
Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa khas pada 1 September 2026 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026.
Difahamkan, pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika Majlis Penutupan SUKMA XXII 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam, pada Isnin. Khabar itu sekaligus diraikan sebagai penghargaan kepada seluruh warga kontinjen dan pihak yang terlibat menjayakan temasya berkenaan.
“Atas prestasi yang luar biasa pada SUKMA 2026 dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan serta ibu bapa yang telah membantu, saya berbesar hati mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas pada 1 September 2026,” kata beliau dalam ucapan.
Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha bersama seluruh pasukan Selangor termasuk kira-kira 10,000 sukarelawan yang memainkan peranan sepanjang penganjuran temasya berkenaan.
“Saya tumpang gembira atas prestasi anda yang sungguh membanggakan dan kejayaan ini adalah sesuatu yang wajar diraikan bersama,” ujarnya lagi.
BACA: TSS Selangor U9 Harumkan Nama Malaysia, Julang Kejuaraan Antarabangsa Di China, Tahniah!
Untuk rekod, Selangor menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 245 pingat, merangkumi 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa. Pencapaian itu bukan sahaja melepasi sasaran awal 80 pingat emas, malah menandakan kejuaraan kali ke-10 buat negeri berkenaan dalam sejarah SUKMA.
Kontinjen yang digelar “Gergasi Merah” itu turut memperlihatkan penguasaan dalam beberapa acara utama, khususnya renang yang menyumbang 20 pingat emas. Selain itu, Selangor turut cemerlang dalam gimnastik artistik, muay thai dan silambam, di samping mengutip emas menerusi acara BMX, catur, boling tenpin, terjun, tinju, berbasikal jalan raya serta pencak silat.
Lebih membanggakan, kejayaan kali ini turut mengatasi pencapaian terbaik Selangor ketika kali pertama menjadi tuan rumah temasya tersebut 28 tahun lalu. Dalam kedudukan keseluruhan, Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan 51 emas, manakala Terengganu berada di tangga ketiga selepas meraih 43 emas.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan bahawa pemberian cuti peristiwa akan dipertimbangkan sekiranya Selangor berjaya bergelar juara keseluruhan. Majlis penutupan temasya itu turut disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.