Selepas hampir sedekad bersama, Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez akhirnya sah bergelar suami isteri.
Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez mengejutkan peminat apabila berkongsi sekeping foto di Instagram yang memperlihatkan tangan mereka bersama, masing-masing mengenakan cincin perkahwinan.
Tanpa perlu foto majlis besar-besaran atau pengumuman panjang lebar, gambar cincin tersebut sudah cukup untuk mengesahkan bahawa pasangan popular ini akhirnya telah melangkah ke fasa baharu dalam hubungan mereka.
Menurut laporan media antarabangsa, Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, melangsungkan perkahwinan menerusi satu upacara sivil secara intimate di Cascais, Portugal pada 11 Ogos 2026.
Majlis berkenaan dipercayai berlangsung dalam suasana cukup privasi sebelum pasangan itu sendiri memilih untuk berkongsi berita bahagia tersebut kepada umum menerusi media sosial.
Hampir 10 Tahun Bersama
Ronaldo dan Georgina mula menjalinkan hubungan sekitar 2016 selepas mereka bertemu di Madrid ketika Georgina bekerja sebagai sales assistant di sebuah butik Gucci.
Daripada pertemuan tersebut, hubungan mereka berkembang sehingga menjadi antara pasangan selebriti dan sukan paling dikenali di dunia.
Mereka mempunyai dua anak perempuan bersama, Alana Martina dan Bella Esmeralda. Pada masa sama, Georgina turut bersama Ronaldo membesarkan lima orang anak dalam keluarga mereka.
Pasangan itu pernah melalui detik cukup sukar pada 2022 apabila salah seorang daripada bayi kembar mereka, Ángel, meninggal dunia ketika dilahirkan.
Namun sepanjang hampir sedekad bersama, Georgina kekal berada di sisi Ronaldo ketika perjalanan karier pemain itu membawanya dari Sepanyol ke Itali, England dan kini Arab Saudi.
Hubungan Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez juga sentiasa menjadi perhatian peminat sepanjang tempoh tersebut. Walaupun sering tampil bersama dalam acara penting dan berkongsi kehidupan keluarga menerusi media sosial, persoalan mengenai bila mereka akan berkahwin terus menjadi antara perkara yang sering diperkatakan.

Bertunang Setahun Sebelum Kahwin
Menariknya, tarikh perkahwinan mereka hadir tepat setahun selepas Georgina mengumumkan pertunangan dengan Ronaldo.
Pada 11 Ogos 2025, Georgina mencuri perhatian dunia apabila memuat naik gambar sebentuk cincin berlian bersaiz besar di Instagram sebagai tanda dirinya sudah menerima lamaran Ronaldo.
Selepas bertahun-tahun peminat tertanya-tanya bila mereka akan berkahwin, Ronaldo sebelum ini pernah memberi bayangan bahawa majlis tersebut akan berlangsung selepas berakhirnya FIFA World Cup 2026.
Namun, pemain Al-Nassr itu tidak pernah mendedahkan tarikh mahupun lokasi sebenar perkahwinan mereka.
Malah sehari sebelum berita perkahwinan sebenar mereka tersebar, timbul spekulasi bahawa Ronaldo dan Georgina bakal berkahwin di sebuah katedral di Funchal, Madeira. Khabar angin itu dikatakan menyebabkan sekitar 2,000 orang berkumpul di kawasan berkenaan dengan harapan dapat menyaksikan majlis pasangan tersebut.
Ronaldo dan Georgina sebaliknya memilih Cascais sebagai lokasi untuk mengikat hubungan mereka secara rasmi pada 11 Ogos. Pilihan untuk mengadakan upacara yang lebih privasi itu juga jauh berbeza daripada jangkaan ramai yang mungkin membayangkan sebuah majlis besar untuk salah seorang pemain bola sepak paling terkenal di dunia.

Jika cincin pertunangan Georgina sebelum ini menjadi bualan kerana saiz berlian yang cukup luar biasa, cincin perkahwinan pasangan ini pula tampil jauh lebih minimal dan klasik.
Dalam foto yang dikongsikan, tangan Ronaldo dan Georgina diletakkan bersama dengan wedding band jelas kelihatan pada jari masing-masing.
Anda mungkin berminat dengan
Berbanding pengumuman pertunangan mereka yang mencuri perhatian menerusi cincin berlian gergasi, pasangan ini nampaknya memilih pendekatan jauh lebih sederhana untuk mengumumkan status baharu mereka sebagai suami isteri.
Tiada foto gaun pengantin, dekorasi majlis atau barisan tetamu selebriti diperlukan. Sekeping gambar cincin sudah cukup untuk membuatkan berita Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez menjadi perhatian peminat mereka.
Pengumuman ringkas itu sekaligus menamatkan penantian panjang peminat yang mengikuti kisah cinta mereka sejak 2016.
Sumber : The Cut
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, penyanyi rap terkenal, Mark Lee kembali meraih perhatian para peminat apabila melancarkan single terbarunya berjudul ‘My Friend’, sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan karier solonya selepas sekian lama dikenali sebagai anggota kumpulan popular NCT.
Menerusi beberapa perkongsian yang dimuat naik oleh Upper Room di Instagram, karya tersebut diperkenalkan sebagai pelancaran pertama Mark dibawah label bebas yang diasaskan oleh beliau sendiri. Pendekatan itu dilihat memberi ruang lebih luas buat penyanyi berusia 27 tahun tersebut untuk meneroka identiti muzik serta hala tuju kreatifnya tanpa terikat dengan formula muzik pop arus perdana.
Lebih menarik, ‘My Friend’ mengetengahkan susunan muzik yang lebih sederhana dengan alunan gitar yang cukup menonjol, berbeza daripada produksi muzik berskala besar yang sering dikaitkan dengan karya kumpulan idola. Lagu pop bertempo sederhana itu turut membawa tema mengenai cinta, perpisahan serta proses meninggalkan satu fasa kehidupan untuk memulakan perjalanan yang baharu.

Bukan sekadar tampil sebagai penyanyi, Mark turut terlibat secara langsung dalam proses kreatif penghasilan lagu berkenaan. Beliau mengambil bahagian dalam penulisan, komposisi dan susunan muzik, menjadikan karya ‘My Friend’ lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman serta perspektifnya sebagai seorang artis.
Konsep tersebut turut diterjemahkan menerusi muzik video yang hadir bersama lagu berkenaan. Pengarah, Gus Black memilih pendekatan visual yang minimalis dengan mengetepikan penggunaan grafik komputer serta set penggambaran yang terlalu kompleks, sebaliknya memberi fokus kepada ruang, bunyi dan sisi natural Mark sebagai individu.
Dalam pada itu, Mark turut memperkukuhkan hubungan secara langsung bersama peminat menerusi komuniti rasmi yang dilancarkan di platform global Weverse. Beliau memperkenalkan ciri “Voice Mailbox” yang membolehkan peminat meninggalkan mesej suara, sekaligus memberikan pengalaman interaksi yang lebih peribadi antara artis dan pengikutnya.

BACA: Lancar Agensi Sendiri Selepas Tinggalkan NCT, Mark Lee Kini Bergelar CEO ‘Upper Room’
Usaha mendekati peminat itu turut menyusuli kemunculannya di platform komunikasi Laylo yang dilaporkan berjaya menghimpunkan lebih 42,000 peminat dalam tempoh hanya satu jam selepas dilancarkan. Perkembangan tersebut memperlihatkan sokongan kukuh peminat terhadap fasa baharu Mark sebagai artis yang lebih bebas menentukan arah perjalanan seninya.
Sementara itu, dengan pelancaran ‘My Friend’, Mark kini dilihat semakin jelas membina identiti tersendiri sebagai artis solo menerusi pendekatan muzik yang lebih ringkas, jujur dan bersifat peribadi. Langkah berkenaan bukan sahaja menandakan permulaan era baharunya, malah memperlihatkan sisi kreatif Mark yang lebih bebas selepas bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada fenomena global bersama NCT.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bintang terkenal Indonesia, Kris Dayanti baru-baru ini kembali meraih perhatian apabila berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Wushu Kungfu Kebangsaan 2026, sekaligus membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus mencipta kejayaan. Pada usia 51 tahun, penyanyi dan pelakon berpengalaman itu mengungguli acara Shanzi Kumpulan E Wanita yang berlangsung di Tangerang, Banten, Indonesia.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Kris Dayanti berkongsi beberapa foto dan video sepanjang penyertaannya dalam kejohanan tersebut, termasuk momen ketika menerima pingat emas serta sijil penghargaan selepas diumumkan sebagai juara bagi kategorinya.
Sepanjang pertandingan, pelantun lagu ‘Menghitung Hari’ dan ‘Mencintaimu’ itu mempamerkan persembahan seni mempertahankan diri menggunakan kipas lipat atau Shanzi dengan penuh keyakinan. Berbusana hitam, setiap gerakannya yang kemas, tepat dan bertenaga berjaya memikat perhatian barisan juri sehingga melayakkan diri beliau muncul sebagai pemenang.

“Penyertaan saya dalam Kejohanan Wushu Kungfu Kebangsaan 2026 bukan hanya mengenai pertandingan, tetapi juga untuk menyediakan platform dalam melahirkan atlet-atlet muda Indonesia pada masa hadapan”
“Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap proses merupakan satu pelaburan dalam membina sahsiah, disiplin, semangat kesukanan dan kecemerlangan,” katanya.
Kejayaan tersebut turut membuktikan kesungguhan beliau dalam mendalami sukan wushu walaupun aktif dalam dunia seni sejak puluhan tahun lalu. Komitmen yang ditunjukkan menjadi inspirasi bahawa minat terhadap sesuatu bidang mampu diteruskan tanpa mengira faktor usia.
BACA: Kris Dayanti Buktikan Usia Bukan Penghalang, Sertai Pertandingan Wushu Antarabangsa Di China Pada Usia 50-an!

Malah, kemenangan itu bukanlah pencapaian pertamanya dalam arena seni mempertahankan diri. Sebelum ini, Kris Dayanti pernah mengharumkan nama Indonesia menerusi beberapa penyertaan di pentas antarabangsa, sekaligus memperlihatkan keseriusannya dalam sukan berkenaan.
Pada Oktober tahun lalu, Kris Dayanti turut meraih pingat perak dalam Kejohanan Kungfu Dunia Ke-10 2025 yang berlangsung di Emeishan, China. Pencapaian tersebut menjadi antara detik penting yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai figura seni yang turut cemerlang dalam bidang sukan.
Dengan kejayaan terbaru ini, Kris Dayanti sekali lagi membuktikan bahawa disiplin, dedikasi dan usaha yang konsisten mampu menghasilkan pencapaian membanggakan. Kemenangan tersebut bukan sahaja menambah koleksi kejayaannya dalam sukan wushu, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengejar impian tanpa mengira usia.
Sumber: Instagram Kris Dayanti
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pelakon jelita, Datin Intan Najuwa menitipkan nasihat buat para pelajar di luar sana bahawa pendidikan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah sangat penting.
Pelakon drama hit Saat Kau Takluk Cinta itu menyatakan pandangan murninya menerusi ruangan Ask Me A Question yang dilakukan di Instastory miliknya.

“Betul ke orang cakap SPM tak penting?” tanya seorang pengguna.
Tampil menjawab soalan tersebut, Intan memberitahu seseorang perlu mengutamakan pelajaran agar masa depan mereka lebih cerah.
“Korang, tolong faham yang SPM sangat penting. Pendidikan adalah sangat penting. Jangan cuba untuk jadikan pelajaran tak penting hanya kerana awak boleh buat duit dengan cara lain pada zaman ini. Itu bukan masalahnya.

“Pendidikan membentuk kita menjadi individu yang lebih baik. Kita tak akan tahu apa akan terjadi pada masa hadapan, dengan adanya pelajaran dan ‘backup plan’ pasti akan sangat membantu di masa depan,” katanya.
Aktres itu turut menegaskan untuk sentiasa mencari ilmu sekali gus dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi seterusnya.
“Dan ingat, teruskan mencari ilmu walau apa sekalipun. Apa yang kita belajar akan kekal dengan kita sepanjang hidup dan akan memberi contoh yang baik kepada kanak-kanak dan generasi akan datang,” coretnya lagi.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai isu yang membimbangkan di mana rata-rata remaja menyatakan hasrat mahu menjadikan gelaran pencipta kandungan atau pempengaruh media sosial sebagai satu kerjaya sehingga mengabaikan pelajaran.
Sekadar info, pelakon berusia 26 tahun ini masih dalam pengajian peringkat asasi dalam jurusan undang-undang sebuah kolej di Singapura.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞