
Disember cuma empat hari sekolah? Itulah persoalan yang mencuri perhatian ramai apabila susunan cuti sekolah 2026 mula diperkatakan secara meluas di media sosial. Takwim akademik yang dilihat lebih ‘ringan’ berbanding tahun-tahun sebelum ini membuatkan ramai guru, ibu bapa dan pelajar tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik perancangan cuti sekolah tahun hadapan.
Perbincangan mengenai perkara ini mula hangat selepas seorang guru dikenali sebagai @DhaniahZahari berkongsi satu paparan di aplikasi Threads yang memaparkan bilangan hari persekolahan mengikut bulan bagi tahun 2026. Paparan tersebut kemudiannya tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Antara perkara yang paling mencuri perhatian ialah beberapa bulan awal tahun yang dilaporkan hanya mempunyai sekitar 15 hari persekolahan, iaitu pada Januari, Februari dan Mac. Situasi ini berlaku disebabkan gabungan cuti penggal, cuti umum serta hujung minggu yang jatuh berdekatan antara satu sama lain.
Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan cuti sekolah 2026 kelihatan lebih panjang berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun secara rasmi jumlah hari persekolahan masih mematuhi keperluan minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lebih mengejutkan, bulan Disember pula disebut hanya mempunyai empat hari persekolahan sahaja. Ini menjadikan Disember antara bulan paling singkat dari segi sesi pembelajaran sepanjang tahun 2026.
Perkara ini berlaku kerana cuti akhir tahun yang bermula lebih awal serta susunan kalendar yang bertindih dengan hujung minggu dan cuti umum. Justeru, tidak hairanlah topik cuti sekolah 2026 menjadi antara perbualan paling hangat dalam kalangan komuniti pendidikan.
Berdasarkan paparan yang dikongsikan, April dan Oktober masing-masing mencatatkan 22 hari persekolahan, Julai pula 23 hari, manakala Ogos dan November mempunyai 19 hari persekolahan. Secara keseluruhan, jumlah hari persekolahan bagi tahun 2026 direkodkan sebanyak 202 hari.
Namun begitu, jumlah tersebut tidak termasuk cuti peristiwa yang lazimnya ditetapkan oleh pihak sekolah seperti hari sukan, sambutan khas, latihan kebakaran, kelas tambahan, program kecemerlangan akademik serta aktiviti kokurikulum lain.
Dalam kalangan guru, susunan ini disifatkan memberi sedikit ‘nafas lega’, terutamanya selepas beberapa tahun berdepan jadual akademik yang padat serta beban tugas yang tinggi. Tidak kurang juga yang menyifatkan tahun 2026 sebagai ‘tahun emas’ buat warga pendidik.
“Kebahagiaan cikgu-cikgu untuk tahun ini,” tulis guru berkenaan secara berseloroh di ruangan kapsyen perkongsiannya.
Namun, terdapat juga netizen yang mengingatkan bahawa bilangan hari persekolahan yang kelihatan sedikit tidak bermakna beban tugas guru turut berkurang.
“Sebenarnya yang tak ada dalam senarai tu lagi patut cikgu-cikgu takut. Segala hari anugerah, hari sukan, hari merdeka, restu ilmu, kelas tambahan, perkampungan ilmu, latihan dan macam-macam lagi,” komen seorang pengguna media sosial.
Bagi pelajar pula, terutamanya golongan remaja, perkembangan cuti sekolah 2026
ini disambut dengan penuh keterujaan. Ramai yang melihatnya sebagai peluang untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga serta mengurangkan tekanan selepas setahun melalui pelbagai peperiksaan dan aktiviti sekolah.Dalam masa sama, ibu bapa mula merancang aktiviti berfaedah sepanjang cuti supaya masa lapang anak-anak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, sama ada melalui penyertaan kem motivasi, kelas kemahiran, aktiviti keagamaan atau percutian keluarga.
Walaupun Disember 2026 hanya mempunyai empat hari persekolahan, susunan cuti sekolah 2026 yang lebih tersusun ini diharapkan dapat memberi keseimbangan antara pembelajaran, rehat dan kesejahteraan mental untuk semua pihak yang terlibat.
BACA LAGI : Bantuan Awal 2026: SARA, STR & RM100 One-Off Untuk Rakyat
Sumber: Kosmo, Threads @dhaniahzahari