
Hasrat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk mencatat keputusan positif di Grand Prix (GP) Britain tidak kesampaian selepas terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal susulan insiden terjatuh di Litar Silverstone, kelmarin.
Meskipun gagal menamatkan saingan, peminat boleh menarik nafas lega apabila Hakim mengesahkan dirinya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas insiden tersebut.
“Selepas terjatuh tadi, syukur Alhamdulillah saya tak mengalami apa-apa kecederaan. Sepanjang perlumbaan tadi, saya rasa sangat baik dengan jentera dan cukup yakin untuk berada dalam kelompok hadapan,” katanya.
Menurut Hakim, dia pada awalnya agak ketinggalan sebelum mula mengejar kelompok hadapan dan berjaya kembali menyertai leading group.
Namun, situasi berubah apabila berlaku kemalangan membabitkan pelumba lain di hadapannya. Ketika cuba mengelak daripada terlibat dalam insiden berkenaan, Hakim Danish akhirnya terjatuh ketika memasuki selekoh pada pusingan ketujuh.
“Saya cuba untuk teruskan tunggangan dan elakkan daripada terlibat dalam kemalangan tersebut, tetapi ketika masuk ke corner, saya terjatuh,” jelasnya.
Hakim sempat cuba untuk kembali meneruskan perlumbaan, namun kerosakan pada jenteranya menyebabkan usaha tersebut tidak berhasil.
“Saya cuba untuk sambung semula perlumbaan, tetapi motor saya mengalami kerosakan dan handlebar patah, jadi saya tak dapat meneruskan perlumbaan.”
Insiden itu sekali gus menyaksikan Hakim gagal menamatkan pusingan ke-12 Kejuaraan Dunia Moto3 2026 dan pulang tanpa sebarang mata dari Silverstone.
Biarpun keputusan di Britain bukan seperti yang diharapkan, Hakim Danish enggan terlalu kecewa.
Sebaliknya, pelumba muda negara itu memilih untuk melihat sisi positif sepanjang hujung minggu perlumbaan tersebut apabila merasakan prestasinya semakin meningkat dari satu sesi ke satu sesi.
“Apa pun, banyak perkara positif yang saya boleh ambil daripada weekend ini. Saya rasa semakin baik dari satu sesi ke satu sesi.
“Untuk next race di Aragon nanti, saya akan cuba buat yang terbaik dan mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.
Dalam dunia perlumbaan, ada hari semuanya menjadi dan ada hari perkara di luar kawalan boleh mengubah keseluruhan perlumbaan dalam beberapa saat.
Paling penting, Hakim selamat tanpa kecederaan dan masih mempunyai keyakinan untuk kembali lebih kuat.
Kini, tumpuan beralih ke Grand Prix Aragon, Sepanyol. Semoga Hakim Danish dapat bounce back dan kembali memburu kelompok hadapan! 🇲🇾🔥
Selepas pengalaman mengecewakan di Silverstone, peluang untuk kembali ke litar memberi ruang kepada Hakim untuk meneruskan momentum positif yang dirasakannya sepanjang hujung minggu GP Britain. Walaupun keputusan akhir tidak memihak kepadanya, keupayaan untuk mengejar semula kelompok hadapan sebelum insiden berlaku menunjukkan dia mempunyai rentak untuk bersaing.
Cabaran seterusnya di Aragon pastinya menjadi satu lagi ujian penting buat pelumba muda negara itu. Pengalaman daripada setiap sesi dan perlumbaan boleh digunakan untuk terus memperbaiki prestasi, terutama ketika bersaing dengan barisan pelumba terbaik dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Sumber : Instagram SPOTV Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.