Berita

Dari Pedalaman ke Pentas Dunia, Tiga Murid Orang Asli Rangkul Emas Dunia Robotik. Tahniah!

Share

Siapa sangka, dari sebuah sekolah rendah di Kluang, Johor, lahir tiga anak Orang Asli yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Tiga murid dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh ini mencipta sejarah apabila merangkul pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

Kejayaan membanggakan itu dicapai menerusi ciptaan sebuah robot rover yang direka khas untuk mengkaji permukaan planet Marikh. Lebih membanggakan, inovasi mereka berjaya menewaskan pasukan dari 15 buah negara lain dalam pertandingan berprestij tersebut, ia satu pencapaian luar biasa bagi murid sekolah rendah.

Guru pengiring pasukan, Muhammad Fakhri Che Lah menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka, namun berpaksikan persediaan rapi yang dilakukan sepanjang tahun.

“Persediaan dibuat melalui latihan berterusan di sekolah, dengan murid-murid membangunkan pelbagai reka bentuk robot berdasarkan tema angkasa, sebelum memilih reka bentuk paling sesuai semasa pertandingan,” katanya kepada pemberita.

Bagi salah seorang ahli pasukan, Vyonnie Jezzy James Marcel, 12, kejayaan bergelar juara benar-benar di luar jangkaan. Menurutnya, tugasan pertandingan menuntut tahap fokus, kepantasan dan ketepatan yang tinggi.


“Ada susah, ada senang. Masa yang diberi empat jam, tetapi dalam tiga jam setengah kami dapat siapkan robot tu. Kami menggunakan dua sensor iaitu high screen line dan juga ultrasonic,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pembelajaran dan Pusat Satelit Petrosains, Norhana Hamim berkata, kejayaan bersejarah ini membuktikan keberkesanan pendekatan inklusif Petrosains Tech4All dalam memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan komuniti terpinggir.

“Apa yang kita saksikan hari ini ialah kejayaan yang sangat-sangat bermakna…ini menunjukkan keberkesanan program ini apabila anak-anak ini diberikan platform yang betul, program yang bertepatan dengan latar belakang mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini sekali gus menolak stigma lama bahawa murid Orang Asli tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia ke IRO 2025 membabitkan 15 murid Orang Asli daripada lima sekolah rendah. Selain pingat emas, pasukan negara turut membawa pulang satu pingat gangsa serta tiga Anugerah Teknikal hasil kerjasama strategik antara Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO).

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Bernama

Published by
Fath