
Selepas mencetuskan fenomena menerusi watak Fakhri dalam siri Projek: High Council, pelakon Mierul Aiman kembali ke dunia yang sama menerusi siri dan filem prekuel Kudrat 1968.
Namun, kemunculannya kali ini dengan karakter berbeza sebagai Kuda mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat, terutama apabila pelakon sama membawa watak lain dalam ‘universe’ yang sama.
Mierul mengakui memahami sekiranya ada peminat yang berasa sedikit janggal dengan pendekatan tersebut, memandangkan ia bukan sesuatu yang begitu biasa digunakan dalam karya tempatan.
Menurut pelakon Hero Remaja 2021 itu, reaksi peminat berkenaan adalah sesuatu yang wajar dan turut dirasainya sendiri sebagai penonton.
“Apa yang dirasai peminat itu, sangat adil. Ia juga agak asing buat diri saya sebagai penonton di Malaysia ini. Bila ‘universe’, tajuk dan pelakon yang sama tapi wataknya berbeza.
“Namun, formula itu bukanlah jatuh kepada ‘tidak boleh’ dalam membikin naskhah ini. Di luar negara, formula-formula seperti ini sudah ada walaupun tidak banyak.
“Ia membuatkan saya yakin bahawa formula ini tidak akan memberikan kesan kepada karya-karya sebelum ini. Kita buat yang terbaik untuk hidupkan naskhah ini.
“Tugas para pemain tidak memberikan kesan kepada individu. Yang penting adalah jalan cerita,” katanya.
Mierul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon siri dan filem Kudrat 1968, baru-baru ini.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam Kudrat 1968, Mierul menyifatkan peluang tersebut sebagai satu perkara yang amat disyukuri.
Apatah lagi, dunia Projek: High Council mempunyai nilai tersendiri buat dirinya selepas siri berkenaan menjadi antara karya penting yang membantu mengangkat namanya dalam industri seni tempatan.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat sekali lagi menapakkan kaki di projek ini. Saya dapat kembali ke dalam dunia yang sangat saya cintai dan naskhah yang menghidupkan nama saya di dalam industri ini.
“Projek ini penuh dengan keseronokan dan ketegangan dalam merancang setiap percaturan gerak saya untuk membawakan watak Kuda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mierul turut menjelaskan bahawa watak Fakhri dan Kuda mempunyai karakter serta pendekatan yang jauh berbeza.
Menurutnya, perbezaan tersebut dapat dilihat menerusi aspek emosi, pembawaan karakter dan cara kedua-dua watak mengawal diri.
“Saya percaya setiap penulisan itu diciptakan berbeza-beza. Asas cerita itu sendiri yang membezakan dengan naskhah-naskhah terdahulu.
“Kita ada karakter, kostum, tone dan rasa yang berbeza. Perbezaan ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa lainnya karya ini. Saya percaya Kudrat 1968 mampu berdiri dengan sendirinya.
“Perbezaan paling ketara antara Fakhri dan Kuda adalah dari segi lantai rasa. Fakhri yang baran dan penuh emosi. Kuda pula seorang yang sentiasa berada dalam kawalan,” kongsinya.
Tidak hanya tertarik dengan jalan cerita dan watak yang dibawakan, Mierul turut berkongsi keterujaannya apabila dapat bekerjasama dengan barisan pelakon baharu.
Katanya, tenaga, visi dan perspektif segar yang dibawa rakan-rakan pelakon sepanjang penggambaran memberikan pengalaman berbeza buat dirinya.
“Pengalaman berlakon di dalam naskhah ini sangat menarik. Lebih-lebih lagi apabila dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon baharu yang sangat segar dan punyai tenaga yang sangat kuat.
“Mereka punyai visi dan misi yang sangat segar. Itu yang membuatkan saya tertarik untuk terlibat di dalam karya ini. Kami berada di frekuensi yang sama,” akhirinya.
Selain Mierul, Kudrat 1968 turut menampilkan barisan pelakon seperti Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Chech Harith dan Evertts Gomez.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.