Hiburan

Curi US$29 Juta Termasuk Saham Jungkook BTS, Penggodam China Kini Ditahan

Share

Terbaru, seorang warganegara China yang disyaki menjadi dalang utama sindiket penggodaman besar-besaran melibatkan kerugian sebanyak US$29 juta (anggaran RM135 juta) telah berjaya ditahan di Thailand sebelum diekstradisi ke Korea Selatan. Antara mangsa serangan itu termasuklah bintang K-Pop terkenal, BTS Jungkook, serta beberapa tokoh korporat terkenal dari negara tersebut.

Menurut Kementerian Kehakiman Korea Selatan, suspek yang hanya dikenali sebagai ‘A’ berusia 34 tahun itu dibawa pulang dari Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 22 Ogos jam 5.05 pagi. Siasatan mendapati A mengetuai rangkaian penggodam antarabangsa yang menceroboh pelbagai laman web, termasuk syarikat telekomunikasi utama, antara Ogos 2023 hingga Januari 2024.

Dalam pada itu, sindiket tersebut juga dipercayai mencuri maklumat peribadi mangsa, membuka akaun telefon bimbit menggunakan identiti curi, serta memindahkan wang daripada akaun kewangan dan aset mata wang kripto. Selain itu, beberapa  mangsa serangan melibatkan pengerusi syarikat, CEO syarikat terkemuka, dan selebriti berprofil tinggi termasuk Jungkook.

Kredit foto: Chosunbiz

Jungkook atau nama sebenar Jeon Jungkook (28) yang memulakan latihan ketenteraannya pada Disember 2023 telah menjadi salah seorang mangsa apabila penggodam berjaya mencuri sebanyak 33,500 unit saham HYBE bernilai kira-kira 8.4 bilion Korea Won (sekitar RM30 juta) daripada akaun sekuritinya.

Difahamkan, sindiket tersebut sempat menjual 500 unit saham dengan nilai sekitar 126 juta Korea Won (dianggarkan lebih RM450,000) kepada pihak ketiga. Namun begitu, pihak label Big Hit Music bertindak pantas dengan membekukan akaun berkenaan bagi mengelakkan pelantun lagu ‘Hate You’ itu mengalami kerugian lebih besar.

Sementara itu, peguam yang mewakili Jungkook turut mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut semula saham tersebut. Mahkamah Daerah Barat Seoul kemudian memutuskan pemindahan itu tidak sah, sekaligus mengarahkan pembeli berkenaan memulangkan saham terbabit.

Kredit foto: Chosunbiz

Pada masa yang sama, hasil siasatan bersama Polis Metropolitan Seoul dan Interpol mendapati suspek memasuki Thailand pada April lalu. Pihak berkuasa Korea Selatan segera mengemukakan permohonan penahanan sementara untuk ekstradisi yang membolehkan penahanan dilakukan sebelum permohonan rasmi difailkan. Suspek ditahan pihak berkuasa Thailand dalam masa dua minggu sebelum diserahkan ke Seoul.

Sehubungan itu, pihak polis Seoul kini dalam proses menyoal siasat suspek, meneliti bahan bukti yang dirampas serta memohon waran tahanan rasmi. Di samping itu, jurucakap Kementerian Kehakiman Korea Selatan juga menegaskan kerajaan akan terus komited memburu serta menghukum keras sindiket penggodaman,

voice phishing dan penipuan dalam talian yang beroperasi dari luar negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE