Dari Kampung Ke UK: Remaja Orang Asli Ini Buktikan Kejayaan Milik Semua

Share

Di sebalik kehidupan sederhana di Kampung Patah Pisau, Rompin, Pahang, tersimpan kisah luar biasa tentang seorang remaja wanita yang membuktikan bahawa kejayaan bukan hak eksklusif sesiapa.

Roziana Tan Beng Hai, 20 tahun, mencatat sejarah tersendiri apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ditawarkan tempat ke salah satu universiti terbaik dunia, University of Manchester, United Kingdom.

Dibesarkan Oleh Ibu Tunggal

Roziana ialah anak bongsu kepada Puan Rohani Wambuan, 56, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penoreh getah sebelum beralih ke pekerjaan di ladang kelapa sawit. Dengan pendapatan yang cukup-cukup makan, Puan Rohani membesarkan dua anak dengan penuh kasih sayang dan semangat.

“Saya perlu bagi ibu sesuatu supaya boleh ingat yang dia besarkan saya tidak sia-sia,” ujar Roziana, yang nyata terinspirasi oleh pengorbanan ibunya.

Bagi Roziana, keputusan cemerlang ini adalah hadiah untuk ibu yang tidak pernah mengeluh walau diuji dengan kesusahan.

TikTok Sebagai Titik Permulaan

Menariknya, impian ke luar negara bermula apabila Roziana menemui video TikTok yang berkongsi tentang peluang melanjutkan pelajaran ke UK melalui sistem UCAS (Universities and Colleges Admissions Service). Dari situ, beliau mencuba nasib dan hasilnya, dua tawaran diperolehi satu dalam Ekonomi dan Pengajian Sosial, satu lagi dalam Perhubungan Antarabangsa.

Beliau akhirnya memilih bidang ekonomi kerana merasakan ia lebih dekat dengan minat dan potensinya untuk menyumbang semula kepada komuniti kelak.

“Sekarang saya sedang menunggu keputusan permohonan biasiswa dan akan menduduki ujian IELTS dalam masa terdekat,” tambahnya.

Gambar oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) JAKOA.

Tidak Malu, Tidak Takut — Itu Kunci

Sebagai remaja Orang Asli, Roziana sedar masih ramai dalam kalangannya yang kurang yakin untuk bersaing di peringkat nasional atau antarabangsa. Justeru, beliau menyeru agar anak muda dari komuniti Orang Asli bangkit menunjukkan kemampuan diri.

“Jangan malu. Tunjukkan kebolehan kita. Kita pun boleh bersaing macam orang lain,” katanya penuh yakin.

Pengiktirafan Dari JAKOA

Kejayaan Roziana turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Dalam Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) anjuran JAKOA, beliau diraikan bersama 32 pelajar STPM lain dari komuniti Orang Asli yang mencatat keputusan cemerlang.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Mohd Zamri Mustajap, momentum kejayaan ini perlu dikekalkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar dan menurunkan kadar keciciran pendidikan.

“Maklumkan kejayaan ini kepada kawan-kawan dan penduduk kampung agar mereka terus belajar hingga berjaya,”

katanya.

Dari sebuah kampung kecil di Pahang ke pintu universiti antarabangsa di United Kingdom, Roziana ialah bukti hidup bahawa kejayaan memang milik semua, asalkan ada usaha dan impian.

Tahniah Roziana! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat seluruh anak muda Malaysia, tidak kira dari mana mereka bermula.

BACA LAGI : Gadis Pedalaman Gigih Berperahu Ke Sekolah, Kini Boleh Berbangga Sebagai Peguam!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Published by
Nana