
Baru-baru ini, nama bintang sensasi, Danielle sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila beliau dilaporkan telah membuat sumbangan amal dalam jumlah besar ketika sedang berdepan pertikaian undang-undang dengan bekas agensinya, ADOR.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) YANA (You Are Not Alone) telah memuat naik satu perkongsian di Instagram rasmi mereka bagi meraikan ulang tahun penubuhan yang keempat. Pada masa yang sama, hantaran tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada para penderma dan sukarelawan yang menyokong misi organisasi itu sejak penubuhannya.
“Meraikan ulang tahun keempat kami. Terima kasih kepada semua penderma dan sukarelawan yang telah berjalan seiring bersama kami. Sepanjang empat tahun ini, YANA mampu terus berada di sisi kanak-kanak yang memerlukan hasil daripada kepercayaan dan kemurahan hati anda” tulis YANA dalam kenyataan tersebut.
BACA: Kontrak Eksklusif Jadi Pertaruhan, ADOR Saman Danielle NewJeans 33.1 Bilion Won


Difahamkan, YANA merupakan sebuah NGO yang memberi sokongan kepada golongan kurang berkemampuan, termasuk kanak-kanak di bawah perlindungan serta golongan dewasa muda yang sedang membuat persediaan untuk hidup berdikari. Seiring dengan perkongsian tersebut, YANA turut mendedahkan senarai penderma yang menyumbang kepada organisasi berkenaan.
Menerusi senarai tersebut, nama Danielle nama sebenar Danielle June Marsh (21) tersenarai sebagai salah seorang penderma utama selepas beliau dilaporkan telah menyumbangkan sebanyak 302 juta Korea Won, bersamaan kira-kira RM830,000 berdasarkan kadar tukaran semasa. Sumbangan besar itu sekaligus mencetuskan perhatian dan perbincangan meluas dalam kalangan peminat serta warga media sosial.
Selain Danielle, pasangan selebriti Korea Selatan, pelakon Cha In Pyo dan pelakon Shin Ae Ra, turut tersenarai sebagai penderma apabila mereka menyumbangkan sebanyak 576.13 juta Korea Won, bersamaan kira-kira RM1.58 juta, sebagai pasangan.

Terdahulu, pada bulan lalu, agensi NewJeans iaitu ADOR telah memaklumkan penamatan kontrak eksklusif Danielle sebelum memfailkan saman terhadap penyanyi itu dengan tuntutan penalti serta ganti rugi berjumlah kira-kira 33.1 bilion Korea Won.
“Dalam kes Danielle, kami membuat penilaian bahawa adalah sukar untuk meneruskan kerjasama bersama beliau sebagai ahli NewJeans dan artis di bawah ADOR,” jelas ADOR dalam sebuah kenyataan rasmi.
Susulan itu, sumbangan Danielle kepada YANA terus menjadi topik perbincangan hangat, memandangkan ia berlaku ketika perhatian umum sedang tertumpu kepada pertikaian undang-undangnya dengan pihak agensi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














