
Jaguh olahraga negara, Danish Iftikhar Roslee sekali lagi mencuri perhatian selepas berjaya memecahkan rekod temasya dalam acara 200 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada Selasa.
Difahamkan, atlet yang kini berusia 19 tahun itu, mencatat masa 20.85 saat (s) dalam aksi final sekaligus memadam rekod SUKMA 21.01s yang dilakukan pelari Selangor, Muhammad Aqil Yasmin pada edisi 2018 di Perak.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan hatrik emas buat wakil Johor itu selepas sebelum ini mengungguli acara 100m dan 4x100m, mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pelari pecut utama negara.
Danish yang juga pemegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s, mengakui berasa gembira apabila berjaya memperbaharui rekod temasya yang berusia lapan tahun itu, selain menyifatkan pencapaiannya pada SUKMA kali ini sebagai sesuatu yang cukup bermakna.
“Selepas semua perlumbaan dari hari pertama SUKMA sehingga hari ini, Alhamdulillah, hanya itu yang mampu saya katakan kerana berjaya mengharungi semua acara, iaitu 100m, 4x100m dan 200m,” katanya.
Lebih menarik, Danish percaya masih terdapat ruang untuk memperbaiki catatan terbaik peribadinya yang juga merupakan rekod kebangsaan, sekaligus membuka peluang untuk beliau mencipta masa lebih pantas pada kejohanan akan datang.
BACA: Danish Iftikhar Kekal Raja Pecut, Izzatul Musfirah Raih Emas SUKMA 2026! Tahniah!
“Saya percaya saya mampu memperbaiki catatan terbaik peribadi saya yang juga merupakan rekod kebangsaan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, acara 200m wanita menyaksikan wakil Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira muncul juara selepas merekodkan 24.42s, mengatasi Lim Mei Yin dari Selangor yang meraih perak dengan 24.86s, manakala gangsa menjadi milik seorang lagi wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda dengan catatan 25.39s. Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Izzatul Musfirah selepas sekadar meraih perak dalam acara 4x100m wanita sebelum ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.