tersebut. Bagi beliau, setiap aset yang dimiliki datang bersama tanggungjawab yang perlu diurus dengan bijak.
Sumber : Instagram aliffsyukriterlajaklaris
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












