Hiburan

Gen Z ‘Approved’! CORTIS Cipta Rekod Terpantas, Raih 10 Juta Pengikut Dalam Enam Bulan

Share

Bintang K-Pop generasi kelima, CORTIS, terus mencuri perhatian apabila secara rasmi mencipta rekod sebagai kumpulan terpantas mencecah 10 juta pengikut di Instagram, hanya dalam tempoh enam bulan selepas memuat naik hantaran pertama pada Ogos tahun lalu.

Difahamkan, pencapaian ini sekaligus menjadikan CORTIS sebagai kumpulan K-Pop pertama yang debut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berjaya melepasi tanda aras 10 juta pengikut dalam tempoh yang begitu singkat. Lonjakan drastik itu juga mencerminkan kekuatan fandom mereka yang semakin berkembang di peringkat global.

Bukan sekadar dominan di Instagram, CORTIS yang dianggotai oleh James, Juhoon, Martin, Seonghyeon, dan Keonho ini turut mencatat jumlah pengikut tertinggi dalam kalangan boy group yang debut dalam tempoh sama di platform utama lain. Di TikTok, mereka mengumpul sebanyak 9.5 juta pengikut, manakala saluran YouTube rasmi mencecah 3.12 juta pelanggan dan komuniti peminat global Weverse pula merekodkan 3.07 juta pengikut.

Menariknya, momentum ini kekal konsisten walaupun kumpulan tersebut telah menamatkan promosi rasmi untuk album debut mereka, ‘Color Outside the Lines’, pada September tahun lalu. Persembahan mereka di pelbagai acara anugerah dalam dan luar negara berjaya mencetuskan gelombang perbualan di media sosial, sekaligus meningkatkan ‘engagement’ serta pertambahan pengikut secara berterusan.

Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan itu dilihat semakin melonjak susulan sambutan luar biasa dari pasaran Amerika Utara. CORTIS turut mencipta sejarah sebagai artis Korea pertama yang menjadi tajuk utama ‘NBA Crossover Concert Series’, selain membuat persembahan separuh masa bagi ‘2026 Ruffles® NBA All-Star Celebrity Game’ yang membuka ruang kepada kemasukan peminat antarabangsa baharu.

Di samping itu, populariti digital mereka turut mengukuhkan kedudukan CORTIS sebagai ikon budaya Gen Z, khususnya dari segi fesyen dan estetika visual yang sering menjadi tren global. Pengaruh ini membawa kepada kolaborasi berprofil tinggi bersama jenama dan organisasi ternama seperti Apple, NBA, MLB, Red Bull dan Acuvue.

BACA: CORTIS Cipta Sejarah! Jadi Artis K-Pop Pertama Gegar Pentas NBA Crossover Concert 2026

Selain itu, sayap pengaruh CORTIS turut berkembang ke industri permainan video dan filem menerusi kerjasama dengan ‘NBA 2K26’ dan ‘Fortnite’, selain merakamkan lagu ‘Mention Me’ untuk filem animasi Sony Pictures Animation berjudul ‘Goat’ membuktikan lagi strategi mereka dalam menggabungkan muzik dan kandungan gaya hidup semakin kukuh di pentas antarabangsa.

Sementara itu, di media sosial, rata-rata peminat meluahkan keterujaan terhadap kejayaan tersebut dan menyifatkan setiap kandungan CORTIS sebagai spontan, lucu, ikonik serta menghiburkan. Ada juga yang menggalakkan orang ramai menonton dokumentari mereka di YouTube bagi memahami penglibatan kumpulan itu dalam proses kreatif, selain mengakui CORTIS memiliki aura tersendiri yang meletakkan mereka pada tahap kualiti tersendiri dalam industri muzik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE